Thursday 23 April 2015

Luahan Hati - What is the Purpose of Life?

What is the purpose of life???

Aku sering bertanya diriku sendiri persoalan ini terutamanya sejak aku memasuki alam pekerjaan. Aku cuba mencari jawapan akan erti hidup sebenar, apakah matlamat hidup aku...memikirkan sebab-sebab aku hidup, apakah yang akan aku jadi satu hari nanti.

Namun tak kira betapa banyak masa aku habiskan untuk berfikir, berapa banyak kali aku memikirkanya, aku tetap tidak dapat memperoleh jawapan yang memuaskan hatiku. Aku sebenar berpendapat hidup aku ni tiada maknanya. Aku rasa hidup ni agak boring...kita perlu melakukan benda-benda yang sama saja setiap hari memandangkan itu adalah peraturan hidup..bangun pagi, membersihkan diri, sarapan, pergi kerja / belajar, lunch... malam tidur...dan lepas tu esok pagi kita bangun dan ia semua berterusan.

Aku sebenarnya rasakan hidup aku ni tidak bermakna. Kalau dulu masa belajar baik di sekolah mahupun di universiti tu ok. Aku pergi sekolah...pergi kelas dengar cikgu ajar, dapat belajar ini itu perkara-perkara baru. Aku menumpukan sepenuh perhatian masa cikgu mengajar, buat segala latihan atau tugasan, buat ulangkaji.. belajar betul-betul untuk exam. Masa tu aku belajar bersungguh-sungguh dengan harapan mendapatkan keputusan yang baik seperti kawan-kawan yang upaya dan kemudian masuk universiti, mendapat ijazah demi mendapat pekerjaan yang bagus dan masa depan yang lebih cerah. Tengok masa tu aku bukan belajar sekadar menghabiskan masa seharian saja, tetapi adanya ganjaran...adanya matlamat yang nyata untuk dicapai, baik bagi jangka  masa pendek dan jangka masa panjang.

Berbeza pula dengan kehidupan pada zaman adulthood atau alam pekerjaan. Aku bersyukur kerana aku ada pekerjaan sungguhpun aku mengalami  CP yang menjejaskan segala pergerakan dan pertuturanku. Sebaik saja aku tamat pengajian di USM, aku diterima kerja di Persatuan Kanak-Kanak Cerebral Palsy (Sepastik) Pulau Pinang. Aku tidak dapat membayangkan bagaimana kehidupan aku dan juga keluarga khususnya ibu sekiranya aku tidak bekerja memandangkan keadaan keluarga yang susah dan juga tertekan sejak aku kecil lagi. Aku tidak dapat membayangkan betapa beratnya tanggungjawab yang terpaksa abang pikul seorang diri untuk memerdekakan kami sekeluarga.

Setelah hampir dua tahun aku mengajar di Spastic Centre, ada lecturer mencadangkan aku cuba memohon kerja kat USM. Aku sememangnya ada fikir nak cari kerja lain atau part-time job untuk menambahkan pendapatan agar mampu beli rumah duduk sama-sama keluarga. Tapi apa job yang aku boleh mohon, syarikat mana yang sudi ambil aku bekerja. Aku nak kerja tapi tidak ada keyakinan memandangkan ketidakupayaan aku. Atas galakan lecturer tu dan juga tututan hidup, aku memberanikan diri untuk cuba nasib memohon kerja kat USM dan aku dapat kerja secara kontrak.

Maka aku mula kerja di USM. Bos dan rakan-rakan office terima aku dengan baiknya. Aku merupakan satu-satunya staf OKU kat office kami. Ada staf OKU lain yang bekerja di USM tapi tak sama office. Aku happy rakan-rakan sekerjaku baik, boleh bantu dan berkawan denganku. Aku gembira bersama-sama mereka setiap hari. Namun aku tidak gembira dengan tanggungan kerjaku...produktivitiku...keupayaan fizikal dan juga mental aku untuk bekerja. Sungguhpun begitu, dengan kerja ini yang gajinya jauh lebih tinggi daripada kerja sebelum ini, aku berupaya membawa ibu dan diriku sendiri keluar daripada kehidupan yang tertekan sebelum ini.

Setiap pagi hari kerja, aku bangun menguruskan diri dan bersarapan pagi. Jumie datang ambik aku pi kerja. Masuk office time kerja duduk kat tempatku buat kerja...lunch time makan roti yang aku bawa dari rumah sambil rehat atau melayari internet seperti biasa.. then time sambung kerja balik sampai petang. Kerja office ni seperti biasa kadang-kadang sibuk dan kadang-kadang tidak, lebih-lebih lagi bagi diriku yang lembab ni tiada banyak kerja yang aku berupaya buat. Bila ada kerja aku akan buat kerja...bila tiada kerja pula aku tetap duduk kat depan komputer buat ini buat itu sementara tunggu kerja baru, lunch time atau  masa balik. Lepas kerja biasanya terus balik rumah, dinner, tengok TV, mandi, melayari internet - FB, chating...then tidur. Esok bangun dan kitaran yang sama terus berputar. Hujung minggu  dan cuti umum pula, aku juga biasanya habiskan masa siang malam kat rumah..buat aktiviti-aktiviti yang hampir sama setiap hari...duduk kat hadapan komputer, tengok TV, rehat, baring, tidur. Sekali-sekala aku ada pergi shopping berjalan kat tesco dan komtar bersama-sama ibu selain pergi exercise di Spastic Centre.

Aku biasa rasa hidup aku ni boring dan tidak bermakna. Setiap hari buat beberapa aktiviti yang sama dan terhad. Bosan dan stress dengan keadaan kehidupan dan juga kerja. Aku ni tak sama seperti orang lain...dapat keluar rumah dengan mudah...pergi jalan-jalan, shopping, makan bersama-sama members, bersosial..melepaskan tekanan... dating, berkahwin, membina keluarga, membesarkan anak-anak yang merupakan harta dan impian masa depan mereka. Sememangnya OKU juga mempunyai hak-hak yang sama itu dan ada juga OKU yang berumahtangga seperti orang lain. Namun bukan senang nak dapatkan insan yang sudi memilih OKU lebih-lebih OKU yang moderate atau severe seperti diriku sebagai teman hidupnya. Bagaimanapun aku sendiri tidak berkeinginan mencari teman hidup. Aku pun bukannya suka sangat keluar pergi berjalan-jalan..makan, shopping kerana rasanya ia bukannya dapat beri aku kegembiraan yang berpanjangan. Aku pernah fikir nak kembali ke spastic centre untuk mengajar pelajar-pelajar CP. Dulu aku gembira bila mengajar mereka kerana mereka memberi inspirasi pada diriku untuk meneruskan hidup dengan tabah. Tapi aku tidak boleh berputus asa berhenti kerja di USM dan kembali kerja kat spastic centre kerana aku ada komitmen pada kehidupan diriku dan ibu. Macam mana aku nak bayar pinjaman rumah, pinjaman PTPTN, bayar maintenance, bayar ultiliti, bagi ibu duit yang secukupnya untuk menguruskan perbelanjaan rumah dan makan minum kami dan juga perbelanjaan aku sendiri sekiranya aku kembali kerja kat spastic centre dengan gaji yang jauh lebih rendah. Aku harus terus kerja kat USM selagi diberi peluang.

Aku biasa rasa down dan berpendapat hidup ni boring dan tidak bermakna. Aku bukan saja merasakan kehidupan yang aku lalui saban hari ni sukar, tetapi juga tidak tahu macam mana hidupku pada masa depan kelak apabila ibuku semakin tua, uzur dan meninggalkanku buat selama-lamanya suatu hari nanti. Kan aku memerlukannya untuk membantuku mengurus sesetengah aktiviti kehidupan. Bagaimanapun tak kira betapa sukar sekali pun aku tahu aku tidak harus berputus asa dalam hidup ni lagi. Aku tidak boleh pentingkan diri sendiri dengan membunuh diri sewenang-wenangnya. Aku tidak dapat membayangkan bagaimana ibu kalau aku yang dia begitu sayang meninggalkannya buat selama-lamanya lebih-lebih lagi dengan cara mengambil nyawa sendiri. Oleh itu, aku terus tabah menjalani kehidupan demi Tuhan yang menganugerahkanku nyawa ni dan ibu yang begitu susah payah menjaga aku yang CP ni sejak lahir hingga sekarang...memberiku rawatan terapi dan menyekolahkanku sehingga aku mendapat ijazah.

Aku terus tabah menjalani dan meniti kehidupan seharian. Sesuatu keadaan kehidupan yang sukar tidak semestinya akan kekal sukar buat selama-lamanya. Keadaan hidup dan persepsi terhadap hidup akan berubah dari masa ke semasa. Aku terus cuba berfikiran positif dan bersungguh-sungguh terhadap pekerjaanku. Perlahan-lahan kerjaku menampakkan perkembangan yang baik dan aku semakin gembira terhadapnya. Selain itu, aku dipertemukan peluang-peluang dan idea-idea untuk berkongsi ilmu dan kisah demi kebaikan golongan OKU. Antaranya, aku pernah diajak kawan-kawan OKU untuk bekerjasama memperjuangkan aksesibiliti OKU berkali-kali sejak tahun 2009. Kami tulis blog, ada laman sosial FB khas, cadang adakan website. Aku sendiri pernah tulis blog tentang CP dalam bahasa Malaysia suatu ketika dulu memandangkan tiada atau kurangnya penulisan tentang CP dalam bahasa Malaysia. Pada awal tahun 2013, aku dipertemukan satu kumpulan sokongan ibu bapa dan keluarga CP (Malaysian Advocates for Cerebral Palsy - MyCP) secara online dalam facebook. Mula-mula aku kurang aktif dalam kumpulan tu kerana aku tak tahu macam mana aku individu CP ni dapat contribute dalam group tu lebih-lebih lagi aku ni tak pandai sembang. Akhirnya pada pertengahan tahun lalu, terdetik hatiku untuk lebih berkongsi kisah hidupku..kisah pengorbanan ibu membesarkanku dengan mereka. Tanpa aku sangka perkongsianku ni mendapat respon yang bagus...perkongsian kisahku dapat memberi manfaat...sokongan pada mereka.  Maka aku tergerak hati memulakan blog 'Suka Duka Kehidupan Chin Chin' ni pada Julai 2014. Selanjutnya, pada awal tahun ini pula, aku memulakan laman sosial Facebook Page 'Chin Chin CP' untuk berkongsi lebih banyak kisah...kehidupan seharian aku dengan para ibu bapa kepada anak OKU, kawan-kawan dan sesiapa saja yang berminat mengetahui kehidupan aku sebagai seorang individu CP.

Melalui perkongsian ilmu dan kisah serta memberi sokongan kepada ibu bapa dan keluarga CP ni, aku dapat merasai kegembiraan. Aku sememangnya suka buat kerja sukarela atau buat sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan. Bagi diriku, inilah dapat memberi kegembiraan padaku. Dulu aku sedih yang ketidakupayaan dan kesukaran aku keluar rumah menghalangku pergi buat volunteering. Tapi tidak mengapa.. akhirnya aku sedar tidak semestinya kena keluar rumah atau berkeadaan fizikal yang lebih baik baru boleh volunteer. Aku ni tetap berupaya buat sesuatu yang bermanfaat kepada orang lain dan diriku sendiri dengan menggunakan komputer di rumah saja.

Sungguhpun aku masih tidak jelas akan matlamat hidupku...sungguhpun ada masanya aku masih terfikir hidup aku ni tidak bermakna, namun aku tetap tabah meneruskan hidup. Aku tahu setiap orang termasuk diriku pasti akan meninggalkan dunia ni satu hari nanti. Baik kita gembira mahupun sedih, siang malam tetap akan berlalu. Dan bila sehari-harian berlalu, maka kurangnya masa sehari-hari tu kita akan hidup di dunia ni sungguhpun kita tidak tahu bila masanya kita akan meninggalkan dunia ni. Kini, selain kerja, aku menggunakan masa lapang ku yang banyak terluang dengan membuat sesuatu bermanfaat kepada diri dan orang lain yang aku berupaya buat, dan ia memberi kegembiraan kepadaku secara tidak langsung. Tak guna aku ni bersedih... termenung memikirkan...mempersoalkan akan hidupku..masa depanku. Aku harap aku akan terus berfikiran terbuka seperti ini atau lebih positif lagi buat selama-lamanya.

2 comments:

  1. AN interesting and honest post. Well done.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanks. Take so much strength and time to write it at last. Is a self-therapy too.

      Delete