Friday 1 August 2014

Galakan untuk Cuba Belajar di Sekolah Aliran Perdana

Saya berada dalam Kelas Pengenalan II semasa sesi persekolahan 1989/1990. Untuk makluman anda semua, kanak-kanak tipikal yang seusia dengan saya sudah pun belajar dalam darjah dua ketika itu.

Pada suatu hari, lebih kurang antara bulan Februari - Mac 1990, guru kelas saya, Cikgu Helen, membuat penilaian akademik terhadap saya. Dia memberi saya soalan matematik yang melibatkan operasi tambah. Saya dapat menjawabnya dengan betul. Kemudian, dia uji saya soalan yang melibatkan operasi tolak pula. Saya dapat buat juga. Cikgu berasa terkejut dan gembira. Sebenarnya ibu bapa ada mengajar saya matematik di rumah, manakala abang sekali-sekala ada ajar saya bahasa Malaysia. Cikgu-cikgu di SCAP pun pernah berpendapat saya ni boleh belajar.

Hari itu kami sekelas ada sesi berenang selepas waktu rehat. Cikgu Helen meminta saya tidak pergi berenang hari itu. Dia terus membuat penilaian terhadap saya di dalam kelas.

"Balik rumah nanti cakap dengan mak..bapa. Cakap cikgu minta mereka datang jumpa cikgu esok," pesannya.

Ibu pun datang ke sekolah pada keesokan hari. Cikgu Helen bersama-sama seorang dua guru berbangsa Cina yang boleh bertutur Hokkien berbincang dengan ibu. Mereka memberitahu ibu bahawa saya boleh belajar dan mereka menggalakkan saya untuk cuba belajar di sekolah aliran perdana.

"Aunty, kita bagi Chin Chin pergi sekolah biasa belajar. Then datang sini buat exercise sebelum atau selepas sekolah. Nanti datang sini, kami juga boleh bantu dia dalam pelajaran," kata cikgu.

"Mak Chin Chin, jangan  risau. Kita bagi Chin Chin pergi cuba dulu. Kalau Chin Chin tak boleh ikut pelajaran di sana, dia  boleh balik sini belajar," nasihat cikgu lagi.

Atas nasihat dan dorongan mereka, akhirnya ibu bersetuju supaya saya ke tadika biasa apabila mulanya penggal kedua sesi persekolahan tersebut.

Dalam masa dua tiga bulan sebelum saya masuk tadika, guru kelas memberikan saya lebih perhatian dalam kelas untuk menyediakan diri saya ke tadika dan seterusnya ke sekolah aliran perdana. Saya diberi banyak latihan untuk membuatnya.

No comments:

Post a Comment