Monday 26 January 2015

Tak Tau Gunting vs Tak Tau Makan

Masa saya darjah 2...

Guru kelas saya juga ajar kami subjek pendidikan seni. Pada suatu hari, kami dikehendaki menggunting kertas untuk buat sesuatu. Saya tak boleh menggunting dengan betul. Ketika tu mungkin saya langsung tak boleh gunting tanpa bimbingan seseorang. Namun saya sendiri tak berani beritahu Cikgu. Jadi saya meminta ibu datang kelas jumpa Cikgu tu beritahu yang saya ni tak boleh gunting.

Ibu: Cikgu, anak saya ni tak tau gunting.

Cikgu: Ah..chin chin tak tau makan.

Ibu: Cikgu, anak saya chin chin tak boleh, tak tau gunting.

Cikgu: Apa..chin chin tak tau makan.

Hati ibu terasa amat sedih bercampur marah. Mula-mula dia ingat Cikgu tersilap dengar. Tapi setelah dia beritahu kali kedua, Cikgu tetap beri jawaban yang sama. Nyata Cikgu mempermainkannya. Kata-kata Cikgu tu amat terguris hati seorang ibu. Air mata ibu menitis.

Ibu: Kalau tak tau makan, sudah da mati.

Cikgu: Oh chin chin tak tau gunting. Takpa, nanti saya tolong dia gunting.

Ibu memang rasa marah pada Cikgu tu. Tapi selepas peristiwa tu, Cikgu cuba berbaik-baik dengan ibu. Cikgu ditukarkan ke kelas pagi ajar darjah 5 tidak lama kemudian. Sungguhpun begitu dia tetap ambil berat terhadap saya. Cikgu juga berkawan dengan ibu. Dia akan menegur sapa ibu apabila terserempak dengannya di mana-mana.

Ok..cakap pasal mengunting pula. Sekarang saya tetap menghadapi masalah untuk menggunting sesuatu kertas mengikut garisan. Saya biasanya meminta ibu tolong gunting ini itu bagi saya apabila perlu. Semasa di sekolah menengah ada kalanya saya pernah cuba gunting sendiri kertas latihan atau keratan akhbar untuk pembelajaran. Hasil kerja saya ni sememangnya tak elok. Ada bahagian di sana sini yang terlebih gunting dan ada bahagiannya yang tergunting.

.

Sunday 11 January 2015

Sesi Permulaan Persekolahan

Sesi persekolahan 2015 bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor akhirnya bermula hari ini 11 Januari 2015 dan bagi negeri-negeri lain pula bermula esok 12 Januari 2015 setelah ditangguh seminggu akibat banjir teruk yang melanda pada akhir tahun lalu. Masih ada sekolah yang terpaksa ditunda sesi persekolahannya kerana sekolah-sekolah tersebut masih dinaiki air, digunakan sebagai pusat pemindahan sementara atau mengalami kerosakan teruk. Kesan banjir kali ni amatlah besar. Semoga mereka terus tabah menghadapi segala dugaan ini.

Oh ya masa saya belajar di sekolah rendah dulu....setiap kali bermulanya sesi persekolahan saya pasti meminta ibu berjumpa dengan guru kelas untuk memaklumkan keadaan diri saya. Saya bimbang cikgu yang bakal menjadi guru kelas saya tidak tahu diri saya ni OKU atau tidak memahami diri saya ni. Saya pula tidak berani nak beritahu cikgu baru tu sendiri lebih-lebih lagi pertuturan saya tak jelas. Saya takut cikgu tak faham apa yang saya cuba cakap.

Pada hari pertama persekolahan, ibu akan berjumpa dengan guru kelas yang baru masuk ke dalam kelas saya. Ibu akan memberitahu guru tu akan keadaan diri saya yang kurang upaya...boleh tulis tetapi lambat, boleh cakap tapi tak jelas, dan boleh jalan tapi tak stabil dan memelukan bantuan. Ibu meminta guru tu tolong tengok-tengokkan saya masa kat kelas. Selain itu, ibu seperti penjaga murid-murid lain akan membayar yuran sekolah. 

Masa sekolah menengah, saya tidak lagi meminta ibu memaklumkan keadaan diri saya ni kepada guru kelas. Kecuali masa tingkatan satu di mana saya dan pelajar-pelajar lain didaftarkan di sekolah menengah. Saya tahu cikgu pasti sedar akan diri saya OKU apabila melihat diri saya ni. Mereka akan menyedari  akan keadaan fizikal saya apabila saya mula diminta buat sesuatu. Tidak perlu terangkan dengan kata-kata.

Sunday 4 January 2015

Lompat Kelas (bhgn 2)

Masih ingat tak post yang bertarikh 28 November 2014 tentang saya lompat kelas dari darjah 2 ke darjah 3 dan betapa susahnya masa itu? Anda boleh klik sini untuk membacanya.

Ok... masa darjah 4, saya sudah dapat mengikuti pelajaran dengan baik semula. 

Tapi..... Pada suatu pagi, guru besar sekolah sendiri datang jumpa saya kat kelas. Masa tu lebih kurang bulan Julai - Ogos. Ketika itu kami sedang belajar subjek Pendidikan Moral. Guru besar terus berjalan ke arah saya lalu duduk atas meja cikgu yang berdekatan dengan meja saya. Sebelum cikgu yang mengajarkan Pendidikan Moral berjalan keluar kelas meninggalkan kami dengan guru besar, dia ada berkata kepada guru besar yang saya ni boleh belajar.

"Chin Chin, kamu pergi belajar kat darjah 5 ya," guru besar meminta saya lompat kelas sekali lagi dari darjah 4 ke darjah 5 memandangkan saya masih lewat setahun.

"Guru besar, saya tak boleh. Saya tak mau lompat kelas lagi. Susah. Saya tak boleh," saya merayu agar saya dibenarkan terus belajar bersama rakan-rakan setahun demi setahun.

"Kamu tak boleh terus berada kat kelas ini  lagi. Kamu mesti lompat ke darjah 5 sekarang."

"Kalau tak mahu lompat kelas, kamu boleh masuk kelas pendidikan khas," kata beliau lagi.

"Ok... Saya masuk kelas khas saja," saya terpaksa bersetuju untuk masuk kelas pendidikan khas di sekolah saya tu walaupun keberatan kerana saya tak berupaya nak lompat kelas lagi. Saya masih ingat dengan jelas betapa sukarnya saya nak ikuti pelajaran apabila lompat masuk darjah 3 setahun yang lalu.

Saya dan ibu tahu pelajaran kat kelas khas banyak berbeza dengan aliran biasa. Hanya akan diajar yang basic basic saja. Ada juga seorang cikgu matematik yang baik cakap nak tolong pergi ajar saya matematik apabila saya masuk dalam kelas khas kelak. Cikgu itu berjawatan tinggi juga yang biliknya bersebelahan dengan kelas khas. Cikgu itulah yang mengajar saya matematik masa saya darjah lima.


Saya terus belajar dalam darjah 4 sementara menunggu surat masuk kelas khas. Tunggu-tunggu tapi surat tak sampai-sampai dan tiada arahan yang meminta saya berbuat demikian. Maka saya dapat terus belajar di kelas aliran perdana sampai darjah 4 habis pastu masuk darjah 5.

Oh ya, masa peperiksan akhir tahun 4, saya sebenarnya dapat tempat ketiga dalam kelas yang kami semua sekelas tak seberapa pandai. Kan kami kelas ke-5 antara 7 kelas. Dapat tempat ketiga bermakna dapat hadiah pada hari penyampaian hadiah nanti. Saya masih ingat akan guru besar berada di atas pentas  waktu saya ambil hadiah ketika darjah satu dulu. Oleh itu, saya bagitau guru kelas bahawa saya tak mau hadiah ketiga itu. Hal ini kerana saya tak mahu guru besar nampak saya naik pentas ambik hadiah lagi. Saya takut nanti beliau datang jumpa saya minta lompat kelas lagi dengan beri sebab saya ni pandai sampai boleh dapat hadiah nombor 3. Saya dengan rela hati lepas kelayakan menerima hadiah tu kepada rakan kelas yang menduduki tempat keempat. Dia bukan naik pentas terima hadiah tu sebagai wakil saya tetapi dirinya sebagai penerima hadiah tu. Mungkin fikiran saya masa tu cetek...mana mungkin guru besar takkan tahu kedudukan saya dalam kelas hanya saya tidak menerima hadiah tu dan nama saya tidak diumumkan sebagai penerima hadiah. Beliau pasti tahu jika dia nak tahu akannya.


Masa darjah 5, guru besar tanya ibu nak bagi saya duduki peperiksaan UPSR tak tahun itu. Guru besar tu tak habis-habis dengan faktor kelewatan umur saya saja. Langsung tak fikir macam mana nak tolong saya ni. Mana saya yang baru baca darjah 5 nak ambil UPSR. Maka, ibu diminta menandatangani surat yang menyatakan dia tidak benarkan saya ambil UPSR.

Saya terus belajar dalam darjah 5 dan langsung tidak diarah masuk kelas khas yang saya telah bersetuju. Kerana sebenarnya bukan mudah nak masukkan saya ke dalam kelas tu. Kena ada surat ni surat tu. Guru besar tidak boleh masukkan saya sesuka hati.

Akhirnya pihak sekolah bagi saya surat tamat sekolah rendah pada penghujung darjah 5. Saya diminta menandatangani surat tamat sekolah dua kali ketika itu. Pertama, mereka tulis saya belajar dari darjah 1 hingga darjah 5 (kenyataan betul). Tapi, guru besar meminta mereka buat baru dengan menyatakan saya belajar dari darjah 2 ke darjah 6 (tipu konon). Saya diberi surat tamat sekolah kedua itu. Saya tidak boleh masuk darjah 6 sebaliknya kena terus ke sekolah menengah. Mereka ada bagi cadangan jika takut tak mampu belajar tingkatan 1 lagi, saya  boleh masuk ke kelas pemulihan satu tahun terlebih dahulu. Tapi saya tak nak. Saya tetap nak belajar darjah 6 juga.

Ibu saya ada minta bantuan kawan yang merupakan cikgu sekolah tu tulis surat rayuan. Sebelum sesi persekolahan berakhir, ibu yang telah tahu saya kena tamat sekolah rendah telah merayu dengan Jabatan Pendidikan Negeri supaya saya dibenarkan teruskan pelajaran di darjah 6. Namun rayuan-rayuan itu ditolak sehingga akhirnya saya diberi surat tamat sekolah dan segala dokumen tamat sekolah. Cuti sekolah tu memang sangat menyedihkan.

Semasa cuti sekolah, ibu yang nampak saya begitu sedih terus berusaha memikirkan cara-cara untuk membantu saya. Atas cadangan seorang tabib cina yang merawat saya ketika itu, ibu sekali lagi meminta bantuan cikgu tu tolong menulis surat rayuan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia pula. Bersama-sama surat itu, ibu sertakan surat doktor juga. Kedua-dua surat tersebut dihantar tiga kali. Seminggu dua tak dapat maklum balas, kami hantar surat tersebut lagi. Dan tak dapat maklum balas, kami hantar lagi.


Sehari sebelum bermulanya sesi persekolahan baru, kami masih tak dapat sebarang maklum balas lagi. Pada awal pagi pertama iaitu hari Khamis, saya tetap bangun awal. Saya tak boleh tidur...langsung tiada mood nak main video game ka.. nak tengok TV ka.. Apabila tengok abang nak pergi sekolah...apabila telinga dengar bunyi bas sekolah, saya menangis lagi...meraung..menangis tak henti-henti... Saya nak pergi sekolah...nak jumpa kawan-kawan, cikgu-cikgu...nak pergi belajar.

Menjelang tengah hari, posmen hantar surat. Akhirnya ibu menerima surat daripada kementerian. Saya tidak beberapa faham akan maksud surat tu. Macam rayuan ditolak saja. Namun pada pukul 2 lebih atau 3 petang, kawan baik yang menjaga saya di sekolah sejak darjah 5 menelefon saya. Dia memaklumkan guru kelas meminta saya datang sekolah esok.

Pada keesokan hari, ibu tidak berani bawa saya ke sekolah lagi. Dia takut cikgu atau kawan baik saya tu silap beri mesej memandangkan ia bertentangan dengan jawaban Kementerian. Dia bimbang nanti saya meraung kat sekolah memandang emosi saya ketika tu. Ibu pergi sekolah sendiri berjumpa guru kelas untuk mengenalpasti kebenaran. Ya betul... pihak sekolah telah menerima surat yang meluluskan saya meneruskan pelajaran dalam darjah 6.

Ibu pulang  rumah dengan membawa berita gembira kepada saya. Dia juga belikan saya buku-buku tulis dan buku-buku kerja sekali. Pada tengah hari tu, ibu terima sepucuk surat lagi. Surat kedua daripada Kementerian yang membenarkan saya terus belajar dalam darjah 6 bagi sesi persekolahan 94/95 dan seterusnya di sekolah menengah setahun demi setahun tanpa perlunya lompat kelas lagi. Saya berasa sangat gembira.

Pada hari Isnin minggu seterusnya saya pun pergi sekolah. Hari itu sudah masuk hari ketiga sesi persekolahan 94/95, namun ia merupakan hari pertama saya belajar dalam darjah 6. Saya dapat belajar darjah 6 bersama kawan-kawan...menduduki peperiksaan UPSR dan kemudian masuk sekolah menengah belajar setahun demi setahun tanpa masalah lompat kelas lagi.

Entahlah apa yang saya buat sekarang jika saya tidak diberi kelonggaran meneruskan pelajaran darjah 6 pada umur 13 tahun sebelum ke sekolah menengah belajar dari setahun ke setahun. Apakah saya berpeluang masuk IPTA? Jika tak masuk universiti awam, mana mungkin saya yang datang dari keluarga serba kekurangan dapat belajar kat institusi swasta. Nasib baik saya diberi kebenaran itu pada saat-saat akhir. Tapi alangkah baiknya jika saya langsung tidak perlu menghadapi masalah kelewatan umur tu. Kan mula-mula masa saya umur 7 tahun, diberitahu boleh lewat masuk sekolah aliran biasa 2 tahun. Saya diberi harapan sebegitu dan lepas tu diberitahu tak boleh pula.

Bagaimanapun saya difahamkan kanak-kanak OKU hari ni mungkin tidak perlu berhadapan dengan masalah atas kelewatan umur ni. Asalkan sekolah ada kelas khas dan didaftarkan di kelas tersebut, dia boleh belajar tambahan 2 tahun. Seseorang pelajar OKU yang berkebolehan boleh belajar di kelas biasa walaupun lewat setahun dua. Namun masih banyak isu lain terutamanya isu akses atau infrastruktur yang menghalang ramai OKU daripada mendapat pendidikan.