Friday 28 November 2014

Lompat Kelas (bhgn 1)

Hai pembaca-pembaca blog Suka Duka Kehidupan Chin Chin. Minta maaf banyak-banyak kerana lama tak update blog ini. Sibuk sikit dan bila ada masa lapang pula, sekejap rasa nak buat ini sekejap nak buat itu. Saya juga masih kurang kemahiran menulis...ambil masa untuk mengarang. Tak dapat menulis panjang dalam masa yang singkat. Walaubagaimanapun saya ingin berkongsi pengalaman-pengalaman hidup saya dengan anda semua. 

Oh ya...saya pernah lompat kelas. Lompat dari darjah 2 ke darjah 3. Saya baca darjah 2 masa sesi persekolahan 1991/92. Setelah beberapa bulan, rasanya bulan Mei 1992, saya terpaksa lompat kelas ke darjah 3. Kenapa saya lompat kelas ya? Kerana saya masuk sekolah biasa lewat dua tahun.

Masih ingat lagi tak saya pernah cerita saya tidak bersedia masuk sekolah aliran perdana masa umur 7 tahun dan dimaklumkan kanak-kanak OKU seperti saya boleh masuk lewat dua tahun pada masa tu. Maka, saya hanya masuk tadika masa umur 8 tahun dan baca satu penggal saja iaitu penggal kedua (Jun'90 - Oct'90). Kemudian masuk darjah 1 bagi sesi persekolahan 1990/91.

Masa nak masuk sekolah rendah, keluarga saya kena pergi berurusan di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) memandangkan ini kes khas. Masa masuk darjah satu, ibubapa saya diberi satu surat yang menyatakan:
Anak tuan/puan telah berumur 9 tahun dan sepatutnya berada dalam darjah 3. Oleh kerana itu, anak tuan/puan dikehendaki berada dalam:
  • Darjah 1 bagi tiga bulan pertama sesi persekolahan 1990/91
  • Darjah 2 bagi tiga bulan kedua sesi persekolahan 1990/91
  • Darjah 3 bagi bulan-bulan seterusnya sesi persekolahan 1990/91
Apa.... Saya mana mampu nak mengikuti kurikulum tahun 1, tahun 2 dan tahun 3 dalam masa setahun. Rasanya kanak-kanak upaya pun tidak mampu. Apatah lagi saya yang mengalami CP. Saya pun bukannya suka-suka masuk sekolah biasa lewat tapi disebabkan perkembangan diri saya. Lagipun pernah dimaklumkan dua tahun lepas bahawa saya boleh masuk sekolah aliran perdana lewat. Sekarang diberitahu tak boleh pula.

Bagaimanapun masa darjah 1 saya tidak lompat kelas. Guru kelas Cikgu Minah (bukan nama sebenar) ada beritahu dan memperingatkan ibu akan kandungan surat JPN tu. Tapi macam mana nak lompat, belajar dalam darjah 1 pun dah ada cabarannya. Ibu berbincang dengan cikgu dan akhirnya saya terus belajar darjah 1 sampai hujung tahun dan kemudian masuk darjah 2 bagi sesi persekolahan 1991/92 sama-sama dengan rakan-rakan sekelas.

Hampir setengah tahun saya berada dalam darjah 2, tiba-tiba pihak JPN dapat tahu saya ni tidak lompat mana-mana kelas seperti yang diminta sebelum ini. Maka, saya terus disuruh lompat ke darjah 3. Tak boleh tak lompat. Saya dicadangkan masuk ke kelas permulihan (kelas khas) di sekolah saya sekiranya betul tak mahu lompat ke darjah 3. (Kelas pendidikan khas yang dinamakan kelas pemulihan masa tu baru saja bermula di Sekolah Rendah Kebangsaan Jelutong Barat tahun itu dan ada juga murid-murid upaya yang lemah pelajaran diberi bimbingan tambahan di kelas tersebut pada slot masa tertentu)

Saya dan ibu pernah juga terfikir nak masuk ke kelas khas tu tapi pihak Persatuan Kanak-Kanak Cerebral Palsy Pulau Pinang nasihat kami supaya jangan. Pun nasihat kami agar saya tidak terus putus asa dan kembali ke Persatuan. Kerana kat Persatuan tiada peluang belajar tinggi-tinggi...cuma setakat pelajaran sekolah rendah saja. Maka, saya belajar dalam darjah 3 saja.


Sememangnya susah saya yang tengah belajar darjah 2 tiba-tiba saja masuk darjah 3. Murid-murid darjah 3 pun dah ikuti silibus tahun 3 hampir setengah tahun. Saya yang baru saja belajar operasi yang melibatkan dua digit tiba-tiba kena buat latihan operasi yang melibatkan tiga digit pula. Rakan sekelas lama (Kelas 2 Mutiara) pun pening tengok latihan matematik yang saya kena buat dalam kelas baru ketika mereka datang melawat saya masa rehat. Sedih pilu saya seorang terpaksa berpisah dengan mereka semua dan bersama-sama murid-murid Kelas 3 Mutiara pula. Nasib baik ada juga murid-murid Kelas 3 Mutiara yang nak berkawan dan bantu saya.

Saya berasa sangat sukar nak mengikuti pelajaran masa tu. Cikgu yang ajar english tegas orangnya dan ajar dengan pantas. Satu waktu pelajaran saja iaitu 30 minit atau 35 minit saja, murid-murid seluruh kelas boleh disuruh beratur untuk disemak buku dua tiga kali. Dia ajar, bagi latihan, kemudian semak latihan yang dibuat setiap murid dan proses ini diulang 2 - 3 kali. Setiap hari Jumaat dia akan bagi kami dictation. Pada awal tahun cikgu tu dah mula bagi mereka latihan spelling dan masa saya masuk kelas tu dia telah bagi latihan dictation. Saya mana mampu buat. Pertama, saya tulis lambat - tak sempat nak tulis kata-kata yang cikgu katakan. Baru tengah tulis perkataan pertama atau kedua, cikgu sudah baca habis ayat tu dan nak mula ayat kedua. Kedua masalah subjek tu - saya tak faham, tak dapat tangkap apa yang dikatakan, tak tau macam mana nak eja. Apa lagi nak buat kalau bukan tiru kerja murid lain. Masa darjah 3 lah, prestasi english saya mula merosot. Sebelum tu english saya ok. Sejak tu, english saya dah tak bagus. Bagaimanapun cikgu tu baik orangnya. Dia sendiri pergi cari buku-buku teks tahun 3 bagi saya apabila tengok saya masih tak diberi buku teks walaupun sudah berminggu-minggu saya berada dalam darjah 3.

Satu perkara lagi... Ketika tu saya asyik saja rasa nak buang air kencing. Tapi apabila ibu dukung saya ke tandas, saya tak dapat membuang pula. Saya cuba tapi tak buang-buang juga lalu ibu pun dukung saya balik kelas. Sebaik saja sampai kelas atau tidak beberapa lama kemudian, saya rasa nak buang. Ibu terpaksa dukung saya ke tandas semula. Ibu rasa geram dengan saya juga. Lebih-lebih lagi ada kalanya saya menangis kat kelas kerana rasa nak buang tapi tak boleh membuang. Selain itu, saya juga minta ibu duduk berhampiran dengan kelas. Tak bagi ibu duduk kat kantin yang agak jauh. Tak taulah kenapa saya macam itu. Entahlah saya stress ka atau develop behavior problem. Atau saya saja nak lalu kelas lama jenguk kawan-kawan lama. Rindu kot. Kalau saya ke tandas, saya sememangnya akan berlalu depan belakang bilik darjah lama. Saya cuma tak berani buat perangai masa subjek english kerana takut cikgu yang tegas tu. Saya pernah juga ponteng sekolah masa tu.

Walaubagaimanapun saya ada cuba belajar sebaik mungkin juga. Ada buat latihan yang diberi. Keputusan peperiksaan akhir tahun tu cukup-cukup lulus saja...semua turun berbanding markah-markah masa darjah 1 dan darjah 2. Hanya matematik ok sikit, dapat B tak silap saya.

Selepas darjah 3, murid-murid dibahagikan kelas mengikut prestasi akademik masing-masing. Saya dapat masuk kelas 4 Mutiara iaitu kelas ke-5 daripada 7 kelas. Masa darjah 4, saya tak menghadapi masalah nak buang air tapi tak boleh lagi. Saya sudah rasa gembira belajar dalam kelas dan belajar bersungguh-sungguh. Saya dapat mengikuti pelajaran dengan baik walaupun susah. Kan tahap pencapaian akademik kami sekelas hampir sama saja. Kami semua tak seberapa pandai belajar.

Akan bersambung 

Tuesday 4 November 2014

Merangkak

Saya belajar merangkak masa umur 2-3 tahun. Masa tu saya masih hanya berterapi kat GH (general hospital) saja. Saya mula mengikuti sesi terapi di GH sejak umur 2-3 bulan lagi. Kat rumah ibu ada buat terapi bagi saya seperti apa yang cikgu (jurupulih) buatkan.

Bukan mudah bagi saya seorang budak CP merangkak; dan juga mencapai milestones lain. Nak buat posisi merangkak dengan mengangkat perut atau pasti badan mendatar tergantung atas udara disokong kedua-dua tangan dan kaki saja seperti sebuah meja. Dengan posisi sebegitu, perlu angkat tangan kanan (atau kiri) untuk gerak ke depan diikuti kaki kanan dan kemudian tangan kiri (atau kanan) pula diikuti kaki sebelah itu. Pergerakan tangan kanan, kaki kanan, tangan kiri dan kaki kiri diteruskan berselang-seli. Badan perlu dikekalkan dalam keadaan mendatar dengan punggung diangkat atas sekali.

Saya rasa sukar nak angkat lalu kekalkan badan dan punggung mendatar. Sukar untuk membuka jari-jari tangan supaya dapat menapak tapak tangan sama-sama jari-jari pada permukaan lantai/tilam. Masa  kecil dulu jari-jari tangan dan kaki saya sentiasa berada  dalam keadaan membengkok ke dalam kalau bukan mengenggam. Cikgu dan ibu kena buat terapi bagi membuka jari-jari saya. Apatah lagi dalam keadaan mendatar, tangan dan kaki perlu gerak ke depan berselang-seli. Cikgu ajar saya bimbing saya merangkak. Katanya buat seperti harimau yang sedang bergerak.

Peningnya nak merangkak. Tangan mesti lulus menegak. Begitu juga bahagian paha supaya punggung terangkat. Sekejap tangan perlu angkat lalu gerak ke depan dan seterusnya letak pada permukaan lantai pula dengan jari-jari kena buka semuanya. Sekejap tangan, sekejap kaki pula dan kanan kiri kanan kiri. Oh peningnya saya. Kenapa saya tidak boleh bergerak dengan cara saya  sendiri.  Masa tu saya masih bergerak secara mengesot. Saya mengesot sehingga baju seluar kotor. Begitu juga dengan tangan kaki saya.

Harimau! Harimau! Harimau! Saya teriak pada cikgu yang mengajar saya tu apabila nampaknya di seksyen fisioterapi. Teruknya saya. Entahlah sama ada saya faham sebab cikgu kata buat macam harimau tak. Entahlah masa itu saya tahu apakah itu harimau tak. Atau saya berasa marah, geram, frustrate pada cikgu menyuruh saya merangkak seperti harimau yang begitu sukar sekali sehingga teriak cikgu tu harimau. Entahlah. Cikgu tu tak tahu nak buat apa kat anak murid ni.

Orang ajar saya merangkak harimau, saya pula ubahsuai pergerakan tu kepada pergerakan melompat macam katak. Dengan posisi duduk atas kaki, saya bongkokkan badan ke depan supaya  kedua-dua tangan menyentuh lantai di hadapan. Kemudian kedua-dua kaki menginjak/mengheret ke depan secara serentak. Lepas itu, saya angkat badan dan tangan sebelum letak tangan semula pada kedudukan yang lebih depan. Dan kaki diinjak/diheret ke depan lagi. Saya boleh lakukan pergerakan ini dengan pantas. Mana tak pantas. Kedua-dua tangan bergerak sekali dan begitu juga dengan kaki. Tak payah angkat punggung tinggi-tinggi. Punggung boleh diletakkan pada betis. Pergerakan ciptaan saya ni memang salah. Saya buat sampai kaki terutamanya sebelah atas tapak kaki (tak tau panggil apa, tapi bukan pada tapak kaki) lebam, kulitnya jadi kasar dan ada tompok berwarna hitam kecoklatan. Tompok tu semakin hari semakin besar.

Latihan demi latihan saya buat, tak tahu berapa lama, akhirnya saya boleh merangkak sendiri dengan cara yang betul. Sungguhpun begitu, ada masanya tetap saya melompat seperti katak. Lebih-lebih lagi ketika saya nak bergerak pantas seperti ketika bermain dengan abang. Bila kena tegur, barulah merangkak betul. Saya juga masih pernah melompat sebegitu masa umur 8-9 tahun walaupun masa tu dah boleh jalan sendiri sikit-sikit. Akhirnya saya tak buat lagi cuma berjalan. Tompok hitam kecoklatan pada kaki jelas kelihatan bertahun-tahun lamanya sehingga usia berbelasan tahun, barulah kesannya hilang sepenuhnya. Itulah cerita pasal saya merangkak.

Friday 17 October 2014

Tanda pada buku-buku tulis

Kali ini saya nak kongsi satu TIP yang saya guna semasa di bangku sekolah dulu. Bukan tip belajar atau tip menghadapi peperiksaan dengan cemerlangnya...tau. Tapi satu tip yang memudahkan saya yang menghadapi masalah pergerakan tangan mengikuti pembelajaran di sekolah aliran perdana (sekolah biasa).

Masa sekolah kan kita kena bawa sejumlah buku tulis ke sekolah setiap hari untuk mengikuti beberapa subjek/matapelajaran pada sesuatu hari itu...mungkin 8 buah..mungkin 10 buah...mungkin lebih daripada itu...bergantung pada darjah/tingkatan berapa kita belajar masa tu, bilangan subjek hari tu dan bilangan buku tulis bagi sesuatu subjek.

Bukan mudah bagi saya nak membelek buku-buku tulis yang berada dalam beg untuk mencari buku yang diperlukan dalam masa yang singkat. Nak keluarkan buku itu secepat mungkin untuk menyalin nota atau soalan-soalan latihan dari papan hitam atau buku teks. Adalah sukar juga kalau nak ambil keluar semua buku tulis yang dibawa itu untuk cari satu per satu, dan kemudian simpan balik ke dalam beg. Semasa saya mengeluarkan buku-buku itu, memegang lalu mencari satu per satu atau memasukkan dalan beg semula, biasanya ada buku yang terjatuh atau hampir terjatuh. Buku-buku yang dipegang itu juga akan berselerak. 

Untuk memudahkan saya, ibu menandakan satu garisan kecil yang tebalnya 4-5mm pada tengah-tengah pinggir buku dengan pensel warna yang berlainan warna. Saya masih ingat akan warna pada buku-buku tulis bagi sesetengah subjek lagi...

Merah bagi bahasa Malaysia
Hijau bagi English
Biru bagi Matematik
Orange ka bagi Pendidikan Moral
Hitam bagi Alam dan Manusia

(Masa sekolah rendah dulu saya belajar subjek Alam dan Manusia yang kini telah diganti dengan subjek Sains dan subjek Kajian Tempatan)


Dan lain-lain lagi seperti Pendidikan Muzik, Kemahiran Hidup...entahlah ada tanda tak... Saya dah lupa... Tapi subjek-subjek utama semestinya ditanda lebih-lebih lagi subjek itu bukannya cuma ada sebuah buku tulis saja, tapi 2, 3 buah, malah ada yang sampai 4 atau 5 buah.

Dengan adanya tanda tersebut, saya dapat mengenalpasti lalu mengeluarkan buku-buku tulis tertentu dengan mudah. Contohnya, apabila waktu bagi matapelajaran bahasa Malaysia, saya boleh terus tarik atau ambil keluar buku-buku tulis yang bertanda merah saja. 

Selain itu, masa kat rumah pun mudah kalau saya perlu bantuan ibu untuk ambil buku tulis bagi saya atau kemas buku tulis tertentu untuk dimasukkan ke dalam beg sebelum pergi sekolah. Saya hanya perlu beritahu ibu sama ada buku yang ada tanda hijau ka, orange ka, hitam ka. Ibu terus boleh ambil buku itu bagi saya.

Apabila cikgu nak bagi balik buku-buku kami setelah disemak, dengan mudah saja sudah tahu yang mana satu ialah buku saya... yang ada jalur berwarna ialah buku saya...ini bukan sesuatu yang penting..saja nak cakap.. hehe  

Saya mengamalkan tip ini semasa saya belajar di sekolah rendah terutamanya. Kalau tak silap saya, masa sekolah menengah saya masih buat begitu... mungkin bagi sesetengah subjek saja.

Sunday 12 October 2014

Guru Kelas Darjah 1: Dari Kurang Yakin Kepada Rasa Terharu

Hari ni saya nak cerita pasal guru kelas saya masa belajar dalam darjah 1... Saya belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Jelutong Barat dan masa tu belajar dalam Kelas 1 Mutiara.

Pada hari pertama, setelah guru kelas saya, Cikgu Minah (bukan nama sebenar), mengendalikan urusan-urusan permulaan sesi persekolahan, dia pun memulakan pengajaran sementara tunggu waktu habis sekolah yang masih tinggal sejam dua lagi. Semua murid diminta duduk atas lantai di hadapan kelas, manakala saya duduk di tempat saya. Ibu bagi saya duduk di tempat yang berdekatan dengan meja guru agar dapat memudahkan cikgu tolong tengok-tengok saya.

Cikgu Minah menyuruh seorang demi seorang murid menulis sesuatu abjad seperti yang dimintanya pada papan hitam. Selepas beberapa orang, dia pun menyuruh saya tulis juga. Dia memimpin saya berjalan ke papan hitam. Apabila sampai di depan papan hitam, saya mengambil dan memegang kapur lalu cuba menulis.  Saya yang berdiri cuba tulis huruf yang diminta. Kapur yang saya pegang patah sekali dua kerana tangan saya menekannya terlalu kuat ketika menulis. Apa yang saya tulis sememangnya kelihatan seolah-olah huruf yang diminta tetapi tulisan sangat teruk macam cakar ayam. Saya sememangnya tahu menulis huruf yang diminta itu, malah tahu semua huruf A-Z...huruf besar dan huruf kecil. Namun, saya tidak dapat menulis dengan baik kerana tiada tempat yang membolehkan saya menyandar lengan ketika menulis pada papan hitam yang berkedudukan menegak. Tidak sama seperti menulis di meja yang berkeadaan mendatar. Lagipun saya kena tulis dalam keadaan berdiri. Cikgu Minah mengeleng kepalanya ketika dia melihat saya menulis. 

"Dia boleh bacalah. Tengok minta tulis 'a', dia tulis 'a'... Apa punya  cikgu geleng kepala cakap dia tak boleh," kata seorang dua ibubapa yang berdiri bersama-sama ibu saya menunggu di luar kelas, masing-masing nak tengok anak-anak yang baru masuk darjah satu. Mereka pun berasa marah melihat respon Cikgu Minah.

Kemudian Cikgu Minah bercakap dengan ibu saya... macam saya ni tidak harus belajar di kelas tu...sekolah tu. Entahlah apa persepsi cikgu tu. Pada hari suai kenal dua hari sebelum buka sekolah, ibu siap bawa buku latihan buku kerja saya masa tadika untuk tunjuk pada guru kelas (cikgu itu). Tunjuk padanya yang saya boleh tulis boleh buat latihan yang diberi...cuma tulis lambat dan tulisan tak seberapa cantik. Ah..lah budak kecil yang upaya juga bukan semuanya yang tulis cantik. Inikan saya pula seorang kanak-kanak CP yang mempunyai masalah pergerakan tangan.  Apakah cikgu rasa saya tak boleh belajar di sekolah biasa hanya kerana saya ni OKU.. tak boleh tulis pada papan hitam.

"Kalau Cikgu rasa Chin Chin tak boleh baca kat sini, Cikgu tolong tulis surat. So saya bawa Chin Chin balik sekolah spastik," kata ibu saya yang berasa susah hati dengan respon cikgu itu. Ibu rasa nak berputus asa. Dia susah-susah dukung saya mai sekolah; cikgu pula kata begitu. Bagaimanapun Cikgu Minah tidak memberi kami sebarang surat.

"Mama... saya nak pi sekolah..... Saya tak mau balik spastik," saya menangis apabila ibu berkata pada saya agar pergi belajar di sekolah spastik semula setelah berfikir apa yang Cikgu Minah beritahunya masa kat sekolah pagi tadi. Tak tahulah kenapa saya suka sangat belajar di sekolah baru...sekolah biasa. Ibu sebenarnya pun berat hati nak hantar saya balik sekolah khas tetapi dia susah hati dengan pandangan cikgu tu.

Pada keesokan hari-hari, ibu tetap mendukung saya ke sekolah. Masa itu kami sekeluarga masih menumpang bilik di sebuah rumah kedai dua tingkat di sekitar pasar Jelutong. Jadi kami tinggal berhampiran dengan sekolah. Apabila kami sampai di pagar sekolah, penjaga pintu yang nampak saya didukung mengejek.

"Eee... menangis tak mau datang sekolah." Dia ingat saya menangis kerana tak mahu datang belajar sehingga ibu kena dukung saya. Masa tu dia masih tidak tahu saya ni OKU. Selepas beberapa lama kemudian barulah dia tahu.

"Mana..mana aku nangis.. You tak tau apa-apa. Aku ni bukannya tak mau datang sekolah. Aku nangis meminta-minta mak bawa saya mai sekolah," bisik saya pada ibu setelah kami berjalan masuk melepasi penjaga itu.

Cikgu Minah meminta ibubapa kepada semua murid beli buku-buku tambahan atau buku-buku kerja. Tetapi dia meminta ibu saya seorang tidak membelinya. Dia rasa saya ni tidak akan belajar lama di sana. Ibu mendapat tahu bahawa Cikgu Minah pernah mempunyai seorang murid OKU tapi murid tu belajar sekejap saja dan kemudian tak datanglah. Mungkin dia juga berpendapat saya juga akan begitu.

Tidak beberapa lama kemudian... mungkin sebulan dua saja atau tidak sampai sebulan pun, Cikgu Minah dikehendaki pergi kursus selama dua tiga bulan. Cikgu Minah yang sudah berusia 50 tahun lebih (dia bersara 2 tahun kemudian) pun kena pergi kursus berbulan-bulan lagi. Hairan juga. Saya dan ibu rasa mungkin ini satu aturan Tuhan agaknya.

Cikgu sementara masuk lebih kurang dua minggu sementara menanti cikgu ganti lain datang. Cikgu sementara itu bertanya pada ibu kenapa dia tak belikan saya buku-buku kerja lagi manakala murid-murid  lain telah buat latihan dalam buku-buku kerja. Lalu dia meminta ibu belinya serta merta. Ibu pun beli dan saya mula buat latihan tambahan pada buku-buku kerja itu. Cikgu ganti juga baik orangnya. Pernah satu kali dia bagi kami sekelas ejaan dan sesiapa yang buat betul semua dihadiahkan sebatang pensel. Saya pun dapat 10/10, maka dapat hadiah pensel juga. Cikgu ganti juga menukar-nukar tempat duduk kami sekelas...membahagikan kami mengikut kumpulan berdasarkan kebolehan kami belajar. Saya diminta duduk dalam kumpulan A yang berdekatan dengan pintu. Kumpulan C pula berdekatan dengan meja guru, tempat yang saya duduk sebelum itu.

Apabila Cikgu Minah kembali bertugas semula, dia meminta kami semua kembali ke tempat-tempat asal kecuali saya. Mungkin ada seorang dua juga yang diminta tidak bertukar tempat balik. Dia tengok saya sudah ada buku-buku kerja dan buat latihan dalamnya seperti murid-murid lain. Dia tidak lagi minta ibu bawa saya balik sekolah sepastik. Dia mengajar saya seperti mana dia mengajar murid-murid lain. Dia dah menerima saya sebagai anak muridnya dengan baik. Hubungan dan komunikasinya dengan ibu dan saya bertambah baik. Dia semakin sayang pada saya.

Pada hujung tahun itu, saya yang sebenarnya dua tahun lebih tua daripada murid-murid lain dalam kelas, dapat tempat pertama dalam kelas. Saya sampai inginkan Cikgu Minah memimpin saya naik atas pentas ambil hadiah. Namun dia tidak dapat berbuat begitu kerana dikehendaki bertugas di kantin menyediakan kuih-muih untuk para ibu bapa dan penerima hadiah serta murid yang buat persembahan pentas. Pada hari itu, pengawas darjah 5 atau darjah 6 yang meminpin saya berjalan ambil hadiah.

Pada awal pagi hari terakhir persekolahan 90/91 itu,  saya menghadiahkan sekuntum bunga ros plastik yang diletakkan dalam kotak lutsinar pada Cikgu Minah. Bukan itu saja, selepas bagi dia bunga, saya membawa tangannya mendekati mulut saya lalu ciumnya. Dia berasa terharu lalu bangun mendapatkan tisu atau sapu tangan dari begnya untuk mengesat air matanya. Apabila dia duduk semula mula nak cakap, air mata mengalir semula. Sekali lagi dia bangun mengesat air mata. Dia beritahu ibu selama ini berpuluh-puluh tahun dia mengajar tidak pernah ada anak murid yang ciumnya. Saya merupakan anak murid pertama yang begitu sayang padanya sehingga ciumnya. Hatinya betul-betul tersentuh. Akhirnya saya mengubah pandangannya terhadap  diri saya yang sebenarnya berkeupayaan untuk belajar seperti pelajar-pelajar lain walaupun kurang upaya.

Saturday 27 September 2014

Vegetarian

Hai pembaca-pembaca blog 'Suka Duka Kehidupan Chin Chin'. Hari ini sudah lima hari saya makan vegetarian sempena Nine Emporer Gods Festival yang disambut pada awal bulan 9 dalam Kalendar Lunar Cina.

Tahu tak tentang Kalendar Lunar Cina?

Ok, biar saya cakap sikit-sikit tentangnya terlebih dahulu. Dalam kalendar lunar, satu bulan hanya ada 29 atau 30 hari saja. Tahun Baru China jatuh pada 1 haribulan 1 kalendar lunar. Satu tahun ada 12 bulan tapi tiga tahun sekali kami ada tambahan sebulan dalam tahun itu. Maka tahun itu ada 13 bulan iaitu mana-mana satu bulan diulang jadi dua kali. Oleh itu, perayaan Tahun Baru Cina yang diadakan pada bulan Januari tiba-tiba jatuh pada bulan Februari pula pada tahun berikut; dan kemudian diawalkan setahun demi setahun sehingga jatuh pada bulan Januari pula. Tarikh kalendar lunar ada ditulis pada kebanyakan kalendar yang kita guna hari-hari. Ia ditulis dalam mandarin di bahagian tepi dan pada sesetengah kalendar tulisan mandarin dibulatkan atau dihighlight dengan warna kuning menandakan 1 dan 15 haribulan bagi setiap bulan. 

Kalendar lunar telah pun masuk bulan sembilan pada hari Rabu yang lalu. Maka, datangnya Nine Emporers Gods Festival yang merupakan satu sambutan orang cina Taoism selama 9 hari iaitu bermula pada 1 haribulan 9 hingga hari kemuncak 9 haribulan 9 dalam kalendar lunar. Sebilangan orang cina amalkan diet vegetarian pada sambutan ini. Anda nampakkah gerai-gerai makanan di tepi jalan beberapa hari ini? Mereka gantung kain kuning dan ada yang letak alas meja plastik yang berwarna kuning. Gerai-gerai ini jual makanan vegetarian selama 10 hari yang bermula sehari sebelum bulan sembilan (Selasa lalu) hingga 9 haribulan sembilan (Khamis depan).

Ada yang makan vegetarian bagi keseluruhan sambutan ini seperti saya, ada yang makan bagi 6 hari terakhir, ada yang makan bagi 3 hari terakhir, dan ada yang hanya makan pada hari terakhir. Jadi semakin ramai orang yang makan dari hari ke hari. Sungguhpun begitu, kami harus mula makan sehari sebelum hari yang sepatutnya mula makan. Macam membersihkan diri atau perut terlebih dahulu (selama sehari) sebelum mula makan vegetarian tu. Ada yang makan atas sebab-sebab tertentu seperti kesihatan dan ada yang memilih makan secara sukarela. Selain itu, banyak orang juga yang saja-saja beli makan..saja nak makan makanan vegetarian. Mereka bukannya sudah tetapkan nak makan untuk tempoh hari tertentu... tapi saja beli makan untuk sarapan, tengah hari atau makan malam dan kemudiannya makan makanan non-vegetarian pada masa lain. Ada sesetengah orang India juga makan vegetarian sempena sambutan ini. Ibu pernah juga nampak orang Melayu yang pergi makan. Boleh...tak kisah.. gerai-gerai ini hanya jual makanan vegetarian sempena sambutan tersebut seperti restoran vegetarian lain dan tidak kena-mengena dengan agama.

Saya sudah makan berbelasan tahun. Saya mula makan semasa belajar dalam tingkatan 6 bawah. Kami yang tetapkan makan vegetarian ini haruslah menggunakan perkakasan-perkakasan makanan yang bersih atau baru. Saya ada set mangkuk, sudu garpu, mug, periuk untuk masak air, botol air yang hanya digunakan untuk sambutan ini. Hanya keluarkan apabila sampai bulan sembilan dan selepas 10 hari akan simpan balik sehingga tahun depan pula. Saya juga gunakan berus gigi, ubat gigi, span untuk cuci pinggan mangkuk yang baru. Semuanya tidak pernah tersentuh sisa-sisa makanan non-vegetarian walau apa sekali pun. 


Masa saya belajar di USM dulu, sambutan ini biasanya jatuh pada minggu pembelajaran atau minggu ulangkaji. Saya tinggal dalam kampus. Rakan sekursus yang membawa saya pergi kuliah, Kak Jameyah, tolong beli bagi saya hari-hari. Dia yang tinggal bersama-sama keluarganya berdekatan USM akan pergi pagi-pagi untuk beli sarapan lalu hantar kepada saya di desasiswa (asrama). Waktu tengah hari, dia pergi sekali lagi untuk belikan saya nasi pula. Kemudian, ibu yang datang dari rumah dengan menaiki bas akan belikan saya makanan malam pula. Kak Jameyah bubuh berlainan jenis lauk yang semuanya diperbuat daripada sayur-sayuran selain beli manisan dan biskut. Penjual siap bagi Kak Jameyah diskaun kerana seronok tengok dia seorang Melayu yang menjadi pelanggan tetap... lebih-lebih lagi datang bantu rakan OKU beli makanan setiap hari.

Ketika saya belajar tahun terakhir, rakan sebilik (asrama) saya, Ah Mun yang merupakan seorang penganut kristian juga bantu belikan saya makanan vegetarian. Dia kayuh basikal pergi ke gerai yang berhampiran untuk beli bagi saya. Syukur ada Kak Jameyah dan Ah Mun yang sudi bantu saya ketika itu. Jika tidak, tak tahulah macam mana ibu nak datang ke kampus dua tiga kali sehari untuk belikan saya makanan memandangkan dia tidak tahu memandu kereta mahupun motosikal dan rumah kami bukannya berdekatan dengan USM.

Thursday 25 September 2014

Bimbang-Bimbang...Akhirnya Telah Pergi Kursus Dua Kali

Hi pembaca-pembaca blog 'Suka Duka Kehidupan Chin Chin'. Apa khabar semua? Saya mohon maaf kerana agak lama tak update blog. Kali ini saya nak kongsi apa yang happening now.

Kini saya kerja secara kontrak setelah beberapa tahun kerja secara sambilan. Tapi, masih belum dapat kerja tetap lagi. Sebagai staf kontrak, saya juga dikehendaki pergi kursus untuk mengumpul markah CPD demi memenuhi keperluan penilaian prestasi tahunan. Saya sememangnya ada rasa gembira dan excited nak pergi kursus kerana dapat mempelajari sesuatu.

Namun, pada awalnya saya berasa bimbang... takut...risau juga. Risau macam mana saya seorang diri nak pergi kursus di tempat-tempat yang tidak pernah atau jarang saya pergi walaupun dalam kampus saja memandangkan gaya pergerakan (berjalan) saya tak stabil. Risau akan keadaan persekitaran tempat itu - adakah tempat itu luas dan lapang seperti di pasaraya (saya tidak boleh / sangat sukar berjalan sendiri di tempat yang luas dan lapang di mana tiada dinding atau benda di sekitar yang boleh saya dapatkan sokongan atau sentuh lebih-lebih lagi jika terdapat banyak orang berada di sana); adakah perlu jalan jauh; adakah tempat itu mempunyai tangga atau step di sana sini; adakah tandasnya ok.

Pada 20 Ogos 2014, saya julung-julung kalinya telah pergi ke kursus yang saya pohon. Kursus tu selama satu hari dan diadakan di tempat yang berdekatan dengan pejabat saya tapi jika jalan sendiri saya tak akan sampai. Saya tahu keadaan tempat itu yang agak baik memandangkan saya pernah pergi sana beberapa kali sebelum ini. Jumie yang hantar saya pergi balik kerja setiap hari turunkan saya terus di sana. Segala-galanya dilalui dengan baik. Saya boleh jalan sendiri di dalam bangunan itu... masuk ke dalam dewan; turun naik dua tiga steps dalam dewan...ke tandas sendiri.

Kudapan pagi disediakan dan ada juga satu meja khas di foyer untuk penceramah. Beberapa peserta duduk semeja dengan penceramah kursus tu dan saya diajak duduk sekali. Peserta-peserta lain bersarapan di satu bilik lain. Mereka bantu saya mengambil makanan dan menuang minuman ke dalam cawan. Kami sembang-sembang semasa makan. Oh, rupa-rupanya puan penceramah tu yang telah memimpin saya naik atas pentas ambil scroll semasa konveksyen dulu. Dia masih ingat saya.

Pada waktu tengah hari, mereka semua masing-masing keluar makan atau menjalankan urusan sendiri. Saya tinggal di sana saja... makan roti bun yang dibawa dari rumah. Sana ada juga bilik beristirehat... dapatlah saya berehat di kerusi sofa sambil bermain-main handphone. Ada seorang staf yang merupakan urusetia kursus juga tinggal di sana pada waktu rehat. Dia cuma keluar sekejap untuk berurusan dan kemudian datang balik. Kursus tu sambung sebelah petang sehingga hampir pukul 5 petang. Selepas kursus tu habis, saya tunggu di sana sekejap dan Jumie datang ambil saya balik rumah apabila habis waktu kerja 5.10 petang.

Selepas beberapa hari, saya mohon satu kursus ICT pula yang dijadualkan pada 10 September 2014. Sememangnya perlu ambil kursus pelbagai kategori dan harus pohon sendiri secara online kursus yang bersesuaian atau yang diminati. Lokasi kursus ICT tu tidak pernah saya kunjung. Sebelum tibanya 10 September, saya telah tanya-tanya Jumie dan juga rakan sekerja keadaan dan kedudukan makmal komputer tu. Saya mendapat tahu bahawa tempat itu kurang mesra OKU dan makmal itu berada di tingkat 2. Walaubagaimanapun, saya dimaklumkan tempat itu ada lif.

Pada hari itu, Jumie datang ambil saya dari rumah dan ibu ikut sama. Sebelum hari tu, saya pernah bincang dengan ibu...memintanya memimpin saya ke makmal tu. Pada pagi itu, saya ingat nak pergi sendiri pula kerana rasa segan nak ibu pergi sana. Bimbang juga kemungkinan ibu terserempak dengan orang dan bertegur sapa dengannya sewaktu dia nak jalan balik selepas hantar saya memandangkan ibu tidak beberapa tahu berbahasa Malaysia mahupun English. Akhirnya, ibu ikut sama juga. Selepas turun dari kereta, ibu memimpin saya berjalan ke dalam bangunan sehingga ke tangga. Persekitaran di tingkat bawah bangunan itu agak luas dan lapang yang merupakan satu cabaran bagi saya untuk berjalan sendiri. Kami naik tangga ke tingkat satu dan jalan sikit ke tangga lagi satu lalu naik ke tingkat dua. Kami tidak menggunakan lif dan sebaliknya menggunakan tangga untuk memudahkan ibu turun semula selepas tinggalkan saya. Lagipun kami tidak ternampak lif apabila masuk ke dalam bangunan...mungkin kena jalan jauh untuk sampai ke lif. Adalah tidak menjadi masalah bagi saya menaiki tangga lebih-lebih lagi jika ada teman. Tapi agak penat juga panjat hingga ke tingkat 2. Apabila sampai atas, terus kelihatan bilik-bilik makmal di situ. Ibu memimpin saya jalan sehingga di luar makmal, kemudian dia balik... jalan ke perhentian bas..naik bas ke pasar sebelum balik ke rumah. Ibu sememangnya biasa hantar saya ke pejabat dengan sapu teksi dan kemudian jalan kaki di sekitar kampus sehingga pintu Sungai Dua untuk ke perhentian bas apabila Jumie tidak dapat mengambil saya pergi kerja.

Pengajar itu baik dan dia memberi perhatian kepada saya agar saya tidak ketinggalan. Apabila waktu rehat untuk kudapan pagi, saya dengan yakinnya jalan sendiri keluar dari makmal komputer itu. Tanpa saya sedar... pomp...saya tidak perasan ada step di muka pintu makmal lalu jatuh terduduk. Aduh...punggung saya rasa sakit seketika tapi tak sampai seminit kesakitan dah hilang... Ah, saya sudah biasa jatuh. Kadang-kadang saya jalan dan tiba-tiba hilang kestabilan lalu jatuh.. Dua tiga orang peserta lelaki datang pimpin saya bangun semula dan tanya saya ok tak. Kemudian, mereka tawar untuk memimpin saya berjalan tapi saya berasa segan dengan mereka lelaki. Selain itu, saya rasa berupaya jalan sendiri memandangkan keadaan jalan yang rata dan terdapat bilik-bilik di kedua-dua belah; cuma perlu berhati-hati tengok kalau-kalau ada step. Saya sendiri berjalan ke tandas yang jarak antaranya dengan makmal agak jauh juga. Kemudian, jalan ke tempat makan. Saya meminta mereka bantu saya ambil makanan.

Pada waktu rehat tengah hari, saya rehat di atas kerusi kusyen yang terdapat di luar makmal. Agak boring juga duduk sana hampir 2 jam. Saya ada fikir nak ajak Jumie keluar makan tapi malas dan letih juga nak turun naik dan jalan keluar masuk semula. Jadi saya rehat, makan roti, chatting dengan kawan melalui handphone. Terserempak dengan dua orang kawan yang bekerja di sana dan melalui tempat yang saya duduk. Kami bertegur sapa. Sedar tak sedar akhirnya waktu rehat berlalu pergi juga.

Kursus itu habis pukul 4.30 petang. Selepas habis, saya keluar duduk di luar makmal. Saya tak pergi minum petang yang disediakan kerana rasa kenyang. Saya duduk sana sekejap sambil melihat handphone yang saya letak dalam mod silent sepanjang kursus berlangsung. Kemudian dua orang peserta wanita yang kelihatan nak balik lalu di hadapan saya. Saya tanya mereka di mana letaknya lif dan mendapat tahu mereka juga nak ke lif. Mereka mengajak saya jalan bersama. Kemudian salah seorang daripada mereka menawar diri membantu ambil beg makanan saya. Kemudian seorang lagi menawar diri untuk memimpin saya berjalan. Mereka membantu saya hingga sampai pintu masuk bangunan di mana Jumie turunkan saya pagi tadi. Mereka mendapatkan kerusi bagi saya duduk. Saya duduk di sana tunggu Jumie datang ambil saya balik selepas waktu kerja.

Bimbang-bimbang...risau-risau... akhirnya saya juga telah pergi kursus dua kali tanpa teman. Hanya tinggal satu kursus lagi untuk tahun ini jika nak dapat cukup markah. Akan pergi jika ada kursus yang bersesuaian. Tahun depan mungkin boleh pergi kursus bersama-sama rakan sekerja jika bersesuaian. 

Thursday 14 August 2014

Guru-guru Tadika

Sebenarnya ibu bapa mendaftar saya mengikuti kelas aliran perdana (bahasa Malaysia) atas nasihat pihak SCAP. Pihak SCAP menyarankan supaya saya belajar di kelas perdana kerana berpendapat ia agak sukar bagi saya yang mengalami masalah kemahiran motor halus ni menulis tulisan cina. Apatah lagi saya baru saja mahu diintegrasikan dalam pendidikan perdana. 

Namun, cikgu kelas aliran perdana tidak mahu menerima saya sebagai pelajarnya. Dia meminta saya ditempatkan dalam kelas aliran cina terlebih dahulu sementara tadika sedang dibaiki (pengajaran dan pembelajaran dijalankan di sebuah sekolah rendah buat sementara waktu)...dan akan ditempatkan dalam kelasnya apabila tadika siap dibaiki kelak. Namun akhirnya saya terus belajar dalam kelas aliran cina sehingga akhir tahun.

Cikgu kelas aliran cina menerima saya sebagai pelajarnya dengan baik. Dia mengajar kami bahasa Malaysia selain Matematik dan rasanya juga subjek lain. Saya duduk di depan dan berdekatan dengan meja cikgu yang diletakkan bersebelahan dengan satu deretan meja murid. Pada setiap hari, sebelum loceng berbunyi menandakan mulanya waktu persekolahan, cikgu itu akan meminta murid-murid yang telah sampai untuk berbaris di depan mejanya. Kemudian, seorang demi seorang murid dikehendaki membaca apa yang telah diajarnya (subjek BM) sebelum ini termasuk pembelajaran pada penggal yang lepas. Begitu juga pada waktu rehat. Semua murid akan makan di dalam kelas...makan makanan yang disediakan. Selepas makan, mereka dikehendaki berbaris dan membaca. Saya yang duduk tepi meja guru memerhati dan mendengar apa yang dibaca mereka berulang-ulang kali. Akhirnya, saya boleh membaca seluruh buku itu juga.

Cikgu itu baik... Tapi dia beri saya satu gelaran 'máfan' yang lebih kurang bermaksud burden / trouble. Manakan tidak. Ibu perlu mendukung saya ke tadika...menunggu saya di luar kelas semasa pembelajaran dijalankan. Ibu perlu mendukung atau membimbing saya ke tandas... dan juga dewan semasa subjek muzik. Semasa rehat, ibu perlu menyuap atau membimbing saya makan. Selepas sebulan dua saya diintergasikan di tadika, cikgu SCAP termasuk cikgu terapi cara kerja datang melawat saya di kelas. Mereka mencadangkan supaya kaki saya diikat semasa duduk memandangkan saya tidak dapat mengawal pergerakan kaki... asyik bergerak-gerak semasa belajar terutamanya ketika menulis. Begitu juga dengan tangan kiri saya..sesekali tergerak-gerak. Pada mulanya, mereka mencadangkan saya guna kerusi dan meja khas. Namun, saya dan ibu tak mahu...tak mahu kelihatan begitu berbeza dengan murid-murid lain dan rasa leceh. Akhirnya mereka buat strap untuk mengikat kaki saya pada kaki kerusi. Kadang-kadang saya guna dan kadang-kadang tidak kerana ia pastinya tidak selesa. Kaki saya yang tidak dapat kekal diam dipaksa tidak bergerak bebas...walaubagaimanapun ia dapat membantu saya menulis lebih baik. Saya biar dibuat begitu sehingga saya belajar darjah 1. Kemudian saya tak mahunya dan pergerakan tidak diingini saya ini juga dikurangkan. 

Cikgu yang mengajar bahasa Cina juga baik. Dia memberikan saya latihan menulis yang asas dengan lukisan seperti mulut dan bukit agar saya dapat mempelajarinya dengan lebih senang. Saya masih ingat lagi...semasa peperiksaan akhir tahun, dia bantu saya dengan membaca sepintas lalu perkataan-perkataan yang diberi untuk diisi ke tempat-tempat kosong yang sesuai sebelum saya mula menjawab kertas soalan tersebut. Saya bukannya kenal perkataan-perkataan itu lebih-lebih lagi ada yang belum sempat saya belajar. Saya cuba ingat apa dia cakap sekali gus dan kemudiannya cuba buat. Jika dia tak bantu, sudah tentu 80%-90%...mungkin juga 100% saya main teka saja. Rasanya dia tahu saya bukannya nak mengikuti kelas aliran cina tapi apa boleh saya buat...guru kelas itu tidak mahu menerima saya.

Thursday 7 August 2014

Baby Chair & Baby Walker

Ketika berusia lebih kurang dua tahun, saya masih tak boleh duduk lagi... 

Apabila saya diletakkan dalam baby high chair, badan saya senget, lembik dan sandar ke tepi atau ke depan...rasanya kepala saya juga tunduk ke bawah atau senget ke tepi-bawah...dan mulut ternganga dan air liur meleleh...memandang sesuatu tanpa banyak mengeluarkan suara.. Ibu tidak membiarkan saya duduk sebegitu. Dia letakkan bantal-bantal kecil di sekeliling saya... menyelitkannya antara baby chair dengan saya...di bahagian tepi..di bahagian hadapan.. untuk membolehkan saya dapat duduk tegak. 


Oh ya, saya pernah guna baby walker juga... 

Tapi masa itu entahlah saya sudah umur berapa tahun. Mungkin 2-3 tahun kot. Masa itu saiz badan saya dah terlalu besar untuk guna baby walker yang sebenarnya direka untuk kegunaan bayi yang berusia beberapa bulan. Jadi macam masa saya nak guna baby walker???

Seorang kawan ayah yang merupakan tukang besi telah mengubahsuai baby walker bagi saya. Dia menyambungkan bahagian atas dan bahagian bawah baby walker dengan rod aluminium/logam yang panjangnya lebih kurang 8-10 inci. Roda plastiknya diganti dengan roda kerusi pejabat. Saya menggunakan baby walker yang diubahsuai itu untuk belajar bergerak. Tempat duduknya diganti beberapa kali kerana tidak tahan saya yang sudah besar ni lompat-lompat. Mungkin juga kerana saya guna baby walker itu agak lama.

Sunday 3 August 2014

Ibu Dukung Saya Naik Bas Ke Tadika

Tadika yang saya pergi itu sebenarnya tidak jauh dari tempat tinggal kami. Masa itu, kami menumpang di sebuah rumah kedai dua tingkat di sekitar pasar Jelutong...kami tinggal di tingkat atas. Namun, tadika tersebut sedang dibaiki dan pengajaran dan pembelajaran dijalankan buat sementara waktu di sebuah sekolah rendah yang terletak di area Perak Road.

Pada mulanya, ibu bercadang untuk membawa saya berulang-alik dari rumah dan sekolah (di mana tadika itu ditempatkan sementara waktu) dengan bas sekolah. Tapi, kami dimaklumkan bahawa orang dewasa tidak dibenarkan naik bas sekolah sekali. Macam mana saya yang tidak beberapa berupaya berjalan ni nak naik bas sekolah seorang diri. (sehingga kini, saya juga tidak berupaya naiki bas seorang diri tanpa teman atau bimbingan) Lagipun, saya perlu jagaan ibu semasa di tadika.

Oleh itu, ibu bawa saya pergi balik sekolah tu dengan bas awam. Tiap-tiap hari ibu, yang saiz badan agak kecil, dukung saya yang berusia lapan tahun dari rumah ke perhentian bas. Ibu menyandang beg sekolah saya pada bahu dan menyangkut beg bakulnya pada lengan. Ibu dukung saya menuruni tangga rumah kedai, berjalan melalui deretan rumah kedai dan rumah-rumah lain sehingga ke jalan besar, dan seterusnya melintasi jalan menuju ke perhentian bas. 

Nasib baik saiz badan saya pun kecil juga. Tiada perbezaan yang ketara berbanding saiz badan dan ketinggian kanak-kanak tadika enam tahun. Rasanya ada juga yang saiz badan lebih besar, lebih tinggi walaupun saya dua tahun lebih tua. Saya akan memeluk ibu dalam dukungannya sekuat mungkin... kedua-dua tangan saya berpaut pada bahu ibu dan kaki berpaut pada pinggang ibu... Kalau ibu lepaskan tangan seketika pun takpa.. Itulah yang saya boleh buat...kebolehan dan kekuatan saya.

"Peluk mak kuat-kuat ya... Mak tidak cukup tenaga... hanya dapat menyokong kamu sikit-sikit saja," ibu selalu mengingatkan saya terutamanya apabila dia rasa pelukan/pautan saya semakin lemah.

Apabila bas tiba, ibu yang mendukung saya menaiki 2 atau 3 anak tangga yang agak tinggi (bas ketika itu) untuk masuk ke dalam bas. Sampai di sana, ibu mendukung saya dari perhentian bas ke sekolah itu. Jika hari hujan, ibu bagi saya pakai baju hujan manakala dia ambil payung memayungkan dirinya dan juga saya. Adakalanya ada juga kawan ibu/bapa atau ibubapa kepada kanak-kanak tadika tersebut yang menawarkan bantuan untuk menghantar saya dan ibu pergi atau balik tadika.

Sebulan dua kemudian, tadika siap dibaiki. Maka, ibu tidak perlu bawa saya pergi belajar dengan bas lagi. Lalu ibu mendukung saya berjalan ke tadika itu yang terletak di belakang perhentian bas tersebut. Semasa balik dari tadika, ada-kalanya ibu akan memimpin saya berjalan apabila kami hampir sampai rumah.

Saturday 2 August 2014

Masuk Tadika

Cuti pertengahan tahun berakhir dan mulanya penggal II sesi persekolahan 1989/90.

Pada hari pertama, ibu bapa masih tidak tahu nak hantar saya ke tadika mana. Pada pagi itu, ayah membawa saya dan ibu mencari tadika dengan mosikalnya. Kami pergi ke tadika yang berdekatan dengan tempat tinggal kami. Kami pergi ke dua atau tiga tadika sebelum jumpa tadika yang sudi menerima saya sebagai pelajarnya.

Apa boleh buat... Pertama, saya seorang kanak-kanak CP yang menghadapi masalah pergerakan dan pertuturan.  Kedua, saya telah berusia 8 tahun yang seharusnya berada dalam darjah dua baru nak nak masuk tadika. Ketiga, mana ada orang yang hanya nak daftar diri untuk belajar pada pertengahan tahun... Special case...

Pihak tadika yang kami mula-mula pergi tidak mahu terima saya dan menyaran kami pergi ke sebuah tadika. Akhirnya, kami pergi ke tadika tersebut, Tadika Methodist dan pihak pengurusannya sudi menerima saya sebagai pelajar mereka dengan hati terbuka. Pihak pengurusannya juga menyatakan sokongan dan bimbingan yang mereka boleh berikan.

Kelas saya pada sebelah petang. Pada hari pertama, saya ditempatkan di sebuah kelas bagi kanak-kanak lima tahun terlebih dahulu sementara menunggu mereka menempatkan saya di kelas yang sepatutnya. Pada hari itu, saya dan pelajar lain masing-masing diminta perkataan 天 (tiān - 'hari') dalam sekeping kertas berukuran lebih kurang 4X6in. Itulah pertama kali saya menulis perkataan cina dan saya menulisnya pada keseluruhan kertas. Pada hari kedua atau hari ketiga, barulah saya ditempatkan di kelas bagi kanak-kanak enam tahun. 

Friday 1 August 2014

Galakan untuk Cuba Belajar di Sekolah Aliran Perdana

Saya berada dalam Kelas Pengenalan II semasa sesi persekolahan 1989/1990. Untuk makluman anda semua, kanak-kanak tipikal yang seusia dengan saya sudah pun belajar dalam darjah dua ketika itu.

Pada suatu hari, lebih kurang antara bulan Februari - Mac 1990, guru kelas saya, Cikgu Helen, membuat penilaian akademik terhadap saya. Dia memberi saya soalan matematik yang melibatkan operasi tambah. Saya dapat menjawabnya dengan betul. Kemudian, dia uji saya soalan yang melibatkan operasi tolak pula. Saya dapat buat juga. Cikgu berasa terkejut dan gembira. Sebenarnya ibu bapa ada mengajar saya matematik di rumah, manakala abang sekali-sekala ada ajar saya bahasa Malaysia. Cikgu-cikgu di SCAP pun pernah berpendapat saya ni boleh belajar.

Hari itu kami sekelas ada sesi berenang selepas waktu rehat. Cikgu Helen meminta saya tidak pergi berenang hari itu. Dia terus membuat penilaian terhadap saya di dalam kelas.

"Balik rumah nanti cakap dengan mak..bapa. Cakap cikgu minta mereka datang jumpa cikgu esok," pesannya.

Ibu pun datang ke sekolah pada keesokan hari. Cikgu Helen bersama-sama seorang dua guru berbangsa Cina yang boleh bertutur Hokkien berbincang dengan ibu. Mereka memberitahu ibu bahawa saya boleh belajar dan mereka menggalakkan saya untuk cuba belajar di sekolah aliran perdana.

"Aunty, kita bagi Chin Chin pergi sekolah biasa belajar. Then datang sini buat exercise sebelum atau selepas sekolah. Nanti datang sini, kami juga boleh bantu dia dalam pelajaran," kata cikgu.

"Mak Chin Chin, jangan  risau. Kita bagi Chin Chin pergi cuba dulu. Kalau Chin Chin tak boleh ikut pelajaran di sana, dia  boleh balik sini belajar," nasihat cikgu lagi.

Atas nasihat dan dorongan mereka, akhirnya ibu bersetuju supaya saya ke tadika biasa apabila mulanya penggal kedua sesi persekolahan tersebut.

Dalam masa dua tiga bulan sebelum saya masuk tadika, guru kelas memberikan saya lebih perhatian dalam kelas untuk menyediakan diri saya ke tadika dan seterusnya ke sekolah aliran perdana. Saya diberi banyak latihan untuk membuatnya.

Thursday 31 July 2014

Ketika Usia 7 Tahun

"Ya, awak harus daftar nama Chin Chin dengan Jabatan Pendidikan Negeri untuk kemasukan Darjah 1," kata pihak SCAP dalam dialect Hokkien kepada ibu bapa saya.

"Kita tengok keadaan Chin Chin apabila tiba masanya. Mungkin dia boleh masuk sekolah biasa. Jadi, tak kira bagaimana keadaan nanti, kita harus daftar namanya sebelum terlambat," nasihat pihak SCAP lagi.

Lalu ibu bapa mendaftarkan saja nama saya untuk masuk ke sekolah rendah... sekolah rendah di mana abang sedang belajar iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan Jelutong Barat.

Apabila sampai masa untuk kanak-kanak seusia saya masuk ke Darjah 1, saya masih tidak bersedia lagi dari segi perkembangan diri saya. Ketika itu, saya baru saja nak dipromo untuk mengikuti sesi pembelajaran pagi. Sesi petang hanya dua hari seminggu dan dua  jam sehari, manakala sesi pagi macam pergi sekolah lima hari seminggu dan empat jam sehari.

"Kanak-kanak OKU seperti Chin Chin boleh lewat masuk sekolah biasa dua tahun. Mungkin setahun dua lagi Chin Chin boleh pergi sekolah biasa," pihak SCAP memaklumkan dengan memberi semangat.

Apabila sesi persekolahan 1988/89 bermula, saya pun mula mengikuti sesi pembelajaran di SCAP pada sebelah pagi. Berpakaian seragam persatuan yang dijahit ibu, gaun yang corak kainnya berpetak-petak kecil warna biru putih; dan berstoking serta berkasut sekolah yang berwarna putih. Ibu lagi jahit renda putih pada kolar dan lengan gaun saya. Nak anak perempuannya kelihatan cantik. Setiap pagi van persatuan akan datang rumah untuk mengambil saya ke persatuan. Saya belajar... saya mengikuti sesi terapi. Apabila tamat waktu persekolahan, van akan menghantar saya pulang ke rumah. Ketika itu barulah saya berhenti mengikuti sesi terapi di hospital. Saya buat terapi di SCAP dan di rumah.

Tuesday 29 July 2014

Masuk Persatuan Kanak-Kanak Cerebral Palsy (Sepastik) Pulau Pinang

Apabila saya berusia 3-4 tahun, saya masih tidak boleh berjalan lagi. Rasanya saya juga tidak boleh bercakap lagi. Kalau boleh pun, hanya dua tiga patah perkataan saja.

Gee theow (iaitu suami kepada kakak ke-2 ibu saya) menyaran ibu bapa agar mendaftar saya masuk di Persatuan Kanak-Kanak Cerebral Palsy (Sepastik) Pulau Pinang (SCAP). Pada masa tersebut, pakcik saya itu ada berurusan dengan pihak persatuan di mana syarikat yang dia bekerja membuat pakaian untuk persatuan. Dia membantu memohon kemasukan saya ke persatuan tersebut.

Sebenarnya SCAP berdekatan dengan tempat tinggal kami. Namun ibu bapa saya mungkin tidak sedar akan kewujudannya atau tidak tahu akan peranan persatuan itu. Ibu yang tidak tahu menunggang mosikal atau memandu kereta mungkin juga tidak pernah melalui jalan di mana letaknya persatuan itu. Mungkin juga ketika itu mereka masih tidak tahu ketidakupayaan yang saya alami ni dipanggil Cerebral Palsy. Itulah akibat daripada kurangnya sokongan kepada ibu bapa yang dikurniakan anak OKU terutamanya bagi ibu bapa yang kurang berpendidikan. Lebih-lebih lagi pada tahun 1980an.  

Akhirnya saya diterima masuk ke SCAP. Pada mulanya saya pergi sana mengikuti sesi terapi sekali-sekala. Saya mengikuti sesi fisioterapi, terapi cara kerja dan terapi pertuturan. Kemudiannya, saya mula pergi sana dua hari seminggu, mengikuti sesi pembelajaran sebelah petang selama dua jam sekali. Selain terapi, saya juga mula diberi pendidikan khas awal kanak-kanak. Ketika itu, ibu juga masih membawa saya mengikuti sesi terapi di hospital. 

Monday 28 July 2014

Terapi Berterusan

Ibu membawa saya mengikuti sesi terapi di hospital sejak saya berusia dua tiga bulan lagi. Kurang pasti bagaimana ibu membawa saya ke sana terutamanya ketika saya masih bayi lagi. Yang pasti ibu biasa membawa saya pergi sana dengan menaiki sapu teksi atau bas. Mungkin adakalanya ayah pernah hantar kami dengan motosikalnya. Mungkin juga ada suadara mara atau rakan serumah (pada ketika itu kami menyewa bilik rumah orang dan terdapat juga keluarga lain yang menyewa bilik lain) yang menghantar kami dengan kereta terutamanya saya masih bayi lagi. Abang mungkin ikut sama atau ada orang yang menjaganya di rumah semasa saya pergi terapi.

Ibu menemani saya membuat terapi sambil memerhati dan mempelajari aktiviti-aktiviti yang ahli terapi lakukan ke atas saya. Kemudian, ibu akan membuat aktiviti-aktiviti tersebut bagi saya di rumah setiap hari. Begitu juga semasa saya mengikuti sesi terapi di Persatuan Kanak-Kanak Cerebral Palsy (Sepastik) Pulau Pinang apabila saya lebih besar. Ibu akan belajar dari cikgu-cikgu terapi dan membimbing saya buat aktiviti-aktiviti berkenaan di rumah.

Sunday 27 July 2014

Kelahiran dan Doktor Pediatrik di Hospital

Saya dilahirkan di Hospital Bersalin Pulau Pinang. Saya dilahirkan secara vaginal birth after caesarean (VBAC) dan komplikasi berlaku semasa saya dilahirkan. Saya lambat menangis di mana lebih kurang 20-25 minit, barulah saya mula menangis. Saya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonat di mana saya dibekalkan oksigen terus ke dalam otak. Selepas beberapa hari, saya dibenarkan pulang ke rumah.

Seperti setiap bayi yang dikehendaki menjalani pemeriksaan secara berkala, saya dibawa menjalani pemeriksaan di Hospital Besar Pulau Pinang. Dr. Adele Tan merupakan seorang doktor pediatrik di hospital tersebut yang memeriksa dan memerhati perkembangan saya sejak bayi...mungkin sejak lahir lagi. Apabila beliau mendapati saya tidak mencapai milestones pada masa yang sepatutnya seperti mengangkat kepala, berguling dan membuka gengaman tangan, beliau merujuk saya ke bahagian fisioterapi. Rasanya masa itu saya hanya berumur dua tiga bulan saja. Apabila saya lebih besar sikit, saya juga diminta mengikuti sesi terapi cara kerja di hospital kerajaan itu.

Doktor itu juga menyaran saya mengambil sejenis vitamin yang boleh membantu perkembangan minda. Saya mengambil vitamin tersebut setiap hari dan menghabiskan 3 botol vitamin setiap bulan. Beliau pasti memberi saya bekalan vitamin tersebut jika pihak hospital mempunyai stok. Kami akan beli sendiri jika hospital kehabisan stok. Saya mengambil vitamin tersebut sehingga berusia 5 tahun.

Boleh dikatakan doktor itu merupakan tempat rujukan dan sokongan awal kepada ibu bapa saya selain daripada jurupulih di hospital. Apabila saya  masih tidak boleh berjalan malah tidak boleh duduk lagi ketika umur setahun lebih, doktor itu mendapatkan dan mengibas kembali sejarah kelahiran saya. Beliau memberitahu ibu bapa bahawa saya boleh berjalan tetapi lewat... dan menyakinkan mereka bahawa saya boleh berjalan pada usia 5 tahun. Sememangnya betul apa yang beliau katakan. Saya mula berjalan lebih kurang pada masa itu dengan adanya terapi yang berterusan.

Apabila saya berumur lebih kurang 5 tahun juga, doktor itu mendapati mata saya bermasalah dan merujuk saya kepada pakar mata. Saya didapati mengalami double vision di mana saya akan melihat satu benda sebagai dua benda; dua benda akan kelihatan sebagai empat benda. Rasanya strabismus kot... dan dikehendaki membuat pembedahan untuk memperbetulkannya. Pada mulanya ibu bapa tidak berani atau tidak sanggup melihat saya menjalani pembedahan tersebut. Doktor itu iaitu Dr. Adele Tan menasihati ibu bapa agar membenarkan saya menjalani pembedahan tersebut kerana masalah penglihatan tersebut boleh mendatangkan kesulitan apabila saya mula belajar kelak. Pada masa yang sama, doktor itu sudah mahu berpindah ke sebuah hospital swasta. Beliau tidak berhenti menasihati ibu bapa agar pembedahan dapat dijalankan secepat mungkin. Akhirnya ibu bapa bersetuju dan pembedahan terhadap mata kanan saya dijalankan dengan jayanya. Mula-mula saya dikehendaki menjalani pembedahan terhadap mata kanan terlebih dahulu dan kemudiannya mata kiri. Syukur... selepas pembedahan mata kanan, mata kira saya juga didapati ok dan tidak perlu menjalani pembedahan lagi.

Selepas mendapati pembedahan mata dijalankan dengan jayanya, doktor itu berpindah ke hospital lain. Saya tahu belliau berkhidmat di hospital mana tapi tidak pernah bertemu beliau sehingga kini. Adakalanya saya terfikir ingin menghubungi beliau menyatakan saya klien beliau dan berterima kasih kepadanya. (ketika mencoret perenggan ini, saya terfikir cari alamat emel doktor itu dan dapat juga cari...rasanya ia merupakan alamat emel doktor itu... akan saya cuba emel) 

Selepas beliau berpindah, saya diperiksa dan diperhati perkembangan oleh doktor pediatrik lain di Hospital Besar Pulau Pinang. Apabila usia semakin meningkat, kekerapan temujanji dengan doktor pediatrik di hospital tersebut semakin kurang sehingga akhirnya hanya 2 kali setahun. Saya membuat follow-up di hospital tersebut sehingga saya lebih kurang 10 tahun.

Tuesday 15 July 2014

Selamat Datang & Selamat Berkenalan

Salam sejahtera dan selamat datang ke chinchincp.blogspot.com.

Nama saya Tan Chin Chin. Anda boleh panggil saya 'Chin Chin' atau 'Chin' saja. Saya sudah berusia hampir 32 tahun dan tinggal di Pulau Pinang sejak dilahirkan. Komplikasi berlaku semasa saya dilahirkan dan hal ini telah menyebabkan saya mengalami cerebral palsy (CP) jenis ataxic yang menjejaskan motor kasar dan motor halus serta pertuturan saya. 

Saya merupakan anak bongsu daripada 2 orang adik-beradik. Saya datang daripada keluarga yang kurang berada dan ibubapa saya tidak berpendidikan tinggi. Bapa seorang buruh kasar yang kerjanya tidak tetap. Manakala, ibu seorang suri rumah tangga yang menjaga, membesarkan dan mendidik kami dua adik-beradik. Ibu pernah juga mengambil upah seperti menjahit butang pakaian anak patung di rumah; mengemas rumah serta membasuh pakaian suadara-mara untuk menambah pendapatan keluarga. Kami sekeluarga tidak memiliki rumah sendiri sehingga saya dan abang bekerja. Selain tinggal di rumah nenek, kami sekeluarga juga pernah menyewa bilik. 

Saya mengikuti rawatan terapi di hospital sejak saya masih bayi lagi (rasanya sejak berusia 2 bulan). Apabila saya berusia lebih kurang 3 - 4 tahun, saya mula pergi ke Persatuan Kanak-Kanak Cerebral Palsy (Sepastik) Pulau Pinang (SCAP) untuk mengikuti rawatan terapi dan juga pendidikan khas. Beberapa tahun kemudian, saya diintergrasikan di tadika biasa dan seterusnya di sekolah biasa. Saya mengikuti pendidikan inklusif (belajar bersama-sama para pelajar upaya/tipikal) sehingga Tingkatan 6. Kemudian, saya melanjutkan pelajaran di USM. 

Setelah saya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan pada tahun 2006, saya mengajar para pelajar CP computer-assisted-lesson di SCAP selama dua tahun. Selepas itu, saya bekerja sebagai pengawai penyelidik sosial (sambilan) di USM sehingga kini. 

Dari segi keupayaan fizikal, saya boleh berjalan sendiri tapi tidak stabil. Semasa di dalam rumah dan di dalam pejabat, saya boleh berjalan sendiri. Apabila saya berada di luar rumah dan juga di tempat-tempat yang luas atau ramai orang seperti di supermarket pula, saya memerlukan bantuan seseorang memimpin tangan saya berjalan. Saya boleh melakukan kebanyakan aktiviti harian sendiri seperti mengurus diri, memakai pakaian, menyuap makanan sungguhpun pergerakan tangan tidak sebaik orang upaya dan mengambil masa yang lebih lama untuk melakukannya. Keupayaan tangan kanan saya jauh lebih baik daripada tangan kiri saya. Saya memerlukan bantuan untuk melakukan sesetengah aktiviti harian seperti penyediaan/pengurusan makanan, pengurusan pakaian (laundry) dan house keeping. Saya boleh bercakap tetapi pertuturan saya kurang jelas. 

Sememangnya bukan mudah menjalani kehidupan sebagai seorang individu kurang upaya yang mengalami CP. Dalam blog ini, saya akan menceritakan suka duka kehidupan saya sejak kecil hingga kini. Semoga blog ini dapat memberi manfaat kepada anda semua terutamanya kepada ibubapa, penjaga dan pendidik kepada anak-anak CP. Saya berharap anda semua dapat support saya menulis blog ini.