Thursday 31 July 2014

Ketika Usia 7 Tahun

"Ya, awak harus daftar nama Chin Chin dengan Jabatan Pendidikan Negeri untuk kemasukan Darjah 1," kata pihak SCAP dalam dialect Hokkien kepada ibu bapa saya.

"Kita tengok keadaan Chin Chin apabila tiba masanya. Mungkin dia boleh masuk sekolah biasa. Jadi, tak kira bagaimana keadaan nanti, kita harus daftar namanya sebelum terlambat," nasihat pihak SCAP lagi.

Lalu ibu bapa mendaftarkan saja nama saya untuk masuk ke sekolah rendah... sekolah rendah di mana abang sedang belajar iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan Jelutong Barat.

Apabila sampai masa untuk kanak-kanak seusia saya masuk ke Darjah 1, saya masih tidak bersedia lagi dari segi perkembangan diri saya. Ketika itu, saya baru saja nak dipromo untuk mengikuti sesi pembelajaran pagi. Sesi petang hanya dua hari seminggu dan dua  jam sehari, manakala sesi pagi macam pergi sekolah lima hari seminggu dan empat jam sehari.

"Kanak-kanak OKU seperti Chin Chin boleh lewat masuk sekolah biasa dua tahun. Mungkin setahun dua lagi Chin Chin boleh pergi sekolah biasa," pihak SCAP memaklumkan dengan memberi semangat.

Apabila sesi persekolahan 1988/89 bermula, saya pun mula mengikuti sesi pembelajaran di SCAP pada sebelah pagi. Berpakaian seragam persatuan yang dijahit ibu, gaun yang corak kainnya berpetak-petak kecil warna biru putih; dan berstoking serta berkasut sekolah yang berwarna putih. Ibu lagi jahit renda putih pada kolar dan lengan gaun saya. Nak anak perempuannya kelihatan cantik. Setiap pagi van persatuan akan datang rumah untuk mengambil saya ke persatuan. Saya belajar... saya mengikuti sesi terapi. Apabila tamat waktu persekolahan, van akan menghantar saya pulang ke rumah. Ketika itu barulah saya berhenti mengikuti sesi terapi di hospital. Saya buat terapi di SCAP dan di rumah.

No comments:

Post a Comment