Friday 28 November 2014

Lompat Kelas (bhgn 1)

Hai pembaca-pembaca blog Suka Duka Kehidupan Chin Chin. Minta maaf banyak-banyak kerana lama tak update blog ini. Sibuk sikit dan bila ada masa lapang pula, sekejap rasa nak buat ini sekejap nak buat itu. Saya juga masih kurang kemahiran menulis...ambil masa untuk mengarang. Tak dapat menulis panjang dalam masa yang singkat. Walaubagaimanapun saya ingin berkongsi pengalaman-pengalaman hidup saya dengan anda semua. 

Oh ya...saya pernah lompat kelas. Lompat dari darjah 2 ke darjah 3. Saya baca darjah 2 masa sesi persekolahan 1991/92. Setelah beberapa bulan, rasanya bulan Mei 1992, saya terpaksa lompat kelas ke darjah 3. Kenapa saya lompat kelas ya? Kerana saya masuk sekolah biasa lewat dua tahun.

Masih ingat lagi tak saya pernah cerita saya tidak bersedia masuk sekolah aliran perdana masa umur 7 tahun dan dimaklumkan kanak-kanak OKU seperti saya boleh masuk lewat dua tahun pada masa tu. Maka, saya hanya masuk tadika masa umur 8 tahun dan baca satu penggal saja iaitu penggal kedua (Jun'90 - Oct'90). Kemudian masuk darjah 1 bagi sesi persekolahan 1990/91.

Masa nak masuk sekolah rendah, keluarga saya kena pergi berurusan di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) memandangkan ini kes khas. Masa masuk darjah satu, ibubapa saya diberi satu surat yang menyatakan:
Anak tuan/puan telah berumur 9 tahun dan sepatutnya berada dalam darjah 3. Oleh kerana itu, anak tuan/puan dikehendaki berada dalam:
  • Darjah 1 bagi tiga bulan pertama sesi persekolahan 1990/91
  • Darjah 2 bagi tiga bulan kedua sesi persekolahan 1990/91
  • Darjah 3 bagi bulan-bulan seterusnya sesi persekolahan 1990/91
Apa.... Saya mana mampu nak mengikuti kurikulum tahun 1, tahun 2 dan tahun 3 dalam masa setahun. Rasanya kanak-kanak upaya pun tidak mampu. Apatah lagi saya yang mengalami CP. Saya pun bukannya suka-suka masuk sekolah biasa lewat tapi disebabkan perkembangan diri saya. Lagipun pernah dimaklumkan dua tahun lepas bahawa saya boleh masuk sekolah aliran perdana lewat. Sekarang diberitahu tak boleh pula.

Bagaimanapun masa darjah 1 saya tidak lompat kelas. Guru kelas Cikgu Minah (bukan nama sebenar) ada beritahu dan memperingatkan ibu akan kandungan surat JPN tu. Tapi macam mana nak lompat, belajar dalam darjah 1 pun dah ada cabarannya. Ibu berbincang dengan cikgu dan akhirnya saya terus belajar darjah 1 sampai hujung tahun dan kemudian masuk darjah 2 bagi sesi persekolahan 1991/92 sama-sama dengan rakan-rakan sekelas.

Hampir setengah tahun saya berada dalam darjah 2, tiba-tiba pihak JPN dapat tahu saya ni tidak lompat mana-mana kelas seperti yang diminta sebelum ini. Maka, saya terus disuruh lompat ke darjah 3. Tak boleh tak lompat. Saya dicadangkan masuk ke kelas permulihan (kelas khas) di sekolah saya sekiranya betul tak mahu lompat ke darjah 3. (Kelas pendidikan khas yang dinamakan kelas pemulihan masa tu baru saja bermula di Sekolah Rendah Kebangsaan Jelutong Barat tahun itu dan ada juga murid-murid upaya yang lemah pelajaran diberi bimbingan tambahan di kelas tersebut pada slot masa tertentu)

Saya dan ibu pernah juga terfikir nak masuk ke kelas khas tu tapi pihak Persatuan Kanak-Kanak Cerebral Palsy Pulau Pinang nasihat kami supaya jangan. Pun nasihat kami agar saya tidak terus putus asa dan kembali ke Persatuan. Kerana kat Persatuan tiada peluang belajar tinggi-tinggi...cuma setakat pelajaran sekolah rendah saja. Maka, saya belajar dalam darjah 3 saja.


Sememangnya susah saya yang tengah belajar darjah 2 tiba-tiba saja masuk darjah 3. Murid-murid darjah 3 pun dah ikuti silibus tahun 3 hampir setengah tahun. Saya yang baru saja belajar operasi yang melibatkan dua digit tiba-tiba kena buat latihan operasi yang melibatkan tiga digit pula. Rakan sekelas lama (Kelas 2 Mutiara) pun pening tengok latihan matematik yang saya kena buat dalam kelas baru ketika mereka datang melawat saya masa rehat. Sedih pilu saya seorang terpaksa berpisah dengan mereka semua dan bersama-sama murid-murid Kelas 3 Mutiara pula. Nasib baik ada juga murid-murid Kelas 3 Mutiara yang nak berkawan dan bantu saya.

Saya berasa sangat sukar nak mengikuti pelajaran masa tu. Cikgu yang ajar english tegas orangnya dan ajar dengan pantas. Satu waktu pelajaran saja iaitu 30 minit atau 35 minit saja, murid-murid seluruh kelas boleh disuruh beratur untuk disemak buku dua tiga kali. Dia ajar, bagi latihan, kemudian semak latihan yang dibuat setiap murid dan proses ini diulang 2 - 3 kali. Setiap hari Jumaat dia akan bagi kami dictation. Pada awal tahun cikgu tu dah mula bagi mereka latihan spelling dan masa saya masuk kelas tu dia telah bagi latihan dictation. Saya mana mampu buat. Pertama, saya tulis lambat - tak sempat nak tulis kata-kata yang cikgu katakan. Baru tengah tulis perkataan pertama atau kedua, cikgu sudah baca habis ayat tu dan nak mula ayat kedua. Kedua masalah subjek tu - saya tak faham, tak dapat tangkap apa yang dikatakan, tak tau macam mana nak eja. Apa lagi nak buat kalau bukan tiru kerja murid lain. Masa darjah 3 lah, prestasi english saya mula merosot. Sebelum tu english saya ok. Sejak tu, english saya dah tak bagus. Bagaimanapun cikgu tu baik orangnya. Dia sendiri pergi cari buku-buku teks tahun 3 bagi saya apabila tengok saya masih tak diberi buku teks walaupun sudah berminggu-minggu saya berada dalam darjah 3.

Satu perkara lagi... Ketika tu saya asyik saja rasa nak buang air kencing. Tapi apabila ibu dukung saya ke tandas, saya tak dapat membuang pula. Saya cuba tapi tak buang-buang juga lalu ibu pun dukung saya balik kelas. Sebaik saja sampai kelas atau tidak beberapa lama kemudian, saya rasa nak buang. Ibu terpaksa dukung saya ke tandas semula. Ibu rasa geram dengan saya juga. Lebih-lebih lagi ada kalanya saya menangis kat kelas kerana rasa nak buang tapi tak boleh membuang. Selain itu, saya juga minta ibu duduk berhampiran dengan kelas. Tak bagi ibu duduk kat kantin yang agak jauh. Tak taulah kenapa saya macam itu. Entahlah saya stress ka atau develop behavior problem. Atau saya saja nak lalu kelas lama jenguk kawan-kawan lama. Rindu kot. Kalau saya ke tandas, saya sememangnya akan berlalu depan belakang bilik darjah lama. Saya cuma tak berani buat perangai masa subjek english kerana takut cikgu yang tegas tu. Saya pernah juga ponteng sekolah masa tu.

Walaubagaimanapun saya ada cuba belajar sebaik mungkin juga. Ada buat latihan yang diberi. Keputusan peperiksaan akhir tahun tu cukup-cukup lulus saja...semua turun berbanding markah-markah masa darjah 1 dan darjah 2. Hanya matematik ok sikit, dapat B tak silap saya.

Selepas darjah 3, murid-murid dibahagikan kelas mengikut prestasi akademik masing-masing. Saya dapat masuk kelas 4 Mutiara iaitu kelas ke-5 daripada 7 kelas. Masa darjah 4, saya tak menghadapi masalah nak buang air tapi tak boleh lagi. Saya sudah rasa gembira belajar dalam kelas dan belajar bersungguh-sungguh. Saya dapat mengikuti pelajaran dengan baik walaupun susah. Kan tahap pencapaian akademik kami sekelas hampir sama saja. Kami semua tak seberapa pandai belajar.

Akan bersambung 

No comments:

Post a Comment