Tuesday 15 July 2014

Selamat Datang & Selamat Berkenalan

Salam sejahtera dan selamat datang ke chinchincp.blogspot.com.

Nama saya Tan Chin Chin. Anda boleh panggil saya 'Chin Chin' atau 'Chin' saja. Saya sudah berusia hampir 32 tahun dan tinggal di Pulau Pinang sejak dilahirkan. Komplikasi berlaku semasa saya dilahirkan dan hal ini telah menyebabkan saya mengalami cerebral palsy (CP) jenis ataxic yang menjejaskan motor kasar dan motor halus serta pertuturan saya. 

Saya merupakan anak bongsu daripada 2 orang adik-beradik. Saya datang daripada keluarga yang kurang berada dan ibubapa saya tidak berpendidikan tinggi. Bapa seorang buruh kasar yang kerjanya tidak tetap. Manakala, ibu seorang suri rumah tangga yang menjaga, membesarkan dan mendidik kami dua adik-beradik. Ibu pernah juga mengambil upah seperti menjahit butang pakaian anak patung di rumah; mengemas rumah serta membasuh pakaian suadara-mara untuk menambah pendapatan keluarga. Kami sekeluarga tidak memiliki rumah sendiri sehingga saya dan abang bekerja. Selain tinggal di rumah nenek, kami sekeluarga juga pernah menyewa bilik. 

Saya mengikuti rawatan terapi di hospital sejak saya masih bayi lagi (rasanya sejak berusia 2 bulan). Apabila saya berusia lebih kurang 3 - 4 tahun, saya mula pergi ke Persatuan Kanak-Kanak Cerebral Palsy (Sepastik) Pulau Pinang (SCAP) untuk mengikuti rawatan terapi dan juga pendidikan khas. Beberapa tahun kemudian, saya diintergrasikan di tadika biasa dan seterusnya di sekolah biasa. Saya mengikuti pendidikan inklusif (belajar bersama-sama para pelajar upaya/tipikal) sehingga Tingkatan 6. Kemudian, saya melanjutkan pelajaran di USM. 

Setelah saya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan pada tahun 2006, saya mengajar para pelajar CP computer-assisted-lesson di SCAP selama dua tahun. Selepas itu, saya bekerja sebagai pengawai penyelidik sosial (sambilan) di USM sehingga kini. 

Dari segi keupayaan fizikal, saya boleh berjalan sendiri tapi tidak stabil. Semasa di dalam rumah dan di dalam pejabat, saya boleh berjalan sendiri. Apabila saya berada di luar rumah dan juga di tempat-tempat yang luas atau ramai orang seperti di supermarket pula, saya memerlukan bantuan seseorang memimpin tangan saya berjalan. Saya boleh melakukan kebanyakan aktiviti harian sendiri seperti mengurus diri, memakai pakaian, menyuap makanan sungguhpun pergerakan tangan tidak sebaik orang upaya dan mengambil masa yang lebih lama untuk melakukannya. Keupayaan tangan kanan saya jauh lebih baik daripada tangan kiri saya. Saya memerlukan bantuan untuk melakukan sesetengah aktiviti harian seperti penyediaan/pengurusan makanan, pengurusan pakaian (laundry) dan house keeping. Saya boleh bercakap tetapi pertuturan saya kurang jelas. 

Sememangnya bukan mudah menjalani kehidupan sebagai seorang individu kurang upaya yang mengalami CP. Dalam blog ini, saya akan menceritakan suka duka kehidupan saya sejak kecil hingga kini. Semoga blog ini dapat memberi manfaat kepada anda semua terutamanya kepada ibubapa, penjaga dan pendidik kepada anak-anak CP. Saya berharap anda semua dapat support saya menulis blog ini.

No comments:

Post a Comment