Thursday 19 October 2017

Rakan-Rakan Sekelas

Aku sentiasa bersyukur kerana dipertemukan rakan-rakan sekelas dan rakan-rakan sekerja yang baik sejak aku masuk tadika biasa lagi hingga hari ini. Kebanyakan, jika bukan semuanya, tidak pernah tidak mengendahkan aku sebagai rakan sekelas/sekerja, membuli aku atau mengejek aku ni cacat atau OKU. Sebaliknya, ramai antara mereka sedia membantu aku untuk memudahkan kehidupan aku di sekolah khususnya semasa di dalam kelas. Begitu juga di tempat kerja.

Sejak mula belajar di tadika lagi, rakan-rakan sekelas khususnya yang duduk bersebelahan dan yang duduk berdekatan aku banyak membantu aku semasa di dalam kelas. Sungguhpun ketika itu mereka semua masih kecil baru saja berumur 6 tahun dan aku juga seorang pelajar baru yang hanya masuk ke tadika mulai penggal II sesi persekolahan. Apabila loceng berbunyi menandakan sesi pembelajaran bermula, mama meninggalkan aku di dalam kelas. Rakan-rakan sekelas terutamanya mereka yang duduk bersebelahan dan berdekatan aku akan tolong tengok-tengokkan aku.

Masalah pergerakan tangan aku yang berketar-ketar dan tidak sengaja sering menyebabkan barang-barang aku terjatuh. Pensel, pemadam, pembaris, pen, malah buku dan kotak pensel. Adakalanya barang kepunyaan rakan yang duduk bersebelahan aku turut menjadi mangsa...terjatuh juga. Rakan yang duduk bersebelahan atau berdekatan dengan aku akan bantu kutip barang-barang yang jatuh lalu letak semula atas meja bagi aku. Kadang-kadang rakan lain mahupun cikgu yang kebetulan jalan melalui tempat aku akan tolong kutip.

Mereka akan bantu mengambil lalu menghantar buku aku kepada cikgu di meja guru untuk disemak. Mereka akan mengambil sekali buku aku yang telah disemak bagi aku. Mereka juga biasa membantu aku mengeluarkan buku dari beg atau laci dan menyimpannya semula selepas aku menggunakannya, mengeluarkan alat tulis yang diperlukan dan kemudiannya menyimpannya semula ke dalam bekas pensel.

Sekiranya aku ingin ke tandas, aku akan memberitahu cikgu atau meminta salah seorang rakan bantu memaklumkan kepada cikgu. Kemudian cikgu akan meminta rakan itu pergi memanggil mama aku yang duduk menunggu di kantin, di tangga berselahan dengan kelas kami atau di tempat berdekatan seperti kedai buku sekolah (bergantung di mana kelas aku pada tahun persekolahan itu). Mama akan datang ke kelas membawa aku ke tandas. Selain itu, mama akan menemami atau menyuap aku makan ketika waktu rehat. Mama juga akan datang membawa aku ke kelas lain.

Semasa aku belajar di sekolah rendah terutamanya sesi persekolahan pagi, apabila sesi pembelajaran bermula, mama akan pergi pasar dan kemudiannya akan datang semula tengok aku. Selepas waktu rehat, mama biasa akan pulang ke rumah semula untuk memasak. Sebelum meninggalkan aku di dalam kelas, mama akan meminta rakan-rakan kelas tolong tengok-tengok aku selain mengingatkan aku untuk jaga diri baik-baik.

Semasa darjah satu lagi, ada dua tiga rakan sekelas berkata kepada mama “Aunty baliklah rumah. Jangan bimbang. Kami akan tolong Aunty jaga Chin Chin.”

Aktiviti menyalin dari papan hitam semakin meningkat dari hari ke hari selaras dengan peningkatan keupayaan dan kepantasan pelajar-pelajar upaya menulis. Namun, aku mengambil masa yang panjang untuk menunjukkan kemajuan keupayaan dan kepantasan menulis yang tidak seberapa dan kemajuan aku ini terhenti pada satu tahap saja. Pendek kata, aku menulis lambat atau mengambil masa jauh lebih lama untuk menulis sesuatu berbanding orang lain. Rasanya sejak darjah dua lagi, aku mula tidak sempat menyalin nota atau soalan latihan dari papan hitam, apatah lagi yang hanya dibacakan semasa belajar pada peringkat lebih tinggi. Aku terpaksa meminjam buku latihan rakan balik rumah untuk menghabiskannya. Mereka meminjamkan aku buku latihan mahupun buku kerja mereka balik rumah untuk melengkapkan nota, soalan latihan atau catitan di rumah. Semasa di sekolah menengah, kadang-kadang aku terpaksa meminjam sehingga empat atau lima buah buku rakan balik rumah pada sesuatu hari.

Selain itu, adakalanya aku menelefon rakan sekelas untuk bertanyakan latihan dari buku teks atau buku kerja yang perlu buat. Hal ini kerana aku tidak sempat menanda kesemua nombor soalan atau bahagian teks yang dipetik dari buku teks yang cikgu telah bacakan itu semasa di sekolah. Ataupun aku mc pada hari-hari berkenaan. Ada dua tiga rakan yang aku biasa telefon untuk bertanya. Mereka ini sudah biasa dengan percakapan aku yang kurang jelas. Setelah beberapa kali aku menelefon, ahli keluarga termasuk adik mereka yang biasa mengangkat menjawab panggilan telefon juga pun tahu siapakah yang menelefon ini lalu memanggil rakan aku menjawabnya. Jika sebelum itu, ada antara ahli keluarga mereka pernah bercakap kuat atau menutup telefon kerana hairan dan tidak faham percakapan aku yang tidak jelas serta teragak-agak sebab kurang yakin. Aku pernah juga minta mama tolong cakap bagi pihakku terlebih dahulu sehingga rakan aku menjawab telefon. Rakan sekelas aku tersebut akan menjawab dan memberitahu aku satu per satu sambil menunggu aku mencatatnya.

Rakan-rakan sekelas sememangnya menerima aku sebagai sebahagian kelas dengan baiknya. Jika aku tidak silap, rakan-rakan tadika turut memegang lalu memimpin tangan aku berayun-ayun bersama semasa menyanyi beramai-ramai. Mereka tidak membiarkan aku duduk diam saja. Kehadiran mama di sekolah setiap hari dan kemesraan mama terhadap rakan-rakan sekelas aku sedikit sebanyak mendorong mereka berkawan dengan aku. Mama bertegur sapa, sembang, mengusik dan bergurau senda dengan mereka.

Semasa darjah dua, aku telah diminta lompat kelas ke darjah tiga atas sebab aku masuk sekolah biasa lewat dua tahun. Bukan aku saja, rakan-rakan sekelas di darjah dua turut berasa sedih yang aku terpaksa meninggalkan mereka. Mereka tertanya-tanya sebab aku kena pergi kelas lain apatah lagi ke kelas darjah tiga. Pada waktu rehat, beberapa rakan sekelas terutamanya yang agak rapat dengan aku kerap datang jumpa aku di kelas baru. Mereka bertanya khabar dan berbual dengan aku dan juga mama. Rakan-rakan sekelas aku di darjah tiga juga baik seperti rakan-rakan sekelas aku sebelum ini. Selain membantu aku semasa dalam kelas dan meminjam aku buku, ada antara mereka juga memberi nasihat dan sokongan moral kepada aku yang ketika itu menghadapi tekanan akibat lompat kelas.

Selepas darjah tiga, pelajar-pelajar mula diagihkan ke kelas-kelas tertentu mengikut prestasi akademik masing-masing. Semasa darjah empat, aku dimasukkan ke kelas kelima daripada tujuh kelas. Rakan-rakan sekelas aku juga baik, sudi berkawan dan sentiasa sedia membantu aku. Begitu juga dengan tahun-tahun seterusnya.

Aku masih ingat semasa di darjah empat, ada seorang rakan lelaki memanggil aku ‘Kucing’ memandangkan namaku Chin Chin. Namanya Ikram. Selepas itu, aku terfikir lalu membalas panggilannya itu dengan  memanggilnya ‘Ikan’. Kakak kembarnya yang belajar di kelas sebelah tergelak terhadap kami yang mengusik antara satu sama lain. Aku dan kakak kembarnya gelak apabila kami menyedari tentang makanan kucing. Oh ya...kucing suka makan ikan. Jujur aku tidak sekali pun terfikir akan hal ini masa mula-mula aku membalas panggilannya dengan panggilan tersebut. Aku langsung tidak berniat jahat selain bermain dengannya yang nak bermain dengan aku. Tanpa dirancang, aku seolah-olah menang dalam hal ini.

Aku dan rakan-rakan sekelas juga membantu satu sama lain dalam pelajaran terutamanya semasa kami belajar pada peringkat menengah atas. Semasa peperiksaan menjelang, kami semua sibuk mengulang kaji di dalam kelas. Kami sibuk membuat pelbagai latihan dari buku-buku masing-masing khususnya latihan matematik tambahan bagi persediaan menduduki ujian dan peperiksaan. Kami saling bertanya, membantu dan memberi tunjuk ajar satu sama lain untuk menyelesaikan soalan-soalan berkaitan. Selain itu, ada dua tiga orang rakan sekelas juga biasa datang ke rumah aku untuk belajar bersama-sama. 

Sejak darjah lima, aku mula mempunyai sesorang ‘buddy’ yang sememangnya sentiasa bersama dengan aku, membantu aku dan berkawan rapat dengan aku. Aku akan bercerita tentang mereka seorang demi seorang dalam post-post aku yang akan datang. 

1 comment: