Sunday 3 August 2014

Ibu Dukung Saya Naik Bas Ke Tadika

Tadika yang saya pergi itu sebenarnya tidak jauh dari tempat tinggal kami. Masa itu, kami menumpang di sebuah rumah kedai dua tingkat di sekitar pasar Jelutong...kami tinggal di tingkat atas. Namun, tadika tersebut sedang dibaiki dan pengajaran dan pembelajaran dijalankan buat sementara waktu di sebuah sekolah rendah yang terletak di area Perak Road.

Pada mulanya, ibu bercadang untuk membawa saya berulang-alik dari rumah dan sekolah (di mana tadika itu ditempatkan sementara waktu) dengan bas sekolah. Tapi, kami dimaklumkan bahawa orang dewasa tidak dibenarkan naik bas sekolah sekali. Macam mana saya yang tidak beberapa berupaya berjalan ni nak naik bas sekolah seorang diri. (sehingga kini, saya juga tidak berupaya naiki bas seorang diri tanpa teman atau bimbingan) Lagipun, saya perlu jagaan ibu semasa di tadika.

Oleh itu, ibu bawa saya pergi balik sekolah tu dengan bas awam. Tiap-tiap hari ibu, yang saiz badan agak kecil, dukung saya yang berusia lapan tahun dari rumah ke perhentian bas. Ibu menyandang beg sekolah saya pada bahu dan menyangkut beg bakulnya pada lengan. Ibu dukung saya menuruni tangga rumah kedai, berjalan melalui deretan rumah kedai dan rumah-rumah lain sehingga ke jalan besar, dan seterusnya melintasi jalan menuju ke perhentian bas. 

Nasib baik saiz badan saya pun kecil juga. Tiada perbezaan yang ketara berbanding saiz badan dan ketinggian kanak-kanak tadika enam tahun. Rasanya ada juga yang saiz badan lebih besar, lebih tinggi walaupun saya dua tahun lebih tua. Saya akan memeluk ibu dalam dukungannya sekuat mungkin... kedua-dua tangan saya berpaut pada bahu ibu dan kaki berpaut pada pinggang ibu... Kalau ibu lepaskan tangan seketika pun takpa.. Itulah yang saya boleh buat...kebolehan dan kekuatan saya.

"Peluk mak kuat-kuat ya... Mak tidak cukup tenaga... hanya dapat menyokong kamu sikit-sikit saja," ibu selalu mengingatkan saya terutamanya apabila dia rasa pelukan/pautan saya semakin lemah.

Apabila bas tiba, ibu yang mendukung saya menaiki 2 atau 3 anak tangga yang agak tinggi (bas ketika itu) untuk masuk ke dalam bas. Sampai di sana, ibu mendukung saya dari perhentian bas ke sekolah itu. Jika hari hujan, ibu bagi saya pakai baju hujan manakala dia ambil payung memayungkan dirinya dan juga saya. Adakalanya ada juga kawan ibu/bapa atau ibubapa kepada kanak-kanak tadika tersebut yang menawarkan bantuan untuk menghantar saya dan ibu pergi atau balik tadika.

Sebulan dua kemudian, tadika siap dibaiki. Maka, ibu tidak perlu bawa saya pergi belajar dengan bas lagi. Lalu ibu mendukung saya berjalan ke tadika itu yang terletak di belakang perhentian bas tersebut. Semasa balik dari tadika, ada-kalanya ibu akan memimpin saya berjalan apabila kami hampir sampai rumah.

No comments:

Post a Comment