Sunday 14 June 2015

Belajar Makan Nasi Sendiri

Aku mula belajar makan nasi sendiri masa umur lebih kurang 5 tahun.

Masa tu keluarga aku bantu mengurus perniagaan kopitiam milik uncle ke-4 aku, adik papa. Papa aku anak nombor 3 daripada 11 adik-beradik; 9 lelaki dan 2 perempuan. Kami sekeluarga juga tinggal kat kopitiam itu. Ada juga uncle lain dan atuk nenek datang siang hari tolong jaga kopitiam.

Masa tu mama sangat sibuk. Memanglah sibuk bila nak urus bisnes kopitiam yang jual economic rice beroperasi dari pagi menjelang tengah hari hingga malam. Ada juga satu dua gerai jual mi atau makanan lain. Awal-awal pagi mama bersama-sama pekerja dah kena pergi market berdekatan beli sayur-sayuran. Lepas balik kena bantu kat dapur sementara ada pekerja masak…urus kedai siap sedia nak buka. Pastu berniaga hingga malam. Malam pula mama nak potong sayur-sayuran semua untuk esok selain buat exercise bagi aku.

So mama tak dapat menyuap aku makan tiap-tiap hari terutamanya waktu tengah hari. Waktu tengah hari paling sibuk. Orang ramai waktu rehat datang lunch. Maka aku pun mula belajar makan nasi sendiri. Rasanya aku didudukkan dalam kerusi tinggi baby.

Aku pegang sudu dengan tangan kanan. Entah macam mana cara aku memegang sudu masa tu…menggenggam dengan kelima-lima jari sekali dan tapak tangan menghala ke bawah kah atau macam mana. Aku gerakkan sudu mengambil nasi sama lauk yang telah dikopek, dipotong kecil-kecil, dari pinggan. Kemudian aku membawa sudu bersama makanan ke mulut. Semasa sudu digerakkan dari pinggan ke mulut aku, nasi sebutir demi sebutir, lauk seketul demi seketul  secebis demi secebis terjatuh dari sudu ke pinggan semula. Ada yang terjatuh mengena meja  kerusi, pakaian aku dan juga lantai di sekitar aku. Hal ini kerana tangan aku tidak dapat memegang sudu dengan kedudukan yang betul iaitu sentiasa berkedudukan mendatar. Sudu yang aku cuba  bawakan ke mulut berkedudukan agak condong. Lagipun itu tangan aku yang terketar-ketar masa bergerak juga menyebabkan makanan jatuh. Masa sampai mulut, makanan yang tinggal sikit saja. Pastu aku tidak dapat masuk kesemua makanan yang tinggal ke dalam mulut sepenuhnya. Ada nasi dan lauk yang jatuh juga atau terkena kat sekitar luar mulut.

Macam inilah aku mula belajar makan nasi sendiri satu sudu demi satu sudu. Bilangan kali suapan aku setiap kali makan pasti lebih banyak memandangkan banyak makanan terjatuh semula ke dalam pinggan dan kena diambil makan semula. Banyak nasi sama lauk yang bazir terjatuh kat  meja dan lantai. Tapi inilah proses aku mula belajar makan nasi sendiri.

Lepas aku habis makan, datuk aku akan bawakan aku segelas air biasanya air barley bagi aku minum dengan penyedut. Datuk akan lap mulut aku dengan kain lap meja. Datuk biasa tolong mengemas dan lap meja-meja serta tolong bawa minuman kepada customer. Dengan kain lap meja yang dipegang, dia akan lap mulut aku sekali. Datuk aku meninggal dunia masa aku umur 10 tahun.

Ini cerita aku mula belajar makan nasi sendiri. Mungkin sebelum itu mama atau cikgu terapi sudah pernah mengajar, membimbing aku kemahiran ini. Entah. Perniagaan kopitiam tersebut kekal tidak lama. Selepas perniagaan tersebut tutup, mama tidak keluar kerja lagi membolehkan dia menghabiskan lebih banyak masa menjaga aku. Aku pasti selepas itu mama meluangkan masa mengajar, membimbing, melatih aku makan sendiri juga. Kemahiran aku makan sendiri semakin bertambah baik bila umur aku semakin meningkat hasil praktis yang berterusan. 

Sunday 7 June 2015

Bus Stop Problem - Solved

Sini punya bus stop tiada lagi. Mereka tukar pi jauh kat hadapan rumah-rumah kedai baru...kedai kopi sana tu. Banyak susah kitorang tak boleh tunggu bas kat sini lagi, kena jalan jauh ke bus stop baru sana. Beritahu mama kepadaku satu malam yang bus stop berhampiran dengan rumah flat kami telah dipindahkan kira-kira 100 m lebih jauh ke depan dari lokasi asalnya. Masa itu lebih kurang akhir bulan Februari atau awal bulan Mac. 

Boleh dikatakan setiap hari mama mengambil bas rapid pergi pasar sejak kami pindah ke flat baru ni lebih 3 tahun lalu. Memandangkan flat bersebelahan jalanraya Jalan Jelutong yang sibuk, mama tidak lagi mengayuh basikal demi keselamatan. Mama yang tidak tahu membawa kereta atau motosikal juga mengambil bas pergi ke tokong sembayang, komtar jalan-jalan membeli belah. 

Pada hari-hari seterusnya, mama terus cerita respon orang ramai akan peralihan bus stop ke lokasi baru itu. Selain mama, ramai pengguna bas yang tinggal sama flat dengan kami, yang tinggal di kawasan-kawasan yang berhampiran dan yang datang dari seberang jalan rata-rata tidak gembira. Kesian pada mereka yang jalan kaki datang dari Lorong Perak malah Jalan Perak terutamanya. Mereka dahlah jalan jauh ke bus stop asal ini dan kini pula mereka kena jalan lagi jauh untuk ke bus stop baru. 

Ada orang kata bus stop sememangnya sudah lama berbelasan tahun berada di lokasi asal itu. Semua orang tahu boleh naik turun bas di tempat asal itu sungguhpun ia cuma satu pavement di mana orang boleh berdiri tunggu bas tanpa adanya tiang bus stop pun. Kenapa tiba-tiba suka-suka nak tukar ke lokasi baru pula. Mereka tidak kisah bagaimana keadaan bus stop, asalnya ia berada di lokasi yang berdekatan. 

Aku pun biasa guna bus stop itu. Ada kalanya hujung minggu, aku dan mama pergi Komtar jalan-jalan makan dengan menaiki bas. Waktu balik, kami akan turun di bus stop asal ini. Pastu mama memimpin tangan aku berjalan beberapa langkah di tepi jalan raya yang sibuk dengan penuh berhati-hati sebelum jalan masuk ke lorong mengeliling flat kami. Waktu pergi, mama memimpin aku jalan hingga ke bus stop itu kemudian tunggu kenderaan lalu lintas surut sebelum melintas. Jika ada orang yang sedang tunggu bas atau turun bas, mama akan minta tolongnya memimpin tanganku sebelah lagi melintas jalan. Kira-kira dua tahun lalu, mama juga membawaku pergi kerja dengan menaiki bas hampir setiap hari buat beberapa bulan lamanya bila aku tidak dapat cari orang yang dapat membawa aku pergi balik dari kerja setiap hari. 

Perpindahan lokasi bus stop itu bermaksud aku tidak boleh lagi menaiki bas balik dari Komtar. Kerana lokasi baru tu bukan saja jauh tapi boleh dikatakan tiada laluan pejalan kaki sepanjang jalan untuk ke sana. Jika ada pun, ia sikit saja dan berkeadaan agak teruk. Orang ramai terpaksa berjalan kaki di tepi jalan raya. Mama tidak berupaya memimpin aku berjalan di tepi jalan raya yang sibuk, tidak beberapa rata sepanjang lebih 100m itu. Selain itu, nampaknya sukar juga nak pergi komtar dengan bas kerana sukar nak dapat orang bantu melintas jalan memandangkan tiada orang lagi yang tunggu naik turun bas di bus stop lokasi lama. Ah, nak pergi Komtar selepas ni pun kena naik kereta sapu yang perlu membelanjakan hampir RM25 sekali pergi balik. Pergi tesco membeli barang-barang keperluan rumah dahlah kena naik kereta sapu, ini pula pergi Komtar makan jalan-jalan pun mesti naik sapu juga. Oh tidak..lepas ni aku tidak boleh suka-suka pergi Komtar jalan-jalan lagi kecuali ada barang-barang yang betul-betul mesti aku pergi beli sendiri. 


Mama juga beritahu ada orang kata boleh pergi minta supaya ada semula bus stop di tempat asalnya. Mereka kata boleh minta punya. Mama juga minta aku pergi memohon. Tapi macam mana aku nak mohon…ok aku mungkin boleh tulis surat. Tapi kepada siapa? Aku ni kan penakut dan tak tau prosedur membuat sesuatu. Apa yang sepatutnya aku mohon? Macam mana aku nak mohon supaya adakan bus stop di tempat lama semula sedangkan bus stop lama berada di hadapan rumah lama yang kami fikir ia mungkin akan diroboh satu hari nanti untuk pembangunan baru. Aku yang pernah mengikuti kursus akses audit OKU tahu serba sedikit tentang infrastruktur mesra pengguna. Bus stop di tempat lama memang teruk…ia cuma suatu pavement bagi orang berdiri menunggu bas tanpa adanya tempat duduk berbumbung malah tiada sebarang bus stop post pun. Pavement itu pun cuma terdiri sambungan bongkah-bongkah batu simen berbentuk segiempat besar menutupi longkang di bawahnya. Apa yang baik bagi bus stop lama ini ialah ia berdekatan dengan tempat-tempat tinggal kami yang berpopulasi tinggi. Dan bus stop sebelum sampai flat kami memang jauh dari sini. 


Tindakan Membawa Penyelesaian

Selepas berkali-kali mama meluahkan perasaan tentang cabaran peralihan lokasi bus stop itu, akhirnya pada pertengahan Mac aku kuatkan hati untuk cuba mendapatkan bantuan mengatasi masalah ini. Aku terfikir kepada siapa yang boleh aku ceritakan segala masalah bus stop ini dan meminta nasihat daripadanya. So aku pun tulis panjang lebar kepada Ka Tan seorang kawan yang banyak memperjuangkan hak OKU. Lalu dia beri aku cadangan cuba tulis pada YB Yap seorang adun yang prihatin terhadap isu-isu OKU yang juga tersenarai dalam list rakan facebook aku. Aku memang ada fikir nak mesej YB Yap juga sebelum mesej Ka Tan. Jadi aku pun copy and paste apa yang aku tulis tadi dan mesej YB melalui facebook pada lewat malam itu juga. Aku juga meminta nasihat pihak mana harus aku tuju terhadap masalah ini. Pada keesokan pagi, aku gembira membaca respon YB yang menyatakan beliau akan datang tengok untuk memahami keadaan pada bulan April nanti memandangkan beliau sekarang sangat sibuk. 

Apabila aku tidak terima sebarang khabar daripada YB sehingga hujung minggu ke-2 bulan April, sekali lagi aku mesej beliau untuk follow up dan bertanya apakah aku harus emel beliau atau mana-mana pihak berkuasa yang harus aku tujui. Seterusnya aku pun menghantar emel padanya melalui alamat emel yang beliau bagi. Aku pun tunggu dan tunggu. 

Pada awal bulan Mei, ketika mama dan aku hampir putus asa terhadap masalah ini, tiba-tiba YB forward email aku kepada pelbagai pihak berkaitan untuk arrange satu lawatan ke sini bagi tengok keadaan dan cari jalan penyelesaian. Pada petang Jumaat minggu itu juga 8 Mei, mereka datang bertemu di food court flat aku. Kebetulan hari itu aku ambil cuti..nak sambung cuti dari Khamis 7 Mei cuti sempena pilihanraya kecil permatang pauh hingga Ahad. Maka aku dapat turun pergi bertemu dengan mereka semua. Kira-kira seramai 10 orang termasuk YB Yap yang datang. Mereka ada minta aku ajak pengguna bas lain yang ingin bertemu mereka boleh mai sama. Mama ada ajak orang tapi tiada seorang pun yang berani datang. Aku dan mama saja yang bertemu dengan mereka. Lepas mereka buat keputusan mengatasi masalah, baru ada satu orang turun ke food court beli makanan lalu bercakap dengan mereka sekejap. 

Mereka tanya, lihat keadaan persekitaran bus stop. Tidak beberapa lama saja, mereka mendapati rupa-rupanya di depan food court ada tempat yang strategik untuk dijadikan bus stop. Tempat yang sejurus selepas traffic light di persimpangan empat untuk ke flat ada selekoh masuk ke dalam sedikit yang sesuai bagi kenderaan berhenti. Tempat yang kadang-kadang orang luar ambil kesempatan berhenti kenderaan sekejap untuk mai food court atau rumah kedai lain. Tempat itu lebih dekat lagi dengan flat berbanding tempat bus stop lokasi asal yang kami harapkan dan keadaan permukaan laluan pejalan kakinya yang baik. Aku boleh dipimpin jalan terus antara bus stop ini dan lift bawah flat tanpa perlunya jalan di tepi jalan raya yang sibuk lagi walaupun beberapa langkah. Mudah bagi orang berdiri tunggu bas kat situ. Maka dalam masa sekejap saja mereka berputus untuk menetapkan satu bus stop baru di situ. Yahoo… Selain itu, mereka juga bercadang untuk membuatkan bus stop sebagai bus stop berbumbung dan seterusnya mengambil langkah untuk memudahkan orang melintas jalan ke bus stop seberang jalan. 


Pagi Khamis 14 Mei masa aku pergi kerja, kelihatan bus stop post telah dipasangkan pada lokasi terbaru ini. Beberapa hari seterusnya mama cerita macam mana bus stop terbaru. Ada bus driver yang berhenti dan banyak yang tidak berhenti di situ. Aku kata bagi mereka masa 2-3 minggu dulu memandangkan ini bus stop baru saja dan kongsi idea yang mungkin boleh buat agar mereka boleh berhenti jika ada orang nak turun naik. 

Malam Isnin 18 Mei ada seorang aunty sama cucunya umur 2 tahun lebih yang duduk sama flat mai rumah jumpa aku. Dia komplen ada bas berhenti ada bas tak berhenti menyebabkan dia kena bawa cucunya jalan jauh balik rumah. Begitu juga orang lain. Dia minta aku tolong tulis satu surat lagi pergi lapor. Aku enggan…cakap sabar tunggu beberapa minggu tengok keadaan dulu. Pada keesokan petang aunty datang jumpa mama lagi mengadu bas pun tak mau berhenti bagi anak dia yang sedang sakit kaki turun lalu meminta aku tulis surat pada mereka secepat mungkin. 

Jadi hari rabu 20 Mei, aku sekali lagi emel kepada semua orang yang terlibat sebelum ini menceritakan situasi yang mama dan pengguna Rapid hadapi dengan bus stop yang baru berfungsi seminggu ini. Keesokan paginya, terus ada orang rapid penang datang berdiri di bus stop baru memberhentikan setiap bas yang datang untuk beritahu mereka dan juga orang ramai yang lalu lalang bahawa sini bus stop baru. Apabila mereka memberhentikan bas, ternyata ada juga penumpang tekan loceng minta turun kat sini. 

Sejak hari itu, para driver memang berhenti bagi siapa-siapa yang naik turun bas kat sini. Sehari demi sehari berlalu, nampaknya semakin banyak orang yang sedar akan bus stop baru ini tunggu naik turun kat sini. Aku sendiri bersama-sama mama sudah pernah guna bus stop ini dua kali termasuk jumaat lalu. Aku gembira tindakan aku ni nampaknya dapat memberi manfaat kepada pengguna-pengguna bas yang tinggal di kawasan berdekatan. 

Terima kasih banyak-banyak kepada YB Yap, ketua jurutera unit lalu lintas, Rapid Penang dan pihak-pihak berkuasa lain serta Ka Tan yang membantu menyelesaikan masalah ini.