Tuesday 1 May 2018

Aku Seorang Pelajar OKU dan Sahabat-Sahabat OKU (episod 1)

Hi, apa khabar semua? Aku berharap agar anda semua berada dalam keadaan sihat sejahtera. Sekali lagi aku telah membiarkan blog ini diam saja hampir setengah tahun selepas update dua post atas sebab-sebab tertentu selain aktiviti menulis ini bukannya sebati dalam diriku lagi...mood dan idea untuk menulis hanya datang sekali sekala. 

Selain bekerja dan sekali sekala berwhatsapp atau bermessenger dengan kawan, aku tidak tahu apa nak buat dan jika terfikir pun tiada mood nak buatnya...hanya sibuk melayan perasaan dan fikiran yang bukan-bukan pada kebanyakan masanya yang mungkin boleh menjejaskan kesihatan. 

Ahad lalu aku telah bermessenger dengan Kak Jameyah yang sudah lama kami tidak bertanya khabar dan bersembang. Entah kenapa tiba-tiba Kak telah meminta aku menulis tentang dirinya atau kisah kami berdua. Kak bagai dapat membaca jiwa aku walaupun berjauhan, walaupun kami tidak kelihatan wajah sama sekali, walaupun sebelum kami berbicara panjang. 

Mungkin betul ajakan Kak Jameyah dan pernah juga ajakan beberapa orang lain selama ini untuk menulis dan menulis...Satu aktiviti yang bermanfaat dan aku mampu membuatnya sendiri tanpa bantuan.. Maka malam semalam akhirnya aku terdetik hati untuk mula menulis...menyahut cabaran Kak Jameyah ini untuk menulis...Namun, apa yang aku mula tulis ini bukan hanya tertumpu pada kisah kami berdua saja seperti yang dicadangkan. Dan bukan hanya satu post saja. Tapi apa yang aku mula tulis dalam post ini dan post-post akan datang ialah kisah bersiri-siri tentang kehidupan aku seorang pelajar universiti dan sahabat-sahabat OKU di mana Kak Jameyah salah seorangnya yang mengaktifkan sahabat-sahabat OKU ini. Aku pasti Kak Jameyah dan yang lain akan gembira sekiranya mengetahui usaha aku dalam penulisan bersiri ini sekiranya aku tidak bersikap ‘hangat-hangat ayam’ dalam perancangan ini…Berhasrat tinggi pula, apakah aku mampu melakukannya secara berterusan. Moga aku dapat tulis terus menerus sehingga meliputi keseluruhan cerita walaupun mengambil masa yang mungkin panjang dan mungkin aku berselit dengan cerita-cerita lain yang mungkin boleh memanfaatkan kumpulan rakan/pembaca lain. 

Okay...kisah bersiri aku ini bermula di bawah.. 

********

Aku Seorang Pelajar OKU dan Sahabat-Sahabat OKU (episod 1) 

11 Jun 2006 (Rabu) 

Sudah masuk hari ketiga semester pertama bermula. Aku masih bergantung pada Zaleha (kalau aku tak silap namanya), Pembimbing Pelajar Minggu Suai Kenal (PPMS) dan juga membernya yang juga menjadi PPMS kepada kami pelajar-pelajar baru USM sepanjang minggu lepas untuk pergi ke kuliah-kuliah. Zaleha tinggal selang beberapa bilik dari bilik saya di blok K05 Desasiswa Aman Damai dan dialah salah seorang PPMS yang menjaga aku dan juga seorang lagi pelajar baru OKU Wong sepanjang minggu lepas. Wong dari Kelantan seorang OKU fizikal sebelah badan dan berupaya hidup berdikari, berupaya berjalan dan bergerak dalam kampus sendiri. 

Pukul 7 lebih malam, Zaleha membawa aku untuk menghadiri kelas pertama Pengantar Ekonomi di Dewan Kuliah SK (Sains Kemasyarakatan). Seorang member lelaki Zaleha tolong hantar kami ke sana dengan kereta. Zaleha dan rasanya ada seorang lagi membernya yang ikut sama membimbing tangan aku berjalan menaiki tangga menuju ke pintu masuk depan dewan kuliah SK4. 

Aku dipimpin sehingga ke tengah-tengah hadapan dewan dan duduk di barisan yang paling depan sekali. Masih awal lagi di mana pensyarah belum sampai lagi dan ada pelajar-pelajar beransur-ansur masuk ke dewan kuliah besar itu yang boleh menempatkan beratus orang pelajar. 

“Kak, nanti buat pengumuman ya. Tengok kalau ada siapa-siapa yang boleh bantu bawa saya naik bas ke kelas hari-hari,” aku cakap lagi pada Zaleha. Aku dah bincang cakap dengannya petang tadi semasa di asrama dan mungkin juga masa perjalanan ke kuliah. Aku takut dia tak memahami cadangan langkah penyelesaian aku terhadap masalah mobiliti aku. Takut dia tidak faham apa yang aku cuba cakap atas sebab masalah percakapan aku. Takut dia tidak akan dengar lalu bantu buat seperti aku minta bantu, tidak endah atau tidak setuju dengan aku yang mungkin dianggap berfikiran sempit atau leceh. Aku seorang CP yang mungkin orang tidak dihormati sepenuhnya, yang pendapat aku tidak dihirau atau yang kehadiran aku dipandang semacam oleh orang lain. 

Aku mesti cari orang yang sudi berkawan dan membantu aku ke kelas setiap hari. Aku tidak boleh terus bergantung pada Zaleha atau PPMS lain yang merupakan pelajar tahun dua, tahun tiga ataupun tahun akhir. Mereka ada tanggungjawab masing-masing..tugas untuk membimbing pelajar baru sudah habis hanya seminggu saja, bukannya harus terus membantu aku membawa aku ke setiap kelas. 

Pagi tadi seorang dua orang Persatuan CP (tak ingat siapa dia) beserta mama datang jumpa aku di asrama tempat tinggal baru aku. Makluman dan cadangan yang dibawa mereka menyedihkan hati aku. Mereka telah diberitahu bahawa nampaknya tidak dapat cari orang yang boleh membawa aku ke kelas-kelas yang waktu harinya tidak tetap...Ada hari dua kelas..ada hari tiada kelas..Ada hari kelas 8 pagi..ada kelas 11 pagi...pastu kelas 5 petang, 8 malam dan sebagainya. 

Mereka cadangkan agar aku berulang-alik dari rumah dan mereka akan dapatkan perkhidmatan kereta teksi sapu yang boleh membawa aku berulang-alik dari rumah dua tiga kali setiap hari bergantung pada jadual waktu aku. Aku mungkin boleh duduk rehat di school atau asrama pada siang hari sementara tunggu kelas seterusnya jika jarak masa antara kelas singkat. Aturan ini nampaknya rumit juga apatah lagi masa itu masih tidak tahu apa-apa tentang toturial lagi yang hanya bermula minggu ke-3 atau ke-4, tapi pada pandangan mereka ini mungkin satu penyelesaian. 

Tidak...tidak...Aku mahu duduk asrama. Aku sudah dapat menyesuaikan diri sikit-sikit duduk di asrama dengan adanya bantuan dan sokongan fizikal rakan sebilik, rakan-rakan sebelah bilik selain mama. Aku nak duduk sama orang-orang yang sebaya aku. Aku tidak mahu patah balik ikut rancangan asal yang juga diharapkan mama sebelum aku mendaftar masuk hari pertama. Mama pun dah happy, tidak begitu risau aku lagi setelah nampak hidup aku agak terurus tinggal di asrama walaupun dia tidak lagi dapat bantu urus aku tiap-tiap hari. Aku sememangnya teringin sangat-sangat untuk tinggal di asrama berjauhan dengan rumah sejak aku di tingkatan 6 bawah lagi atas sebab-sebab tertentu. Aku sememangnya happy apabila ditawarkan masuk USM dan juga tinggal di asrama di blok yang telah diubahsuai bagi keperluan pelajar OKU. Desasiswa yang aku dapat tinggal ini dinamakan ‘Aman Damai’ sememangnya menyentuh hati aku. Aku rasa Tuhan bagai tahu isi hati aku yang selama ini mengimpikan sebuah kehidupan yang ‘aman’. 

Seperti dalam kuliah malam semalam, pensyarah yang mengajarkan Pengantar Ekonomi memaklumkan kehadiran seorang pelajar CP iaitu aku dalam kelas itu sebelum beliau memulakan kuliah pertamanya. Pensyarah-pensyarah pusat pengajian ini yang bakal mengajar kelas yang dihadiri aku diminta berbuat demikian oleh dekan kami. Aku malu juga dengan pengumuman berkali-kali sepanjang minggu pertama itu. Tapi apa yang aku boleh buat. Ini adalah demi kebaikan aku...mereka buat begitu dengan harapan agar pelajar-pelajar sedar kehadiran aku dan harap ada yang sudi datang berkawan dengan aku membantu aku dalam menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar universiti. 

Pensyarah tersebut meminta Zaleha sendiri membuat pengumuman bagi aku itu setelah Zaleha memberitahu hasrat aku itu kepada Prof. Rasanya hanya dua tiga orang saja dalam kalangan beratus pelajar yang mengangkat tangan apabila ditanya siapa yang juga tinggal di Desasiswa Aman Damai. Pertanyaan seterusnya pada mereka ni ialah siapa yang sudi memimpin tangan aku berjalan menaiki bas berulang-alik dari Aman Damai dan kelas setiap hari. Rasa sedih juga kerana tiada atau hanya satu dua tangan yang kelihatan angkat atas. Nampaknya masalah mobiliti aku tidak ada penyelesaian lagi. Bagaimanapun diminta siapa-siapa yang rasa dirinya boleh bantu itu turun mai kat aku selepas kuliah nanti. 

Selepas kuliah habis, seorang pelajar perempuan cina datang bertemu aku. Entah ada lain pelajar lain yang datang pada aku tak. Pelajar itu tinggal sama asrama dengan aku dan datang kelas dengan bas yang disediakan dalam USM. Selain itu, datang lagi dua orang pelajar yang turun dari tempat duduk jauh di belakang. Mereka itu Kak Jameyah @ Kak Jam atau KJ dan Kak Rohana @ Kak Ana. Mereka ini masuk USM mengikut saluran kedua di mana mereka ini telah bekerja dan kini masuk universiti sambung belajar degree. Kak Ana dan beberapa pelajar senior lagi yang aku berkenalan dengan mereka selepas itu datang dari JKM dan ada seorang dua lagi yang senior berkhidmat dalam perkhidmatan polis. Kesemua atau hampir semua mereka telah ditentukan ambil major dalam Kerja Sosial. Kak Jameyah pula seorang pengusaha tadika yang berminat untuk sambung belajar. 

Kak Jameyah menawarkan dirinya untuk membantu membawa aku berulang-alik ke kelas setiap hari dengan kereta. Kak seorang ibu yang ketika itu berusia 40+ tahun dan beranak enam yang anak sulungnya hanya setahun lebih muda daripada aku. Aku bagai seorang anak bagi dirinya. Rumahnya berdekatan dengan USM. Maka, Kak menawarkan diri datang ke asrama Aman Damai mengambil aku lalu ke kelas bersama-sama. Aku diberitahu Kak Ana yang juga membawa kereta boleh bantu aku juga sekiranya Kak Jameyah sibuk tidak dapat mengambil aku pada mana-mana hari. 

Syukur...syukur...syukur dapat juga kawan sekuliah, kawan yang boleh membantu aku berulang-alik antara asrama dan kelas setiap hari. Syukur masalah pengangkutan aku diselesai juga malam itu. Aku tidak perlu balik rumah, aku dapat terus tinggal di asrama. Aku sangat gembira dan telefon mama dan juga Persatuan keesokan hari beritahu mereka bahawa masalah aku itu telah berjaya aku atasinya. 

Bermula malam itu juga Kak Jameyah mula menghantar aku beserta Zaleha yang datang jemput aku lepas kelas itu, balik ke asrama. Persahabatan aku dengan Kak Jameyah bermula dari malam Rabu itu 11 haribulan Jun 2003. Begitu juga kisah suka duka dan perjuangan kami berdua yang seorang merupakan pelajar OKU CP dan seorang lagi merupakan pelajar sahabat atau buddy kepada pelajar CP ini bermula dari malam itu. 

Apakah kisah-kisah kami yang seterusnya…Akan bersambung...

3 comments:

  1. ����������

    ReplyDelete
  2. Alamak...icon tak keluar.. btw penulisan yang bsik chin! Teruskan.

    ReplyDelete