Thursday 25 September 2014

Bimbang-Bimbang...Akhirnya Telah Pergi Kursus Dua Kali

Hi pembaca-pembaca blog 'Suka Duka Kehidupan Chin Chin'. Apa khabar semua? Saya mohon maaf kerana agak lama tak update blog. Kali ini saya nak kongsi apa yang happening now.

Kini saya kerja secara kontrak setelah beberapa tahun kerja secara sambilan. Tapi, masih belum dapat kerja tetap lagi. Sebagai staf kontrak, saya juga dikehendaki pergi kursus untuk mengumpul markah CPD demi memenuhi keperluan penilaian prestasi tahunan. Saya sememangnya ada rasa gembira dan excited nak pergi kursus kerana dapat mempelajari sesuatu.

Namun, pada awalnya saya berasa bimbang... takut...risau juga. Risau macam mana saya seorang diri nak pergi kursus di tempat-tempat yang tidak pernah atau jarang saya pergi walaupun dalam kampus saja memandangkan gaya pergerakan (berjalan) saya tak stabil. Risau akan keadaan persekitaran tempat itu - adakah tempat itu luas dan lapang seperti di pasaraya (saya tidak boleh / sangat sukar berjalan sendiri di tempat yang luas dan lapang di mana tiada dinding atau benda di sekitar yang boleh saya dapatkan sokongan atau sentuh lebih-lebih lagi jika terdapat banyak orang berada di sana); adakah perlu jalan jauh; adakah tempat itu mempunyai tangga atau step di sana sini; adakah tandasnya ok.

Pada 20 Ogos 2014, saya julung-julung kalinya telah pergi ke kursus yang saya pohon. Kursus tu selama satu hari dan diadakan di tempat yang berdekatan dengan pejabat saya tapi jika jalan sendiri saya tak akan sampai. Saya tahu keadaan tempat itu yang agak baik memandangkan saya pernah pergi sana beberapa kali sebelum ini. Jumie yang hantar saya pergi balik kerja setiap hari turunkan saya terus di sana. Segala-galanya dilalui dengan baik. Saya boleh jalan sendiri di dalam bangunan itu... masuk ke dalam dewan; turun naik dua tiga steps dalam dewan...ke tandas sendiri.

Kudapan pagi disediakan dan ada juga satu meja khas di foyer untuk penceramah. Beberapa peserta duduk semeja dengan penceramah kursus tu dan saya diajak duduk sekali. Peserta-peserta lain bersarapan di satu bilik lain. Mereka bantu saya mengambil makanan dan menuang minuman ke dalam cawan. Kami sembang-sembang semasa makan. Oh, rupa-rupanya puan penceramah tu yang telah memimpin saya naik atas pentas ambil scroll semasa konveksyen dulu. Dia masih ingat saya.

Pada waktu tengah hari, mereka semua masing-masing keluar makan atau menjalankan urusan sendiri. Saya tinggal di sana saja... makan roti bun yang dibawa dari rumah. Sana ada juga bilik beristirehat... dapatlah saya berehat di kerusi sofa sambil bermain-main handphone. Ada seorang staf yang merupakan urusetia kursus juga tinggal di sana pada waktu rehat. Dia cuma keluar sekejap untuk berurusan dan kemudian datang balik. Kursus tu sambung sebelah petang sehingga hampir pukul 5 petang. Selepas kursus tu habis, saya tunggu di sana sekejap dan Jumie datang ambil saya balik rumah apabila habis waktu kerja 5.10 petang.

Selepas beberapa hari, saya mohon satu kursus ICT pula yang dijadualkan pada 10 September 2014. Sememangnya perlu ambil kursus pelbagai kategori dan harus pohon sendiri secara online kursus yang bersesuaian atau yang diminati. Lokasi kursus ICT tu tidak pernah saya kunjung. Sebelum tibanya 10 September, saya telah tanya-tanya Jumie dan juga rakan sekerja keadaan dan kedudukan makmal komputer tu. Saya mendapat tahu bahawa tempat itu kurang mesra OKU dan makmal itu berada di tingkat 2. Walaubagaimanapun, saya dimaklumkan tempat itu ada lif.

Pada hari itu, Jumie datang ambil saya dari rumah dan ibu ikut sama. Sebelum hari tu, saya pernah bincang dengan ibu...memintanya memimpin saya ke makmal tu. Pada pagi itu, saya ingat nak pergi sendiri pula kerana rasa segan nak ibu pergi sana. Bimbang juga kemungkinan ibu terserempak dengan orang dan bertegur sapa dengannya sewaktu dia nak jalan balik selepas hantar saya memandangkan ibu tidak beberapa tahu berbahasa Malaysia mahupun English. Akhirnya, ibu ikut sama juga. Selepas turun dari kereta, ibu memimpin saya berjalan ke dalam bangunan sehingga ke tangga. Persekitaran di tingkat bawah bangunan itu agak luas dan lapang yang merupakan satu cabaran bagi saya untuk berjalan sendiri. Kami naik tangga ke tingkat satu dan jalan sikit ke tangga lagi satu lalu naik ke tingkat dua. Kami tidak menggunakan lif dan sebaliknya menggunakan tangga untuk memudahkan ibu turun semula selepas tinggalkan saya. Lagipun kami tidak ternampak lif apabila masuk ke dalam bangunan...mungkin kena jalan jauh untuk sampai ke lif. Adalah tidak menjadi masalah bagi saya menaiki tangga lebih-lebih lagi jika ada teman. Tapi agak penat juga panjat hingga ke tingkat 2. Apabila sampai atas, terus kelihatan bilik-bilik makmal di situ. Ibu memimpin saya jalan sehingga di luar makmal, kemudian dia balik... jalan ke perhentian bas..naik bas ke pasar sebelum balik ke rumah. Ibu sememangnya biasa hantar saya ke pejabat dengan sapu teksi dan kemudian jalan kaki di sekitar kampus sehingga pintu Sungai Dua untuk ke perhentian bas apabila Jumie tidak dapat mengambil saya pergi kerja.

Pengajar itu baik dan dia memberi perhatian kepada saya agar saya tidak ketinggalan. Apabila waktu rehat untuk kudapan pagi, saya dengan yakinnya jalan sendiri keluar dari makmal komputer itu. Tanpa saya sedar... pomp...saya tidak perasan ada step di muka pintu makmal lalu jatuh terduduk. Aduh...punggung saya rasa sakit seketika tapi tak sampai seminit kesakitan dah hilang... Ah, saya sudah biasa jatuh. Kadang-kadang saya jalan dan tiba-tiba hilang kestabilan lalu jatuh.. Dua tiga orang peserta lelaki datang pimpin saya bangun semula dan tanya saya ok tak. Kemudian, mereka tawar untuk memimpin saya berjalan tapi saya berasa segan dengan mereka lelaki. Selain itu, saya rasa berupaya jalan sendiri memandangkan keadaan jalan yang rata dan terdapat bilik-bilik di kedua-dua belah; cuma perlu berhati-hati tengok kalau-kalau ada step. Saya sendiri berjalan ke tandas yang jarak antaranya dengan makmal agak jauh juga. Kemudian, jalan ke tempat makan. Saya meminta mereka bantu saya ambil makanan.

Pada waktu rehat tengah hari, saya rehat di atas kerusi kusyen yang terdapat di luar makmal. Agak boring juga duduk sana hampir 2 jam. Saya ada fikir nak ajak Jumie keluar makan tapi malas dan letih juga nak turun naik dan jalan keluar masuk semula. Jadi saya rehat, makan roti, chatting dengan kawan melalui handphone. Terserempak dengan dua orang kawan yang bekerja di sana dan melalui tempat yang saya duduk. Kami bertegur sapa. Sedar tak sedar akhirnya waktu rehat berlalu pergi juga.

Kursus itu habis pukul 4.30 petang. Selepas habis, saya keluar duduk di luar makmal. Saya tak pergi minum petang yang disediakan kerana rasa kenyang. Saya duduk sana sekejap sambil melihat handphone yang saya letak dalam mod silent sepanjang kursus berlangsung. Kemudian dua orang peserta wanita yang kelihatan nak balik lalu di hadapan saya. Saya tanya mereka di mana letaknya lif dan mendapat tahu mereka juga nak ke lif. Mereka mengajak saya jalan bersama. Kemudian salah seorang daripada mereka menawar diri membantu ambil beg makanan saya. Kemudian seorang lagi menawar diri untuk memimpin saya berjalan. Mereka membantu saya hingga sampai pintu masuk bangunan di mana Jumie turunkan saya pagi tadi. Mereka mendapatkan kerusi bagi saya duduk. Saya duduk di sana tunggu Jumie datang ambil saya balik selepas waktu kerja.

Bimbang-bimbang...risau-risau... akhirnya saya juga telah pergi kursus dua kali tanpa teman. Hanya tinggal satu kursus lagi untuk tahun ini jika nak dapat cukup markah. Akan pergi jika ada kursus yang bersesuaian. Tahun depan mungkin boleh pergi kursus bersama-sama rakan sekerja jika bersesuaian. 

2 comments:

  1. Thank you for updating your blog chin chin. I enjoyed reading your new entry. Take good care of youself ya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanks for reading my blog. I am pleased that you enjoy reading my post.

      Delete