Sunday 26 July 2015

Beri Salam

"Bangun semua." Ketua kelas bangun memberi arahan ketika guru masuk kelas.

"Selamat pagi cikgu," ketua kelas memberi salam terlebih dahulu.

"Selamat pagi cikgu," diikuti seluruh kelas itu.

"Selamat pagi semua. Ok, duduk semua."  

Semua pelajar pun duduk dan bersedia untuk belajar.

Beberapa tahun pertama aku belajar di tadika dan sekolah rendah aliran perdana, aku tidak bangun berdiri ketika memberi salam atau mengucap terima kasih kepada guru-guru yang datang, keluar masuk kelas. Aku hanya berhenti menulis atau berhenti membuat sebarang aktiviti yang sedang lakukan, duduk tegak, dan sama-sama memberi salam atau mengucapkan terima kasih sambil memandang ke arah cikgu. 

Masa tu aku memang dah boleh berdiri dan jalan. Tapi kalau nak jalan sendiri itu hanya sikit-sikit saja. Rasanya agak susah atau leceh nak bangkit berdiri dan lepas tu nak duduk semula beberapa kali satu pagi atau petang. Masa nak bangun kita kena tolak kerusi ke belakang sikit dan masa nak duduk pula kena tarik kerusi masuk sikit semula. Kadang-kadang..mungkin biasa juga kita bangun saja tanpa tolak kerusi ke belakang dan ini mungkin akan menyebabkan kerusi terayun ke belakang dengan kedua-dua kaki depannya terangkat atas. Lebih-lebih lagi kat bahagian sandar kerusi dibebani dengan beg sekolah yang berat. Ataupun kita kena kalih badan kita ke sisi kerusi sebelum berdiri. Mungkin keadaan fizikal aku masa tu menyukarkan aku berbuat begitu dengan selamatnya. Mungkin ada cikgu atau mama menasihati aku tidak perlu bangun berdiri. Takut aku jatuh atau terhantuk mana-mana pula. 

Ketika aku darjah 4, barulah aku mula bangun berdiri memberi salam atau mengucapkan terima kasih. Aku ingin buat sesuatu sama seperti rakan-rakan atau pelajar-pelajar lain. Mereka berdiri memberi salam, aku pun nak berdiri memberi salam juga.

No comments:

Post a Comment