Tuesday 21 July 2015

Mama Bawa Aku Ke Sekolah Dengan Basikal

Mula-mula masuk darjah 1, mama dukung aku berjalan kaki ke sekolah. Kami tinggal berdekatan dengan sekolah. Masa tu kami sekeluarga masih tumpang kat sebuah rumah kedai di sekitar pasar Jelutong. Kami sekeluarga dan dua lagi penghuni sama-sama sewa tingkat atas rumah kedai tu. Tiap-tiap pagi mama dukung aku turun tangga dari tingkat satu ke bawah lalu jalan kaki ke sekolah yang jaraknya kira-kira 100m.

Kira-kira sebulan dua kemudian kami pindah balik ke rumah atuk kat Batu Lanchang atas sebab kekangan kewangan. Rumah atuk lebih jauh dengan sekolah. Kalau orang lain nak jalan kaki tu ok. Memang ada pelajar kat kawasan perumahan kami jalan kaki ke sekolah tu dan dua lagi sekolah berdekatan. 15-20 minit sampai la. Abang aku pun jalan kaki saja. Pagi-pagi biasanya makcik-makcik jalan kaki ke pasar Jelutong.

Tapi mama mana mampu dukung aku yang masa tu umur 9 tahun berat 20+kg jalan kaki berulang-alik tiap-tiap hari. Dengan beg sekolah berat dengan buku-buku teks, buku-buku kerja. Nak naik bas awam pun kurang sesuai kerana kena jalan jauh ke bus stop juga. So mama papa fikir panjang bagaimana aku  nak ke sekolah lalu cadang hantar dengan basikal.

Papa cari lalu beli balik sebuah basikal. Timbul pula masalah lain. Menimbangkan keadaan fizikal aku ketika tu, aku tidak berani dibiarkan membonceng kat belakang basikal. Takut-takut aku tak dapat duduk baik, pergerakan badan yang tidak sengaja, pegangan tangan aku terlepas dan jatuh nanti. Takut pergerakan aku nanti menyebabkan mama hilang kawalan pula. Jadi macam mana ya.

Papa mengubahsuai basikal tu. Kerusi rotan kecil yang anyaman berwarna-warni dikerat kakinya. Kerusi tu aku guna kat rumah sejak beberapa tahun lalu dan kini dijadikan tempat duduk basikal yang khas bagi aku. Keempat-empat kaki kerusi dipotong hingga tinggal sedikit pangkal saja. Pastu diletakkan atas tempat pembonceng dan diikat dengan tali rafia. 

Belum habis cerita pengubahsuaian lagi. Aku tidak boleh duduk kat kerusi itu dengan kaki menghala ke bawah sebagaimana kita duduk atas kerusi. Kerana kedudukan kaki yang agak panjang itu akan menghalang pergerakan putaran pedal basikal.  Jadi papa ambil dan kerat dua batang rod logam atau aluminum untuk dijadikan tempat letak kaki. Batang rod aluminium yang kita biasa pasang kat bilik mandi sidai tuala baju punya. Rod itu dipasang mendatar menghubungkan bahagian depan rangka basikal dengan bahagian belakang yang berdekatan dengan tempat pembonceng. Dua rod itu masing-masing dipasang bersebelahan dengan rangka basikal.


Ini dia bentuk basikal berinovasi tersebut yang dilukis oleh kawan aku Ka Tan...terima kasih Ka Tan ya

Mama akan bantu aku memakai baju berlengan panjang pelindung cahaya matahari  dan juga topi. Beg sekolah diletakkan kat bakul basikal dan beg bakul mama pula disangkut pada salah satu handle basikal. Kemudian mama akan mendukung dan mendudukkan aku di dalam kerusi itu. Lalu aku angkat letak satu kaki di atas rod aluminium dan satu kaki lagi diletakkan bersilang di atas kaki tu. Mama melepaskan tongkat basikal lalu menolak hingga ke pintu pagar yang telah dibuka mangga sebentar tadi. Mama menyelak pintu lalu menolak basikal bersama-sama aku dan beg-beg ke luar pintu pagar dan seterusnya mengunci pintu tu. Agak sukar masa nak tutup dan kunci pintu pagar. Sambil kunci pintu, mama kena juga menjaga memegang sikit-sikit basikal yang menempatkan beban-beban berat dan tidak sekata agak ia tak jatuh. 

Kemudian mama mengayuh basikal berinovasi membawa aku yang duduk dalam kerusi tu ke sekolah. Berkayuh melalui deretan rumah, melalui tepi rumah orang yang jalannya sangat sempit (hanya bagi seorang berjalan, berbasikal atau bermotosikal melaluinya) berpasir dan berlongkang pada salah satu hujungnya yang ditutupi bongkah batu, melintas jalan, berkayuh melalui jalan tanah..kawasan semak-samun..sebatang titi kecil dan berkayuh terus hingga sampai sekolah. Mula-mula masa nak melalui titi dan juga longkang ditutup bongkah itu, mama agak cuak akan turun dan menuntun basikal melaluinya. Lama-kelamaan mama terus kayuh melaluinya saja. Adakalanya mama mengayuh basikal membawa aku melalui jalan besar yang sibuk terutamanya masa hari hujan.

Apabila sampai tempat letak basikal, mama akan mengangkat aku turun basikal. Mama membantu aku membuka topi dan baju pelindung cahaya matahari, melipat lalu menyimpan dalam beg bakulnya, menyandar beg sekolah aku pada bahunya. Mama menjinjing beg bakulnya dan sebelah tangan lagi memimpin tangan aku berjalan perlahan-lahan ke bilik darjah. Pernah juga mama mendukung aku ke kelas bila aku masih dalam darjah 1.

Mula-mula mama akan membuka ikatan kerusi tu selepas aku masuk kelas. Kemudian kerusi itu dibawa simpan di belakang kelas aku sebelum mama pergi pasar balik rumah masak.  Masa darjah 1 aku sekolah pagi. Masa mama datang sekolah nak ambil aku balik tengah hari, abang pernah juga tumpang basikal mama ke sekolah. Abang belajar kat sekolah sama dan masa tu darjah 5. Kemudian mama datang kelas ambil kerusi tu ikat balik sementara tunggu loceng bunyi menandakan sesi persekolahan pagi tamat. Lama-kelamaan lepas beberapa bulan mama tidak lagi buka dan ikat kerusi tu setiap hari. Leceh. Mama tidak hirau lagi, kayuh basikal dengan kerusi tu ke mana-mana saja walaupun tidak membawa aku. Ikatan kerusi tu dibuka dan diikat semula dengan tali rafia baru setiap beberapa minggu atau sebulan dua bila tali tu nampaknya sudah usang. 

Mama membawa aku dengan basikal berinovasi tu dua tahun lebih sehingga aku belajar darjah 4. Aku duduk kat belakang basikal dengan selesanya...badan sandar pada belakang kerusi dan tangan letak kat tepi...macam bos. Angin bertiup pada muka masa basikal dikayuh. Pernah orang tanya kat mana dapat beli basikal macam ini. Kalau nak cari basikal yang ada kerusi kecil bagi kanak-kanak kecil bawah 4-5 tahun tu rasanya ada. Tapi kalau nak basikal macam kami ini, sorri lah. Kami buat sendiri.

Ketika aku berada dalam darjah 4, kami fikir sampai masanya bagi aku belajar membonceng seperti biasa. Memandangkan diri aku yang agak besar saiznya. Kerusi tu sukar nak memuatkan aku. Mama dah payah nak dukung aku naik turun dari kerusi tu.

Maka aku mula membonceng basikal secara biasa. Mama pergi buat tempat letak kaki bagi aku kat kedai membaiki motosikal rasanya. Macam tempat letak kaki pembonceng motosikal. Mama mengayuh perlahan-lahan membawa aku sehingga aku biasakan diri. Semasa basikal dikayuh, sekali-sekala punggung aku terlompat-lompat berganjak ke depan. Bila aku tak selesa dengan posisi aku, aku meminta mama berhenti sat kat tempat bersesuaian bagi aku membetulkan kedudukan aku semula. Aku diminta supaya tangan memegang pada mama, bukannya pada basikal. Ini membolehkan mama sedar akan kekuatan pegangan aku. Bila rasa pegangan aku semakin longgar atau lemah, mama akan mengingatkan aku supaya menguatkan pegangan. Adakalanya kaki aku terlepas dari tempat letaknya.

Selepas aku tamat sekolah rendah, aku dapat tawaran ke Sekolah Menengah Perempuan Sri Mutiara kat Jalan Ayer Itam. Ia memang jauh dari rumah kami. Mula-mula mama nak minta aku dipindahkan ke Sekolah Menengah Jelutong bersebelahan dengan sekolah rendahnya di mana aku baru habis belajar. Tapi akhirnya kami tak buat begitu atas sebab-sebab tertentu. Kami juga ada minta sekolah lain yang lebih dekat tapi tak dapat. Akhirnya aku belajar di sekolah Sri Mutiara tu yang guru-gurunya prihatin.

Mama terus mengayuh basikal menghantar aku pergi belajar. Form 1 dan form 2 sekolah petang. Mama membawa aku berkayuh jauh melalui jalan-jalan kecil besar, lebuh-lebuh raya, berlalu di depan deretan rumah..deretan rumah kedai, melalui kawasan sekolah di hadapan lebuh raya yang sibuk, melalui bulatan besar dan bulatan kecil. Jaraknya entah berapa kilometer. Ambil masa 20-30 minit kalau berkayuh basikal. Pernah ada orang..penunggang motosikal menegur aku duduk tegak agar mama lebih senang nak bawa aku. Tentu ada orang kat jalan raya fikir aku ni anak manja..dah besar-besar lagi nak mama susah payah mengayuh basikal membawa aku. Bila orang tegur, aku cuba duduk lebih tegak. Bukan aku tak mau duduk tegak sepanjang perjalanan, tapi agak sukar bagi aku buat begitu.

Adakalanya van atau bas dipandu agak laju melalui tepi kami menyebabkan tekanan udara tinggi menolak kami ke dalam dan menyukarkan mama mengawal basikal. Aku tetap nak pergi sekolah bila hujan lebat. Kami berdua pakai baju hujan. Bila motosikal, kereta, bas dipandu melepasi tepi kami, takungan air hujan akan berkocak terpercik adakalanya terkena kami. Ada kalanya bila hujan masa nak balik sekolah, ada guru menawarkan bantuan untuk menghantar aku balik sementara mama berkayuh balik sendiri. Kami memang rasa segan malu nak menyusahkan cikgu-cikgu. Terima kasih cikgu-cikgu yang pernah hantar aku balik rumah.

Mama berbasikal menghantar aku ke sekolah selama 7 tahun. 5 tahun ke sekolah rendah (aku lompat kelas sekali atas faktor umur ~ klik ini untuk baca) dan 2 tahun sekolah menengah. Bila aku masuk tingkatan 3 sekolah pagi mama tak berbasikal hantar aku lagi. Kerana aku dah semakin besar sedangkan mama semakin tua, sekolah jauh dan lagi sekolah pagi. Ini pun mama dapat cari kawannya yang sudi menghantar aku pergi balik sekolah dengan kereta. Aunty tu tinggal tak jauh dari rumah kami dan dia juga ada hantar anaknya ke sekolah. Sekolah aku lebih jauh daripada sekolah anaknya tapi sekolahnya dalam perjalanan ke sekolah aku. Aku yang jalan tak stabil, perlu dipimpin tangan masa berjalan terutamanya kat luar bangunan, jalan perlahan sememangnya tak mungkin boleh pergi sekolah dengan bas sekolah yang ambil turun pelajar kat luar sekolah dan berkejar masa. Aunty tu hantar aku pergi balik sekolah selama 5 tahun sehingga aku habis tingkatan 6. Bermula mengambil aku, lepas tu dia juga ada ambil 2-3 anak jiran atau kawan yang duduk berdekatan. Dapat buat bisnes sikit dengan menghantar anak orang ke sekolah.

Selain ke sekolah, mama juga membawa aku ke sana sini dengan basikal. Ke rumah nenek ibu mama yang terletak berdekatan pasar Jelutong, ke rumah seorang kawan karib aku, ke rumah aunty, ke kedai makan, ke kedai rambut, ke kedai lain, ke klinik dan juga ke sekolah sepastik berterapi. Walaupun mama tak lagi hantar aku ke sekolah sejak aku masuk tingkatan 3, mama tetap berkayuh basikal membawa aku ke sekolah sepastik belajar komputer sehingga aku tingkatan 6. Mama tetap mengayuh basikal bawa aku ke tempat-tempat yang berdekatan bila ada keperluan sehingga aku berumur lebih kurang 20 tahun atau bila aku masuk universiti. Kerana nak pimpin aku jalan kaki kat luar tu susah.

Selepas itu, aku tidak dapat lagi membonceng basikal. Aku kena juga jalan kaki dipimpin mama ke tempat-tempat berdekatan kawasan perumahan rumah kami. Mama berhenti mengayuh basikal selepas kami berpindah rumah 3-4 tahun lalu memandangkan kini kami tinggal bersebelahan dengan jalan raya yang sibuk. Lagipun bas awam boleh didapati dengan mudah sekali di tempat kami. Keluar rumah jalan sedikit dah sampai bus stop dan boleh ambil bas terus ke pasar. 

1 comment:

  1. Chin saya sangat suka akan cerita kamu. saya pun menaiki basikal untuk ke sekolah. sekarang saya berumur 17 tahun, ramai kawan-kawan saya yang menaiki motorsikal. tapi saya langsung tidak mempedulikan mereka yang kerap menghina aku.

    ReplyDelete