Friday 17 October 2014

Tanda pada buku-buku tulis

Kali ini saya nak kongsi satu TIP yang saya guna semasa di bangku sekolah dulu. Bukan tip belajar atau tip menghadapi peperiksaan dengan cemerlangnya...tau. Tapi satu tip yang memudahkan saya yang menghadapi masalah pergerakan tangan mengikuti pembelajaran di sekolah aliran perdana (sekolah biasa).

Masa sekolah kan kita kena bawa sejumlah buku tulis ke sekolah setiap hari untuk mengikuti beberapa subjek/matapelajaran pada sesuatu hari itu...mungkin 8 buah..mungkin 10 buah...mungkin lebih daripada itu...bergantung pada darjah/tingkatan berapa kita belajar masa tu, bilangan subjek hari tu dan bilangan buku tulis bagi sesuatu subjek.

Bukan mudah bagi saya nak membelek buku-buku tulis yang berada dalam beg untuk mencari buku yang diperlukan dalam masa yang singkat. Nak keluarkan buku itu secepat mungkin untuk menyalin nota atau soalan-soalan latihan dari papan hitam atau buku teks. Adalah sukar juga kalau nak ambil keluar semua buku tulis yang dibawa itu untuk cari satu per satu, dan kemudian simpan balik ke dalam beg. Semasa saya mengeluarkan buku-buku itu, memegang lalu mencari satu per satu atau memasukkan dalan beg semula, biasanya ada buku yang terjatuh atau hampir terjatuh. Buku-buku yang dipegang itu juga akan berselerak. 

Untuk memudahkan saya, ibu menandakan satu garisan kecil yang tebalnya 4-5mm pada tengah-tengah pinggir buku dengan pensel warna yang berlainan warna. Saya masih ingat akan warna pada buku-buku tulis bagi sesetengah subjek lagi...

Merah bagi bahasa Malaysia
Hijau bagi English
Biru bagi Matematik
Orange ka bagi Pendidikan Moral
Hitam bagi Alam dan Manusia

(Masa sekolah rendah dulu saya belajar subjek Alam dan Manusia yang kini telah diganti dengan subjek Sains dan subjek Kajian Tempatan)


Dan lain-lain lagi seperti Pendidikan Muzik, Kemahiran Hidup...entahlah ada tanda tak... Saya dah lupa... Tapi subjek-subjek utama semestinya ditanda lebih-lebih lagi subjek itu bukannya cuma ada sebuah buku tulis saja, tapi 2, 3 buah, malah ada yang sampai 4 atau 5 buah.

Dengan adanya tanda tersebut, saya dapat mengenalpasti lalu mengeluarkan buku-buku tulis tertentu dengan mudah. Contohnya, apabila waktu bagi matapelajaran bahasa Malaysia, saya boleh terus tarik atau ambil keluar buku-buku tulis yang bertanda merah saja. 

Selain itu, masa kat rumah pun mudah kalau saya perlu bantuan ibu untuk ambil buku tulis bagi saya atau kemas buku tulis tertentu untuk dimasukkan ke dalam beg sebelum pergi sekolah. Saya hanya perlu beritahu ibu sama ada buku yang ada tanda hijau ka, orange ka, hitam ka. Ibu terus boleh ambil buku itu bagi saya.

Apabila cikgu nak bagi balik buku-buku kami setelah disemak, dengan mudah saja sudah tahu yang mana satu ialah buku saya... yang ada jalur berwarna ialah buku saya...ini bukan sesuatu yang penting..saja nak cakap.. hehe  

Saya mengamalkan tip ini semasa saya belajar di sekolah rendah terutamanya. Kalau tak silap saya, masa sekolah menengah saya masih buat begitu... mungkin bagi sesetengah subjek saja.

Sunday 12 October 2014

Guru Kelas Darjah 1: Dari Kurang Yakin Kepada Rasa Terharu

Hari ni saya nak cerita pasal guru kelas saya masa belajar dalam darjah 1... Saya belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Jelutong Barat dan masa tu belajar dalam Kelas 1 Mutiara.

Pada hari pertama, setelah guru kelas saya, Cikgu Minah (bukan nama sebenar), mengendalikan urusan-urusan permulaan sesi persekolahan, dia pun memulakan pengajaran sementara tunggu waktu habis sekolah yang masih tinggal sejam dua lagi. Semua murid diminta duduk atas lantai di hadapan kelas, manakala saya duduk di tempat saya. Ibu bagi saya duduk di tempat yang berdekatan dengan meja guru agar dapat memudahkan cikgu tolong tengok-tengok saya.

Cikgu Minah menyuruh seorang demi seorang murid menulis sesuatu abjad seperti yang dimintanya pada papan hitam. Selepas beberapa orang, dia pun menyuruh saya tulis juga. Dia memimpin saya berjalan ke papan hitam. Apabila sampai di depan papan hitam, saya mengambil dan memegang kapur lalu cuba menulis.  Saya yang berdiri cuba tulis huruf yang diminta. Kapur yang saya pegang patah sekali dua kerana tangan saya menekannya terlalu kuat ketika menulis. Apa yang saya tulis sememangnya kelihatan seolah-olah huruf yang diminta tetapi tulisan sangat teruk macam cakar ayam. Saya sememangnya tahu menulis huruf yang diminta itu, malah tahu semua huruf A-Z...huruf besar dan huruf kecil. Namun, saya tidak dapat menulis dengan baik kerana tiada tempat yang membolehkan saya menyandar lengan ketika menulis pada papan hitam yang berkedudukan menegak. Tidak sama seperti menulis di meja yang berkeadaan mendatar. Lagipun saya kena tulis dalam keadaan berdiri. Cikgu Minah mengeleng kepalanya ketika dia melihat saya menulis. 

"Dia boleh bacalah. Tengok minta tulis 'a', dia tulis 'a'... Apa punya  cikgu geleng kepala cakap dia tak boleh," kata seorang dua ibubapa yang berdiri bersama-sama ibu saya menunggu di luar kelas, masing-masing nak tengok anak-anak yang baru masuk darjah satu. Mereka pun berasa marah melihat respon Cikgu Minah.

Kemudian Cikgu Minah bercakap dengan ibu saya... macam saya ni tidak harus belajar di kelas tu...sekolah tu. Entahlah apa persepsi cikgu tu. Pada hari suai kenal dua hari sebelum buka sekolah, ibu siap bawa buku latihan buku kerja saya masa tadika untuk tunjuk pada guru kelas (cikgu itu). Tunjuk padanya yang saya boleh tulis boleh buat latihan yang diberi...cuma tulis lambat dan tulisan tak seberapa cantik. Ah..lah budak kecil yang upaya juga bukan semuanya yang tulis cantik. Inikan saya pula seorang kanak-kanak CP yang mempunyai masalah pergerakan tangan.  Apakah cikgu rasa saya tak boleh belajar di sekolah biasa hanya kerana saya ni OKU.. tak boleh tulis pada papan hitam.

"Kalau Cikgu rasa Chin Chin tak boleh baca kat sini, Cikgu tolong tulis surat. So saya bawa Chin Chin balik sekolah spastik," kata ibu saya yang berasa susah hati dengan respon cikgu itu. Ibu rasa nak berputus asa. Dia susah-susah dukung saya mai sekolah; cikgu pula kata begitu. Bagaimanapun Cikgu Minah tidak memberi kami sebarang surat.

"Mama... saya nak pi sekolah..... Saya tak mau balik spastik," saya menangis apabila ibu berkata pada saya agar pergi belajar di sekolah spastik semula setelah berfikir apa yang Cikgu Minah beritahunya masa kat sekolah pagi tadi. Tak tahulah kenapa saya suka sangat belajar di sekolah baru...sekolah biasa. Ibu sebenarnya pun berat hati nak hantar saya balik sekolah khas tetapi dia susah hati dengan pandangan cikgu tu.

Pada keesokan hari-hari, ibu tetap mendukung saya ke sekolah. Masa itu kami sekeluarga masih menumpang bilik di sebuah rumah kedai dua tingkat di sekitar pasar Jelutong. Jadi kami tinggal berhampiran dengan sekolah. Apabila kami sampai di pagar sekolah, penjaga pintu yang nampak saya didukung mengejek.

"Eee... menangis tak mau datang sekolah." Dia ingat saya menangis kerana tak mahu datang belajar sehingga ibu kena dukung saya. Masa tu dia masih tidak tahu saya ni OKU. Selepas beberapa lama kemudian barulah dia tahu.

"Mana..mana aku nangis.. You tak tau apa-apa. Aku ni bukannya tak mau datang sekolah. Aku nangis meminta-minta mak bawa saya mai sekolah," bisik saya pada ibu setelah kami berjalan masuk melepasi penjaga itu.

Cikgu Minah meminta ibubapa kepada semua murid beli buku-buku tambahan atau buku-buku kerja. Tetapi dia meminta ibu saya seorang tidak membelinya. Dia rasa saya ni tidak akan belajar lama di sana. Ibu mendapat tahu bahawa Cikgu Minah pernah mempunyai seorang murid OKU tapi murid tu belajar sekejap saja dan kemudian tak datanglah. Mungkin dia juga berpendapat saya juga akan begitu.

Tidak beberapa lama kemudian... mungkin sebulan dua saja atau tidak sampai sebulan pun, Cikgu Minah dikehendaki pergi kursus selama dua tiga bulan. Cikgu Minah yang sudah berusia 50 tahun lebih (dia bersara 2 tahun kemudian) pun kena pergi kursus berbulan-bulan lagi. Hairan juga. Saya dan ibu rasa mungkin ini satu aturan Tuhan agaknya.

Cikgu sementara masuk lebih kurang dua minggu sementara menanti cikgu ganti lain datang. Cikgu sementara itu bertanya pada ibu kenapa dia tak belikan saya buku-buku kerja lagi manakala murid-murid  lain telah buat latihan dalam buku-buku kerja. Lalu dia meminta ibu belinya serta merta. Ibu pun beli dan saya mula buat latihan tambahan pada buku-buku kerja itu. Cikgu ganti juga baik orangnya. Pernah satu kali dia bagi kami sekelas ejaan dan sesiapa yang buat betul semua dihadiahkan sebatang pensel. Saya pun dapat 10/10, maka dapat hadiah pensel juga. Cikgu ganti juga menukar-nukar tempat duduk kami sekelas...membahagikan kami mengikut kumpulan berdasarkan kebolehan kami belajar. Saya diminta duduk dalam kumpulan A yang berdekatan dengan pintu. Kumpulan C pula berdekatan dengan meja guru, tempat yang saya duduk sebelum itu.

Apabila Cikgu Minah kembali bertugas semula, dia meminta kami semua kembali ke tempat-tempat asal kecuali saya. Mungkin ada seorang dua juga yang diminta tidak bertukar tempat balik. Dia tengok saya sudah ada buku-buku kerja dan buat latihan dalamnya seperti murid-murid lain. Dia tidak lagi minta ibu bawa saya balik sekolah sepastik. Dia mengajar saya seperti mana dia mengajar murid-murid lain. Dia dah menerima saya sebagai anak muridnya dengan baik. Hubungan dan komunikasinya dengan ibu dan saya bertambah baik. Dia semakin sayang pada saya.

Pada hujung tahun itu, saya yang sebenarnya dua tahun lebih tua daripada murid-murid lain dalam kelas, dapat tempat pertama dalam kelas. Saya sampai inginkan Cikgu Minah memimpin saya naik atas pentas ambil hadiah. Namun dia tidak dapat berbuat begitu kerana dikehendaki bertugas di kantin menyediakan kuih-muih untuk para ibu bapa dan penerima hadiah serta murid yang buat persembahan pentas. Pada hari itu, pengawas darjah 5 atau darjah 6 yang meminpin saya berjalan ambil hadiah.

Pada awal pagi hari terakhir persekolahan 90/91 itu,  saya menghadiahkan sekuntum bunga ros plastik yang diletakkan dalam kotak lutsinar pada Cikgu Minah. Bukan itu saja, selepas bagi dia bunga, saya membawa tangannya mendekati mulut saya lalu ciumnya. Dia berasa terharu lalu bangun mendapatkan tisu atau sapu tangan dari begnya untuk mengesat air matanya. Apabila dia duduk semula mula nak cakap, air mata mengalir semula. Sekali lagi dia bangun mengesat air mata. Dia beritahu ibu selama ini berpuluh-puluh tahun dia mengajar tidak pernah ada anak murid yang ciumnya. Saya merupakan anak murid pertama yang begitu sayang padanya sehingga ciumnya. Hatinya betul-betul tersentuh. Akhirnya saya mengubah pandangannya terhadap  diri saya yang sebenarnya berkeupayaan untuk belajar seperti pelajar-pelajar lain walaupun kurang upaya.