Saturday 28 February 2015

Betulkah Kamu Sendiri Yang Tulis Karangan Ini?

Hari ni dah masuk hari ke-10 Tahun Baru Cina. Lagi 5 hari lagi, maka habisnya sambutan ini.

Dalam artikel ini, saya bukannya nak cakap pasal amalan-amalan sambutan tahun baru cina yang disambut selama 15 hari ni. Bagi pembaca-pembaca blog 'Suka Duka Kehidupan Chin Chin' yang bukan Cina, anda pasti juga tahu sedikit sebanyak tentang amalan-amalan sambutan ini yang sememangnya ada dipaparkan kat TV pada hari pertama dan hari kedua. Anda mungkin juga pernah membaca tentangnya atau mendengarnya daripada rakan-rakan Cina.

Ok, saya sebenarnya nak  cerita kat kamu semua tentang cikgu saya dan cerita ni ada sedikit kaitan dengan sambutan tahun baru cina... Dulu masa tingkatan dua, guru yang mengajar Pendidikan Moral pernah minta kami tulis karangan tentang perayaan masing-masing. Pelajar-pelajar cina tulis tentang sambutan tahun baru cina, manakala pelajar-pelajar india tulis tentang sambutan Deepavali atau Krismas. Cikgu tu seorang melayu.

Jadi saya pun tulis tentang sambutan tahun baru cina. Masa tu ada amalan-amalan yang saya tahu dan ada yang saya kurang jelas. Oleh itu, saya meminta penjelasan lanjut ibu bagi amalan-amalan yang saya kurang pasti. Kemudian saya pun menulisnya. 

"Chin Chin, betulkah kamu sendiri yang tulis karangan ini?" soal cikgu tu semasa menyemak buku latihan saya. 

Cikgu tu seolah-olah tidak percaya saya yang menghasilkan karangan yang penuh informasi tu. Saya ada tulis sedikit-sedikit tentang apa yang kaum cina akan buat sebelum tahun baru cina, gantung kain merah pada pintu utama, makan besar pada malam sebelum tahun baru cina, pantang larang pada hari pertama, amalan mengunjungi rumah tua kita dan suadara-mara terutamanya pada hari pertama dan hari kedua, pemberian angpow oleh mereka yang telah berkahwin kepada kanak-kanak dan mereka yang masih bujang, sembahyang tebu pada malam ke-8 (awal pagi ke-9), amalan buang limau pada malam hari ke-15 (chap goh meh), tarian singa dan tarian naga.

Saya memaklumkan pada cikgu tu bahawa ibu ada cerita pada saya apa yang saya kurang tahu dan kemudian saya menulis semuanya sendiri. Tak silap saya cikgu tu tanya saya  dua kali untuk mendapat kepastian.