Sunday 11 January 2015

Sesi Permulaan Persekolahan

Sesi persekolahan 2015 bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor akhirnya bermula hari ini 11 Januari 2015 dan bagi negeri-negeri lain pula bermula esok 12 Januari 2015 setelah ditangguh seminggu akibat banjir teruk yang melanda pada akhir tahun lalu. Masih ada sekolah yang terpaksa ditunda sesi persekolahannya kerana sekolah-sekolah tersebut masih dinaiki air, digunakan sebagai pusat pemindahan sementara atau mengalami kerosakan teruk. Kesan banjir kali ni amatlah besar. Semoga mereka terus tabah menghadapi segala dugaan ini.

Oh ya masa saya belajar di sekolah rendah dulu....setiap kali bermulanya sesi persekolahan saya pasti meminta ibu berjumpa dengan guru kelas untuk memaklumkan keadaan diri saya. Saya bimbang cikgu yang bakal menjadi guru kelas saya tidak tahu diri saya ni OKU atau tidak memahami diri saya ni. Saya pula tidak berani nak beritahu cikgu baru tu sendiri lebih-lebih lagi pertuturan saya tak jelas. Saya takut cikgu tak faham apa yang saya cuba cakap.

Pada hari pertama persekolahan, ibu akan berjumpa dengan guru kelas yang baru masuk ke dalam kelas saya. Ibu akan memberitahu guru tu akan keadaan diri saya yang kurang upaya...boleh tulis tetapi lambat, boleh cakap tapi tak jelas, dan boleh jalan tapi tak stabil dan memelukan bantuan. Ibu meminta guru tu tolong tengok-tengokkan saya masa kat kelas. Selain itu, ibu seperti penjaga murid-murid lain akan membayar yuran sekolah. 

Masa sekolah menengah, saya tidak lagi meminta ibu memaklumkan keadaan diri saya ni kepada guru kelas. Kecuali masa tingkatan satu di mana saya dan pelajar-pelajar lain didaftarkan di sekolah menengah. Saya tahu cikgu pasti sedar akan diri saya OKU apabila melihat diri saya ni. Mereka akan menyedari  akan keadaan fizikal saya apabila saya mula diminta buat sesuatu. Tidak perlu terangkan dengan kata-kata.

No comments:

Post a Comment