Sunday 16 August 2015

Struggling di Tandas Sekolah

Sekolah rendah aku luas kawasannya. Ada dua tandas pelajar perempuan dan dua tandas pelajar lelaki di dua kawasan berlainan. Masing-masing satu berdekatan dengan bilik kemahiran hidup, pusat sumber dan kelas pendidikan khas serta kantin sekolah. Dan masing-masing satu lagi berdekatan dengan dua daripada empat blok bilik darjah di mana letaknya kelas aku masa darjah 2 dan darjah 5. Tapi sekolah itu bukan saja tiada tandas OKU, malah kesemua kubikel tandas-tandas itu adalah jenis mencangkung. 

Setiap hari mama membawa aku dari bilik darjah ke tandas sekurang-kurangnya sekali. Apabila masuk ke dalam tandas pelajar perempuan, kami akan tengok mana-mana kubikel tandas yang kosong dan berkeadaan agak baik. Kemudian mama memimpin tangan aku berjalan masuk ke dalam kubikel yang kecil itu. Kami berdua terpaksa berdiri menyempit untuk membolehkan mama menutup pintu tandas yang bukaannya berayun ke arah dalam. Atau aku mungkin melangkah kaki ke atas lantai lalu berdiri berhampiran dengan lubang tandas tempat membuang. Aku pegang dinding sikit menunggu mama kunci pintu. Sambil menutup lalu mengunci pintu, mama tengok-tengok aku memastikan aku berdiri dengan baik...tidak terjatuh atau kaki tergerak masuk ke dalam lubang tandas pula.

Aku dibantu berdiri mengkangkang dengan kaki letak atas tempat letak kaki. Mama berdiri separuh mencangkung di belakang aku memegang badan aku membimbing aku beralih dari posisi berdiri kepada posisi mencangkung. Mama terus memegang aku sehingga aku berdiri semula. Adalah sukar bagi kaki aku menahan diri dalam keadaan mencangkung lebih-lebih lagi dengan jarak kedua-dua tempat letak kaki yang besar. Selain sokongan fizikal mama di belakang, aku kena juga memegang kuat pada dinding atau paip pvc panjang menegak yang menghubungkan tangki air ke tandas sebagai sokongan untuk menarik diri bangun berdiri semula dari posisi mencangkung.  

Masa aku lebih kecil sebelum darjah empat atau lima, mama biasa bersusah payah mengambil risiko mendukung aku mencangkung di dalam tandas tersebut. Apabila aku semakin membesar, mama tidak mampu mendukung aku mencangkung lagi, hanya boleh memegang menyokong aku di belakang. Masa tu kaki aku pun sudah lebih kuat untuk mencangkung. Namun ia hanya 2-3 tahun saja. Apabila usia aku terus meningkat kepada remaja, badan aku semakin besar dan berat. Hal ini menyebabkan kaki aku semakin sukar menyokong badan untuk mencangkung. Kini aku tidak mampu mencangkung lagi.

Begitulah cerita aku dan mama bersusah payah di tandas sekolah. Aku bukannya tak tahu mengurus diri di tandas. Semasa aku berusia 7-8 tahun iaitu semasa aku masih bersekolah di Persatuan Kanak-Kanak Cerebral Palsy lagi, aku sudah dilatih pergi tandas sendiri. Aku sendiri berjalan ke tandas dengan menolak rollator aku iaitu alat bantuan bergerak yang beroda dan kemudian urus sendiri dalam tandas jenis duduk yang berkeadaan baik.

Masa belajar di sekolah rendah, ada juga seorang murid lelaki CP lagi. Dia masuk darjah satu masa aku darjah empat. Ibunya menjaga dia di sekolah lebih kurang macam mama aku juga. Tapi tandas mana yang harus ibunya bawa dia masuk - tandas pelajar perempuan atau tandas pelajar lelaki? Akhirnya ibunya terpaksa bawa dia membuang di luar tandas iaitu di belakang tandas di mana tiada atau jarang orang yang lalu situ. Masa aku sekolah menengah sekolah perempuan. Kesemua kubikel dalam satu-satunya tandas pelajar sekolah menengah itu juga jenis mancangkung.  Ada seorang pelajar OKU berkerusi roda dan tidak dapat masuk dalam kubikel tandas yang kecil lagi jenis mencangkung. Sebaliknya dia terpaksa menggunakan potty di dalam tandas perempuan itu dengan bantuan pembantu digaji keluarganya dan kadang-kadang juga dibantu ibunya. Nasib baik rumah mereka dekat dengan sekolah memudahkan ibunya yang juga ada seorang dua anak kecil, berjalan berulang-alik antara rumah dan sekolah. 

Semasa aku di sekolah menengah, ada cikgu meminta aku guna saja tandas staf perempuan yang lebih dekat dengan kelas aku. Salah satu daripada dua kubikel tandas staf itu adalah jenis duduk. Memandangkan saiz badan aku semakin besar dan semakin sukar bagi aku mencangkung, akhirnya aku yang dituntun mama atau kawan baik pergi guna saja tandas staf itu sejak aku tingkatan dua. Bagaimanapun tandas itu terlalu kecil bagi OKU berkerusi roda. Sememangnya ada juga satu tandas staf jenis duduk di sekolah rendah aku tapi ia lebih jauh lagi berbanding dengan tandas pelajar. Jadi masa tu mama bawa aku ke tandas pelajar saja. Semasa aku di tingkatan 6 pula, salah satu kubikel tandas perempuan yang terletak di aras satu di mana kelas-kelas tingkatan 6 atas berada adalah jenis duduk. Jadi aku akan pergi ke mana-mana tandas yang lebih dekat dengan kelas  sama ada tandas staf jenis duduk di aras bawah atau tandas pelajar perempuan di aras satu itu. Oh ya masa itu ada juga seorang pelajar lelaki berkerusi roda yang juga belajar tingkatan enam tapi kami tidak sama kelas dan tidak berkenalan. Aku rasa dia duduk belajar dalam kelas saja sepanjang pagi tanpa pergi ke tandas memandang sekolah kami itu juga tiada tandas OKU.

Aku tidak tahu macam mana keadaan persekitaran sekolah dan tandas sekolah sekarang terutamanya sekolah rendah aku yang ada kelas pendidikan khas setelah 15-20 tahun aku meninggalkan sekolah-sekolah itu. Aku difahamkan kebanyakan jika bukan semua sekolah aliran perdana masih tidak mesra OKU. Sepatutnya sekolah mesti ada tandas OKU, laluan pejalan kaki yang rata, sekurang-kurangnya ada beberapa bilik darjah  di aras bawah dengan step ramp untuk memudahkan kerusi roda atau rollator ditolak keluar masuk ke dalam bilik-bilik darjah tersebut, dan ramp serta railing jika perlu. Hal ini sangat penting untuk membolehkan OKU menimba ilmu bersama-sama pelajar-pelajar lain sebaya mereka. 

Sunday 9 August 2015

Mama Menjaga Aku Di Sekolah

Hari tu aku ada cerita macam mana mama membawa aku ke sekolah setiap hari. Entri ni aku nak cerita bagaimana mama menyokong, menjaga aku kat sekolah pula. 

Setelah berkemas memasukkan kunci basikal dan juga apa-apa pakaian sama ada jaket pelindung angin dingin waktu pagi atau topi dan baju berlengan panjang pelindung cahaya matahari ke dalam beg bakul di tempat letak basikal, mama menuntun aku berjalan ke kelas. Jika hujan, baju hujan akan dibiarkan sidai atas basikal. Nanti lepas aku masuk kelas, mama baru kemaskannya. 

Beg sekolah aku yang berat dipikul atas bahu kiri mama. Beg bakul mama itu pula disangkut pada lengan bawah kirinya. Tangan kanan mama pula memegang erat tangan kiri aku pada kedudukan berhampiran pinggang mama, membimbing aku berjalan. Dari tempat letak basikal, kami jalan merentasi kawasan rumput kira-kira 10-15 langkah untuk terus ke pertengahan laluan pejalan kaki. Pastu berjalan di laluan itu yang bersambung dengan kaki lima luar bilik-bilik darjah ke kelas aku. 

Mama memegang tangan aku berjalan sebaik mungkin. Gaya pergerakan aku tidak stabil. Kakiku terayun-ayun masa melangkah dan badanku bergoyang sama. Sesekali ada pergerakan tidak sengaja (involuntary movement) atau tersilap langkah menyebabkan aku hampir terjatuh. Mama menguatkan genggaman tangan kanannya yang sedang memegang tangan aku agar aku tidak jatuh dan menstabilkan posisi badan semula. Permukaan lantai di sepanjang laluan agak baik...tidak berpecah-pecah atau berlubang-lubang. Tapi ia tidak berkeadaan mendatar sepenuhnya...sesetengah tempat ia seolah-olah berbukit atau ramp landai yang tidak berailing. Ada juga tempat yang terdapat dua tiga anak tangga. 

Mama menumpukan sepenuh perhatian, menggunakan sepenuh tenaga menuntun aku. Mama memasang telinga mendengar, mata melihat sekeliling memastikan tiada pelajar yang berjalan, berlari-lari, berkejar-kejar, bermain-main, berjalan sambil berbual-bual atau bergurau senda sesama sendiri, terlanggar aku dan juga dirinya yang sedang memimpin anak CP berjalan. Sesekali mama meminta mereka memperlahankan pergerakan mereka atau berhati-hati masa ada berhampiran kami. Biasanya kami akan berhenti berjalan dan berdiri seketika memberi mereka yang sedang berlari berkejar-kejar berlalu terlebih dahulu. Ada juga pelajar perempuan terutamanya yang sedang bermain lompat tali di tengah-tengah merentasi laluan akan berhenti bermain seketika memberi laluan kepada kami dan juga pelajar-pelajar lain berlalu. 

Lebih kurang beginilah suasana dan keadaannya mama menuntun aku berulang-alik antara tempat letak basikal dengan kelas setiap hari masa sekolah rendah dulu. Terutamanya waktu tengah hari yang agak ramai pelajar. Pelajar sekolah pagi yang menunggu masa balik rumah dan pelajar sekolah petang yang baru sampai sekolah. Bila aku sekolah petang waktu balik pula, semua pelajar bergegas nak balik. Ada murid yang berlari, berlumba-lumba dengan kawan, bermain bergurau senda dengan kawan semasa berjalan keluar kelas meninggalkan kawasan sekolah. Semasa sekolah menengah, mama meletakkan basikal di tepi laluan yang berdekatan dengan kelas aku. Masa tu pihak sekolah mengambil inisiatif memindahkan kelas aku ke bilik darjah aras bawah. Masuk-masuk sekolah saja sudah nampak kelas aku. Senang mama menuntun aku ke kelas. Berbeza dengan persekitaran sekolah rendah aku.

Ok, mama menuntun aku sehingga masuk ke dalam kelas dan duduk di tempat duduk aku yang selalunya di barisan depan sekali. Aku yang biasanya dibantu mama mengeluarkan alat-alat tulis dan buku-buku tertentu yang bakal digunakan masa waktu pertama kedua. Alat-alat tulis diletakkan di atas meja manakala sesetengah buku diletakkan dalam laci terbuka yang tidak berpenutup. Mama berdiri berlepak di tepi meja aku sembang sementara menunggu loceng berbunyi menandakan bermulanya sesi pembelajaran. Mama akan membawa aku ke tandas sekiranya aku nak kencing. 

"Okay, mama balik dulu ya. Hati-hati tau. Kalau ada apa-apa minta tolong cikgu, minta tolong kawan." Mama pasti akan mengingatkan aku setiap kali dia meninggalkan aku kat kelas apabila kedengaran loceng berbunyi. Aku mengia. 

"Kamu orang tolong tengok-tengok dia ya," bilang mama pada rakan-rakan kelas khususnya yang duduk berdekatan aku pula. 

“Aunty baliklah. Kami boleh tolong aunty jaga Chin Chin.” Rakan-rakan kelas biasa kata begitu dengan mama. Mama sememangnya mesra dengan mereka...biasa sembang bergurau senda dengan mereka khususnya pelajar-pelajar cina memandangkan mama tidak boleh berbahasa melayu atau berbahasa inggeris. Hanya tahu cakap sikit-sikit saja. Sungguhpun begitu, mama tetap juga bertegur sapa sembang sikit-sikit bercampur aduk bahasa dengan rakan-rakan sekelas aku yang berbangsa melayu atau india. Sikap mama yang mesra ini juga mendorong mereka yang sekelas aku sudi dan seronok berkawan dengan aku serta sedia membantu aku. 

Setelah cikgu masuk kelas, mama berbasikal ke pasar Jelutong yang berhampiran dengan sekolah rendah aku. Mama membeli makanan dan sayur-sayuran kat pasar lalu bergegas balik rumah. Sampai rumah, mama menyediakan sayur-sayuran untuk dimasak sambil makan makanan yang dibeli balik. Abang yang dua tahun lebih tua daripada aku ada tahun-tahun tertentu bersekolah pada sesi tak sama dengan aku. Bila aku sekolah pagi, dia sekolah petang dan sebaliknya. Abang akan bersarapan apa yang mama belikan dan buat aktiviti-aktivitinya kat rumah. Mama juga nak mengemas rumah. 

Tidak beberapa lama kemudian, mama kena berbasikal dari rumah ke sekolah semula. Mama datang sebelum waktu rehat. Mama tidak berani meninggalkan aku di sekolah terlalu lama. Bimbang kalau-kalau aku nak kencing ka. Atau kemungkinan tiba-tiba sakit perut nak berak ka. Apabila mama datang balik sekolah semula, dia akan berjalan berlalu dekat kelas aku terlebih dahulu sebelum pergi berehat di kantin menunggu tibanya waktu rehat. Apabila mama melalui depan kelas aku, dia akan mengonyangkan kunci rumah bagi bunyi memberi isyarat pada aku bahawa dia telah kembali ke sekolah. Mama akan berdiri dekat luar kelas sehingga aku memandang keluar. Dia yang berada di luar kelas berbahasa isyarat pada aku di dalam kelas bertanya sama ada aku nak pergi ke tandas. Aku akan mengangguk atau menggeleng kepala. Jika aku tak mau pergi tandas, mama akan menunjuk jari ke arah kantin sebelum ke sana. Beginilah mama memberitahu aku gerak-gerinya sama ada dia ingin meninggalkan atau telah kembali ke kawasan sekolah. 

Apabila aku tahu mama ada di kantin, aku bolehlah pergi tandas jika ada keperluan. Setelah beritahu cikgu, salah seorang rakan kelas akan pergi panggil mama. Mama akan datang kelas mengambil aku. Sebelum aku belajar darjah 4 agaknya, mama biasa mendukung aku berulang-alik antara kelas dan tandas. Bagi mengelakkan aku meninggalkan kelas terlalu lama, takut aku ketinggalan pelajaran. Kalau hujan, mama juga ada mendukung aku berjalan di laluan pejalan kaki kerana ia basah ditakung air hujan. Aku biasanya akan cuba tidak pergi tandas waktu belajar dengan tidak minum banyak air sebelum dan semasa kat sekolah. Pernah juga aku tidak tahan kencing atau berak masa mama tiada kat sekolah. Masa itu aku darjah 1 dan ada ibu pelajar lain yang tunggu di kantin tolong dukung aku pergi. Lepas peristiwa itu, barulah dia tahu rupa-rupanya dia telah lama mengandung. Nasib baik tiada apa-apa buruk berlaku. 

Semasa waktu rehat, mama akan datang ke kelas aku bagi aku makan. Aku tidak pergi makan di kantin kecuali ada seketika semasa aku belajar tingkatan 2...mama bawa pergi kantin hampir setiap hari makan makanan dijual di sana...beberapa bulan saja. Memang susah nak pergi makan di kantin memandangkan ramai orang dan masa rehat yang pendek. Ok mama akan menyuap aku makan terutamanya bila makan mi, bubur atau nasi ka. Mama juga biasa menyuap aku makan roti atau kek bila aku sibuk nak menulis salin nota atau latihan ka. Setelah makan, mama akan membawa aku ke tandas. Pasal tandas ada ceritanya. Nanti aku cerita kat post lain macam mana kami strugling kat tandas. 

Setelah habis waktu rehat, mama akan balik ke rumah semula untuk memasak. Abang nak makan sebelum pergi sekolah (bila dia sekolah petang). Habis mengemas dapur, mama bergegas datang ke sekolah semula untuk menunggu masa aku habis sekolah. 

Ada hari-hari dan masa-masa tertentu mama kena berada di sekolah semasa sesi pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung. Untuk menemani aku keseorangan di kelas semasa semua pelajar pergi perhimpunan di dewan atau semasa rakan-rakan sekelas pergi berpendidikan jasmani di luar kelas. Sesekali mama membawa aku pergi tengok mereka bersenam, bersukan atau bermain. Mama kena berada di sekolah untuk membawa aku ke dewan waktu pendidikan muzik, ke kelas-kelas kemahiran hidup, ke makmal komputer dan ke makmal sains. Adakalanya ke perpustakaan atau pusat sumber apabila diminta guru. Jadi pada hari-hari tertentu mama tidak dapat meninggalkan perkarangan sekolah sebaik saja loceng berbunyi menandakan waktu masuk kelas; kena habiskan masa di kantin atau tempat-tempat lain yang bersesuaian menunggu aku bertukar kelas terlebih dahulu khususnya jika ia jatuh pada waktu kedua; bergegas ke pasar beli barang dan kembali ke sekolah semula untuk membawa aku ke kelas lain sebelum mama balik ke rumah; ataupun kena datang sekolah semula lebih awal satu dua waktu sebelum waktu rehat atau tamat waktu sekolah. Biasa juga timetable aku tertera beberapa waktu yang aku akan keseorangan dalam kelas atau memerlukan aku bersama rakan-rakan sekelas pergi ke kelas-kelas lain dalam satu hari. Ada waktu-waktu tersebut yang berderet dan ada yang berselang-selang. Berselang-selang seperti pergi jasmani atau kelas lain, balik kelas sendiri belajar satu dua waktu dan kemudian pergi kelas lain pula sebelum balik kelas sendiri semula. Jadi kebanyakan masa mama kena habiskan di sekolah pada hari itu selain berkejar di jalanraya berulang-alik antara rumah dan sekolah serta pasar juga. Pada hari sibuk begini, mama biasa akan beli lauk atau masak lauk yang senang dimasak seperti goreng telur dan makanan dalam tin. 

Bila aku belajar sekolah petang, mama lebih relax sikit. Tak perlulah berkejar ke pasar beli barang balik rumah masak. Walaubagaimanapun semasa sekolah rendah aku hanya sekolah petang setahun saja iaitu semasa darjah 2/3 (belajar darjah 2 dan darjah 3 dalam masa setahun kerana lompat kelas atas sebab kelewatan umur...aku pernah cerita pasal ini dulu). Semasa sekolah petang, mama boleh tinggal aku di rumah untuk pergi pasar dan balik masak sebelum aku ke sekolah. Selepas aku masuk kelas, mama boleh balik ke rumah buat kerja rumah sambil rehat. Masa aku darjah 2, mama biasa tunggu aku di koperasi sekolah saja yang bersebelahan dengan kelas aku sambil sembang dengan gadis penjual buku dan alat tulis. Tapi betul ka mama lebih relax masa aku sekolah petang. Masa aku kena lompat ke darjah 3, aku asyik buat perangai meminta mama stay kat sekolah, sekejap kejap minta mama bawa aku pergi tandas dan adakalanya menangis kerana tekanan perasaan kot akibat lompat kelas. Pada masa sama mama juga ada fikir tentang abang seorang kat rumah selepas dia sendiri pulang dari sekolah pagi. Entah buat apa kat rumah...ada makan ka, ada mandi ka, ada buat kerja sekolah ka atau diam-diam keluar rumah pergi main. Sebab itulah mama tetap akan mengayuh basikal balik rumah sekali semasa aku tingkatan 1 dan tingkatan 2 sungguhpun sekolah menengah aku jauh dari rumah. Kami sekeluarga tinggal kat Batu Lanchang dan aku sekolah kat Ayer Itam. Masa tu aku sekolah petang dan mama kembali sekolah tengok aku sebelum waktu rehat. Adakalanya mama tak balik rumah...singgah di kantin saja sepanjang petang atau kadang-kadang dia naik bas pergi sebahyang atau shopping sekejap. 

Setelah aku belajar di sekolah biasa beberapa tahun, rakan sekelas mula mengambil alih tanggungjawab mama. Seorang dua kawan rapat aku macam buddy aku mula memimpin aku pergi ke kelas-kelas lain atau tandas apabila mama tiada. Semasa di sekolah menengah, ada cikgu selalu memberi keyakinan kepada mama bahawa mereka guru-guru dan rakan-rakan sekelas boleh menjaga aku di sekolah. Mama tak perlu bersusah payah menjaga aku terutamanya waktu rehat. Setelah setahun setengah atau hampir dua tahun iaitu semasa aku masih dalam tingkatan 2, akhirnya mama tidak lagi datang jaga aku masa rehat kecuali pada hari-hari aku betul-betul memerlukan bantuannya. Mama balik rumah selepas aku masuk kelas dan hanya datang balik semasa dekat habis waktu persekolahan. Semasa rehat, aku tinggal dalam kelas makan roti yang dibawa dari rumah. Kawan aku kembali ke kelas semula selepas makan di kantin untuk membawa aku ke tandas. Aku juga dituntun kawan ke kelas-kelas lain. 

Beginilah cerita pengorbanan mama menjaga aku di sekolah demi memastikan aku dapat menimba ilmu di sekolah aliran perdana bersama-sama pelajar-pelajar upaya.