Sunday 14 June 2015

Belajar Makan Nasi Sendiri

Aku mula belajar makan nasi sendiri masa umur lebih kurang 5 tahun.

Masa tu keluarga aku bantu mengurus perniagaan kopitiam milik uncle ke-4 aku, adik papa. Papa aku anak nombor 3 daripada 11 adik-beradik; 9 lelaki dan 2 perempuan. Kami sekeluarga juga tinggal kat kopitiam itu. Ada juga uncle lain dan atuk nenek datang siang hari tolong jaga kopitiam.

Masa tu mama sangat sibuk. Memanglah sibuk bila nak urus bisnes kopitiam yang jual economic rice beroperasi dari pagi menjelang tengah hari hingga malam. Ada juga satu dua gerai jual mi atau makanan lain. Awal-awal pagi mama bersama-sama pekerja dah kena pergi market berdekatan beli sayur-sayuran. Lepas balik kena bantu kat dapur sementara ada pekerja masak…urus kedai siap sedia nak buka. Pastu berniaga hingga malam. Malam pula mama nak potong sayur-sayuran semua untuk esok selain buat exercise bagi aku.

So mama tak dapat menyuap aku makan tiap-tiap hari terutamanya waktu tengah hari. Waktu tengah hari paling sibuk. Orang ramai waktu rehat datang lunch. Maka aku pun mula belajar makan nasi sendiri. Rasanya aku didudukkan dalam kerusi tinggi baby.

Aku pegang sudu dengan tangan kanan. Entah macam mana cara aku memegang sudu masa tu…menggenggam dengan kelima-lima jari sekali dan tapak tangan menghala ke bawah kah atau macam mana. Aku gerakkan sudu mengambil nasi sama lauk yang telah dikopek, dipotong kecil-kecil, dari pinggan. Kemudian aku membawa sudu bersama makanan ke mulut. Semasa sudu digerakkan dari pinggan ke mulut aku, nasi sebutir demi sebutir, lauk seketul demi seketul  secebis demi secebis terjatuh dari sudu ke pinggan semula. Ada yang terjatuh mengena meja  kerusi, pakaian aku dan juga lantai di sekitar aku. Hal ini kerana tangan aku tidak dapat memegang sudu dengan kedudukan yang betul iaitu sentiasa berkedudukan mendatar. Sudu yang aku cuba  bawakan ke mulut berkedudukan agak condong. Lagipun itu tangan aku yang terketar-ketar masa bergerak juga menyebabkan makanan jatuh. Masa sampai mulut, makanan yang tinggal sikit saja. Pastu aku tidak dapat masuk kesemua makanan yang tinggal ke dalam mulut sepenuhnya. Ada nasi dan lauk yang jatuh juga atau terkena kat sekitar luar mulut.

Macam inilah aku mula belajar makan nasi sendiri satu sudu demi satu sudu. Bilangan kali suapan aku setiap kali makan pasti lebih banyak memandangkan banyak makanan terjatuh semula ke dalam pinggan dan kena diambil makan semula. Banyak nasi sama lauk yang bazir terjatuh kat  meja dan lantai. Tapi inilah proses aku mula belajar makan nasi sendiri.

Lepas aku habis makan, datuk aku akan bawakan aku segelas air biasanya air barley bagi aku minum dengan penyedut. Datuk akan lap mulut aku dengan kain lap meja. Datuk biasa tolong mengemas dan lap meja-meja serta tolong bawa minuman kepada customer. Dengan kain lap meja yang dipegang, dia akan lap mulut aku sekali. Datuk aku meninggal dunia masa aku umur 10 tahun.

Ini cerita aku mula belajar makan nasi sendiri. Mungkin sebelum itu mama atau cikgu terapi sudah pernah mengajar, membimbing aku kemahiran ini. Entah. Perniagaan kopitiam tersebut kekal tidak lama. Selepas perniagaan tersebut tutup, mama tidak keluar kerja lagi membolehkan dia menghabiskan lebih banyak masa menjaga aku. Aku pasti selepas itu mama meluangkan masa mengajar, membimbing, melatih aku makan sendiri juga. Kemahiran aku makan sendiri semakin bertambah baik bila umur aku semakin meningkat hasil praktis yang berterusan. 

No comments:

Post a Comment