Aku sentiasa bersyukur kerana
dipertemukan rakan-rakan sekelas dan rakan-rakan sekerja yang baik sejak aku masuk tadika biasa lagi hingga hari ini. Kebanyakan, jika bukan semuanya, tidak
pernah tidak mengendahkan aku sebagai rakan sekelas/sekerja, membuli aku atau
mengejek aku ni cacat atau OKU. Sebaliknya, ramai antara mereka sedia membantu
aku untuk memudahkan kehidupan aku di sekolah khususnya semasa di dalam kelas.
Begitu juga di tempat kerja.
Sejak mula belajar di tadika
lagi, rakan-rakan sekelas khususnya yang duduk bersebelahan dan yang duduk berdekatan
aku banyak membantu aku semasa di dalam kelas. Sungguhpun ketika itu mereka
semua masih kecil baru saja berumur 6 tahun dan aku juga seorang pelajar baru
yang hanya masuk ke tadika mulai penggal II sesi persekolahan. Apabila loceng
berbunyi menandakan sesi pembelajaran bermula, mama meninggalkan aku di dalam
kelas. Rakan-rakan sekelas terutamanya mereka yang duduk bersebelahan dan
berdekatan aku akan tolong tengok-tengokkan aku.
Masalah pergerakan tangan aku yang
berketar-ketar dan tidak sengaja sering menyebabkan barang-barang aku terjatuh.
Pensel, pemadam, pembaris, pen, malah buku dan kotak pensel. Adakalanya barang
kepunyaan rakan yang duduk bersebelahan aku turut menjadi mangsa...terjatuh
juga. Rakan yang duduk bersebelahan atau berdekatan dengan aku akan bantu kutip
barang-barang yang jatuh lalu letak semula atas meja bagi aku. Kadang-kadang
rakan lain mahupun cikgu yang kebetulan jalan melalui tempat aku akan tolong
kutip.
Mereka akan bantu mengambil lalu
menghantar buku aku kepada cikgu di meja guru untuk disemak. Mereka akan
mengambil sekali buku aku yang telah disemak bagi aku. Mereka juga biasa
membantu aku mengeluarkan buku dari beg atau laci dan menyimpannya semula
selepas aku menggunakannya, mengeluarkan alat tulis yang diperlukan dan
kemudiannya menyimpannya semula ke dalam bekas pensel.
Sekiranya aku ingin ke tandas,
aku akan memberitahu cikgu atau meminta salah seorang rakan bantu memaklumkan
kepada cikgu. Kemudian cikgu akan meminta rakan itu pergi memanggil mama aku
yang duduk menunggu di kantin, di tangga berselahan dengan kelas kami atau di
tempat berdekatan seperti kedai buku sekolah (bergantung di mana kelas aku pada tahun persekolahan itu). Mama
akan datang ke kelas membawa aku ke tandas. Selain itu, mama akan menemami atau
menyuap aku makan ketika waktu rehat. Mama juga akan datang membawa aku ke kelas
lain.
Semasa aku belajar di sekolah
rendah terutamanya sesi persekolahan pagi, apabila sesi pembelajaran bermula,
mama akan pergi pasar dan kemudiannya akan datang semula tengok aku. Selepas
waktu rehat, mama biasa akan pulang ke rumah semula untuk memasak. Sebelum
meninggalkan aku di dalam kelas, mama akan meminta rakan-rakan kelas tolong
tengok-tengok aku selain mengingatkan aku untuk jaga diri baik-baik.
Semasa darjah satu lagi, ada dua
tiga rakan sekelas berkata kepada mama “Aunty baliklah rumah. Jangan bimbang.
Kami akan tolong Aunty jaga Chin Chin.”
Aktiviti menyalin dari papan
hitam semakin meningkat dari hari ke hari selaras dengan peningkatan keupayaan
dan kepantasan pelajar-pelajar upaya menulis. Namun, aku mengambil masa yang
panjang untuk menunjukkan kemajuan keupayaan dan kepantasan menulis yang tidak
seberapa dan kemajuan aku ini terhenti pada satu tahap saja. Pendek kata, aku
menulis lambat atau mengambil masa jauh lebih lama untuk menulis sesuatu
berbanding orang lain. Rasanya sejak darjah dua lagi, aku mula tidak sempat
menyalin nota atau soalan latihan dari papan hitam, apatah lagi yang hanya dibacakan
semasa belajar pada peringkat lebih tinggi. Aku terpaksa meminjam buku latihan rakan
balik rumah untuk menghabiskannya. Mereka meminjamkan aku buku latihan mahupun
buku kerja mereka balik rumah untuk melengkapkan nota, soalan latihan atau
catitan di rumah. Semasa di sekolah menengah, kadang-kadang aku terpaksa meminjam
sehingga empat atau lima buah buku rakan balik rumah pada sesuatu hari.
Selain itu, adakalanya aku
menelefon rakan sekelas untuk bertanyakan latihan dari buku teks atau buku
kerja yang perlu buat. Hal ini kerana aku tidak sempat menanda kesemua nombor
soalan atau bahagian teks yang dipetik dari buku teks yang cikgu telah bacakan
itu semasa di sekolah. Ataupun aku mc pada hari-hari berkenaan. Ada dua tiga
rakan yang aku biasa telefon untuk bertanya. Mereka ini sudah biasa dengan
percakapan aku yang kurang jelas. Setelah beberapa kali aku menelefon, ahli
keluarga termasuk adik mereka yang biasa mengangkat menjawab panggilan telefon juga
pun tahu siapakah yang menelefon ini lalu memanggil rakan aku menjawabnya. Jika
sebelum itu, ada antara ahli keluarga mereka pernah bercakap kuat atau menutup
telefon kerana hairan dan tidak faham percakapan aku yang tidak jelas serta
teragak-agak sebab kurang yakin. Aku pernah juga minta mama tolong cakap bagi
pihakku terlebih dahulu sehingga rakan aku menjawab telefon. Rakan sekelas aku
tersebut akan menjawab dan memberitahu aku satu per satu sambil menunggu aku
mencatatnya.
Rakan-rakan sekelas sememangnya
menerima aku sebagai sebahagian kelas dengan baiknya. Jika aku tidak silap, rakan-rakan
tadika turut memegang lalu memimpin tangan aku berayun-ayun bersama semasa
menyanyi beramai-ramai. Mereka tidak membiarkan aku duduk diam saja. Kehadiran
mama di sekolah setiap hari dan kemesraan mama terhadap rakan-rakan sekelas aku
sedikit sebanyak mendorong mereka berkawan dengan aku. Mama bertegur sapa,
sembang, mengusik dan bergurau senda dengan mereka.
Semasa darjah dua, aku telah
diminta lompat kelas ke darjah tiga atas sebab aku masuk sekolah biasa lewat dua
tahun. Bukan aku saja, rakan-rakan sekelas di darjah dua turut berasa sedih
yang aku terpaksa meninggalkan mereka. Mereka tertanya-tanya sebab aku kena
pergi kelas lain apatah lagi ke kelas darjah tiga. Pada waktu rehat, beberapa
rakan sekelas terutamanya yang agak rapat dengan aku kerap datang jumpa aku di
kelas baru. Mereka bertanya khabar dan berbual dengan aku dan juga mama. Rakan-rakan
sekelas aku di darjah tiga juga baik seperti rakan-rakan sekelas aku sebelum
ini. Selain membantu aku semasa dalam kelas dan meminjam aku buku, ada antara
mereka juga memberi nasihat dan sokongan moral kepada aku yang ketika itu
menghadapi tekanan akibat lompat kelas.
Selepas darjah tiga, pelajar-pelajar
mula diagihkan ke kelas-kelas tertentu mengikut prestasi akademik masing-masing.
Semasa darjah empat, aku dimasukkan ke kelas kelima daripada tujuh kelas. Rakan-rakan
sekelas aku juga baik, sudi berkawan dan sentiasa sedia membantu aku. Begitu
juga dengan tahun-tahun seterusnya.
Aku masih ingat semasa di darjah
empat, ada seorang rakan lelaki memanggil aku ‘Kucing’ memandangkan namaku Chin
Chin. Namanya Ikram. Selepas itu, aku terfikir lalu membalas panggilannya itu
dengan memanggilnya ‘Ikan’. Kakak
kembarnya yang belajar di kelas sebelah tergelak terhadap kami yang mengusik
antara satu sama lain. Aku dan kakak kembarnya gelak apabila kami menyedari tentang
makanan kucing. Oh ya...kucing suka makan ikan. Jujur aku tidak sekali pun
terfikir akan hal ini masa mula-mula aku membalas panggilannya dengan panggilan
tersebut. Aku langsung tidak berniat jahat selain bermain dengannya yang nak
bermain dengan aku. Tanpa dirancang, aku seolah-olah menang dalam hal ini.
Aku dan rakan-rakan sekelas juga
membantu satu sama lain dalam pelajaran terutamanya semasa kami belajar pada
peringkat menengah atas. Semasa peperiksaan menjelang, kami semua sibuk
mengulang kaji di dalam kelas. Kami sibuk membuat pelbagai latihan dari
buku-buku masing-masing khususnya latihan matematik tambahan bagi persediaan
menduduki ujian dan peperiksaan. Kami saling bertanya, membantu dan memberi
tunjuk ajar satu sama lain untuk menyelesaikan soalan-soalan berkaitan. Selain
itu, ada dua tiga orang rakan sekelas juga biasa datang ke rumah aku untuk
belajar bersama-sama.
Sejak darjah lima, aku mula
mempunyai sesorang ‘buddy’ yang sememangnya sentiasa bersama dengan aku, membantu
aku dan berkawan rapat dengan aku. Aku akan bercerita tentang mereka seorang
demi seorang dalam post-post aku yang akan datang.
Teruskan menulis chin chin...
ReplyDelete