Sunday 27 July 2014

Kelahiran dan Doktor Pediatrik di Hospital

Saya dilahirkan di Hospital Bersalin Pulau Pinang. Saya dilahirkan secara vaginal birth after caesarean (VBAC) dan komplikasi berlaku semasa saya dilahirkan. Saya lambat menangis di mana lebih kurang 20-25 minit, barulah saya mula menangis. Saya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonat di mana saya dibekalkan oksigen terus ke dalam otak. Selepas beberapa hari, saya dibenarkan pulang ke rumah.

Seperti setiap bayi yang dikehendaki menjalani pemeriksaan secara berkala, saya dibawa menjalani pemeriksaan di Hospital Besar Pulau Pinang. Dr. Adele Tan merupakan seorang doktor pediatrik di hospital tersebut yang memeriksa dan memerhati perkembangan saya sejak bayi...mungkin sejak lahir lagi. Apabila beliau mendapati saya tidak mencapai milestones pada masa yang sepatutnya seperti mengangkat kepala, berguling dan membuka gengaman tangan, beliau merujuk saya ke bahagian fisioterapi. Rasanya masa itu saya hanya berumur dua tiga bulan saja. Apabila saya lebih besar sikit, saya juga diminta mengikuti sesi terapi cara kerja di hospital kerajaan itu.

Doktor itu juga menyaran saya mengambil sejenis vitamin yang boleh membantu perkembangan minda. Saya mengambil vitamin tersebut setiap hari dan menghabiskan 3 botol vitamin setiap bulan. Beliau pasti memberi saya bekalan vitamin tersebut jika pihak hospital mempunyai stok. Kami akan beli sendiri jika hospital kehabisan stok. Saya mengambil vitamin tersebut sehingga berusia 5 tahun.

Boleh dikatakan doktor itu merupakan tempat rujukan dan sokongan awal kepada ibu bapa saya selain daripada jurupulih di hospital. Apabila saya  masih tidak boleh berjalan malah tidak boleh duduk lagi ketika umur setahun lebih, doktor itu mendapatkan dan mengibas kembali sejarah kelahiran saya. Beliau memberitahu ibu bapa bahawa saya boleh berjalan tetapi lewat... dan menyakinkan mereka bahawa saya boleh berjalan pada usia 5 tahun. Sememangnya betul apa yang beliau katakan. Saya mula berjalan lebih kurang pada masa itu dengan adanya terapi yang berterusan.

Apabila saya berumur lebih kurang 5 tahun juga, doktor itu mendapati mata saya bermasalah dan merujuk saya kepada pakar mata. Saya didapati mengalami double vision di mana saya akan melihat satu benda sebagai dua benda; dua benda akan kelihatan sebagai empat benda. Rasanya strabismus kot... dan dikehendaki membuat pembedahan untuk memperbetulkannya. Pada mulanya ibu bapa tidak berani atau tidak sanggup melihat saya menjalani pembedahan tersebut. Doktor itu iaitu Dr. Adele Tan menasihati ibu bapa agar membenarkan saya menjalani pembedahan tersebut kerana masalah penglihatan tersebut boleh mendatangkan kesulitan apabila saya mula belajar kelak. Pada masa yang sama, doktor itu sudah mahu berpindah ke sebuah hospital swasta. Beliau tidak berhenti menasihati ibu bapa agar pembedahan dapat dijalankan secepat mungkin. Akhirnya ibu bapa bersetuju dan pembedahan terhadap mata kanan saya dijalankan dengan jayanya. Mula-mula saya dikehendaki menjalani pembedahan terhadap mata kanan terlebih dahulu dan kemudiannya mata kiri. Syukur... selepas pembedahan mata kanan, mata kira saya juga didapati ok dan tidak perlu menjalani pembedahan lagi.

Selepas mendapati pembedahan mata dijalankan dengan jayanya, doktor itu berpindah ke hospital lain. Saya tahu belliau berkhidmat di hospital mana tapi tidak pernah bertemu beliau sehingga kini. Adakalanya saya terfikir ingin menghubungi beliau menyatakan saya klien beliau dan berterima kasih kepadanya. (ketika mencoret perenggan ini, saya terfikir cari alamat emel doktor itu dan dapat juga cari...rasanya ia merupakan alamat emel doktor itu... akan saya cuba emel) 

Selepas beliau berpindah, saya diperiksa dan diperhati perkembangan oleh doktor pediatrik lain di Hospital Besar Pulau Pinang. Apabila usia semakin meningkat, kekerapan temujanji dengan doktor pediatrik di hospital tersebut semakin kurang sehingga akhirnya hanya 2 kali setahun. Saya membuat follow-up di hospital tersebut sehingga saya lebih kurang 10 tahun.

No comments:

Post a Comment